Banjir Semakin Pulih 10 065 Di Pps
AGENDA DAILY	 								 								 											

						Kor Kesihatan Diraja Tentera Darat  Malaysia melakukan ujian saringan Covid-19 di pusat penempatan sementara  mangsa banjir di SK Tambang, Segamat, Johor. - Gambar Hishammuddin  Hussein
															 																					 									 							 					 						Situasi banjir di lima negeri menunjukkan perkembangan lebih  baik malam tadi, apabila jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan  sementara (PPS) terus menurun kepada 10,065 orang berbanding seramai  11,469 orang petang semalam.
Sementara jumlah mangsa banjir di Selangor pula dilaporkan masih sama, lapor Bernama.
Di MELAKA, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada  468 mangsa daripada 126 keluarga pada pukul 8 malam tadi berbanding 543  orang daripada 140 keluarga pada jam 4 petang semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA)  Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah  dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14  kawasan di Jasin.
Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan  Bencana Negeri melaporkan mangsa banjir terus berkurangan malam tadi  dengan 1,491 orang ditempatkan di 30 pusat pemindahan, berbanding 1,811  orang di 33 PPS petang semalam.
Kesemua mangsa melibatkan 454 keluarga itu ditempatkan di PPS Bera,  Rompin, Pekan, Maran dan Temerloh, manakala PPS di Kuantan telah ditutup  malam tadi.
Selain itu, beberapa jalan kekal ditutup antaranya Jalan Triang 1 di  Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar  (Pekan) dan Jalan Serengkam (Maran).
Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan  sungai yang melebihi paras bahaya malam tadi masih Sungai Bera dan  Sungai Serting kedua-duanya di Bera, selain Sungai Pahang di Kuala  Sungai Chini, Pekan.
Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi  Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa  banjir menurun kepada 589 individu membabitkan 148 keluarga, dengan enam  PPS dibuka setakat malam tadi berbanding 826 individu (213 keluarga)  pada petangnya.
Di JOHOR, mangsa banjir terus menurun kepada 4,253  orang setakat 8 malam ini berbanding 4,942 orang petang semalam dengan  penutupan enam lagi PPS.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor RVidyananthan  dalam kenyataan malam tadi berkata empat PPS ditutup di Segamat  manakala dua lagi masing-masing di Mersing dan Muar, menjadikan 64 PPS  masih beroperasi di enam daerah.
Segamat masih mencatatkan mangsa tertinggi dengan 2,622 orang di 38  PPS, diikuti dengan Tangkak seramai 650 orang, Mersing (467), Muar  (333), Kluang (128) dan Batu Pahat (53).
Sementara itu, tiga sungai masih mencatatkan paras bahaya iaitu  Sungai Muar di Liang Batu, Muar; Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam,  Muar; dan Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat, setakat pukul 9 malam  tadi.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri ini juga  turun walaupun tidak banyak berubah dengan 3,264 mangsa daripada 1,341  keluarga masih di PPS malam tadi, berbanding 3,347 orang daripada 1,319  keluarga petang semalam.
Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, satu PPS iaitu  Dewan Kampung Kiabau di Telupid telah ditutup dan 27 PPS masih dibuka di  lima daerah terjejas banjir terletak di utara serta pantai timur di  negeri ini.
Daerah Kota Marudu kekal mangsa banjir paling ramai dipindahkan  dengan 2,668 mangsa daripada 1,161 keluarga di 14 PPS, diikuti Pitas  (319 mangsa, 120 keluarga, 4 PPS), Telupid (173 mangsa, 43 keluarga, 6  PPS), Sandakan (45 mangsa, 7 keluarga, 1 PPS) dan daerah kecil Paitan  (54 mangsa, 10 keluarga, 2 PPS).
Di SELANGOR pula, menerusi aplikasi Info Bencana JKM  memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor kekal 40 orang, melibatkan  dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang  (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)  Banting (15 mangsa).
Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan  Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam kini ditahap bahaya iaitu pada  ketinggian 4.79 meter dengan trend menaik, manakala Sungai Langat di  Bukit Changgang, Kuala Langat di tahap waspada (3.43 meter) setakat 8.30  malam tadi.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/banjir-semakin-pulih-10065-di-pps.html