Banjir Jumlah Mangsa Di Sabah Johor Melaka Pahang Meningkat
                                Oleh Bernama                                                                                                                                                                                                                                             

Jumlah  mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, Johor,  Melaka dan Pahang mencatatkan peningkatan petang ini. GAMBAR: Bernama             JUMLAH mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS)  di Sabah, Johor, Melaka dan Pahang mencatatkan peningkatan petang ini,  Negeri Sembilan semakin berkurangan manakala Terengganu kekal.
      Kelantan yang dilanda banjir sejak 18 Dis lepas pula pulih sepenuhnya daripada bencana itu petang tadi.
   Di SABAH, jumlah mangsa terjejas banjir di Pitas  meningkat kepada kepada 1,249 orang daripada 432 keluarga petang ini  berbanding 1,161 orang daripada 399 keluarga, tengah hari tadi.
          Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan  memaklumkan satu PPS dibuka di Pitas menempatkan 36 orang daripada 10  keluarga manakala Kota Marudu kekal daerah teramai mangsa banjir dengan  1,019 orang daripada 376 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.
   Sebanyak tiga PPS dibuka di Telupid yang menempatkan 43 orang  daripada lapan keluarga manakala dua PPS di Paitan menempatkan 52 orang  daripada 13 keluarga.
   Satu PPS turut dibuka di Beluran yang menempatkan 38 orang daripada  lapan keluarga dan satu PPS di Sandakan menempatkan 61 orang daripada 17  keluarga.
   Sekretariat itu memaklumkan 21 kawasan di Pitas terputus hubungan dan  tiga kawasan terjejas manakala Kota Marudu menjadi daerah paling banyak  kawasan terjejas iaitu 30 kawasan, Telupid (16), Paitan (23) dan  masing-masing satu kawasan di Sandakan serta Beluran.
   Di JOHOR, mangsa banjir di Segamat, Tangkak dan Kota  Tinggi meningkat kepada 2,022 orang setakat 4 petang berbanding 1,827  orang tengah hari tadi dengan 37 PPS dibuka di tiga daerah tersebut.   
   Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R.  Vidyananthan berkata, Segamat terus mencatatkan bilangan mangsa  tertinggi dengan 1,950 orang daripada 491 keluarga di 31 kampung, tiga  kawasan perumahan dan kawasan sekitar.
   “Mangsa banjir di Tangkak adalah 40 orang daripada 10 keluarga di  Kampung Sri Makmur manakala Kota Tinggi seramai 32 orang daripada 11  keluarga di Kampung Bukit Raja Darat, Pengerang dan Kampung Baru Mawai,”  katanya dalam kenyataan.
   Menerusi laman web publicinfobanjir, empat sungai kini melepasi paras  bahaya setakat 4.15 petang iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur,  Tangkak di paras 4.4 meter; Sungai Segamat di Bandar Segamat di paras  9.18m; Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat di paras 9.33m manakala  Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat di paras 6.06m.
   Di MELAKA, jumlah mangsa banjir meningkat kepada  1,661 orang daripada 429 keluarga petang ini berbanding 1,225 orang  daripada 313 keluarga pada 12 tengah hari tadi.
   Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert  John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14  kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan empat  kawasan di Jasin.
   “Seramai 720 orang daripada 195 keluarga ditempatkan di 10 PPS di  Alor Gajah, 868 orang daripada 217 keluarga di tujuh PPS di Melaka  Tengah serta 73 orang daripada 17 keluarga di dua PPS di Jasin,” katanya  dalam kenyataan.
   Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan  Bencana negeri melaporkan jumlah mangsa banjir petang ini ialah seramai  2,058 orang dengan 48 PPS beroperasi di lapan daerah.
   Daripada jumlah itu, 995 orang adalah mangsa banjir gelombang kedua  di Raub, Lipis, Jerantut, Maran, Bera dan Rompin manakala bakinya  merupakan mangsa banjir besar yang berlaku pada pertengahan Disember  lepas di Temerloh dan Pekan.
   Tujuh jalan ditutup iaitu di Jalan Sungai Lembing dan Jalan  Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran Bukit Gambang Resort kedua-duanya di  Kuantan, selain Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran), Jalan  Kuantan-Segamat (Pekan), Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut) dan Jalan  Temerloh-Jerantut serta Jalan Paya Luas-Perlok di Temerloh.
   Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir kekal 137 orang daripada 42 keluarga petang ini di dua PPS di Dungun.
   Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lt Kol (PA)  Mohd Rosman Abdullah berkata, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor  menempatkan 68 orang daripada 20 keluarga manakala Dewan Orang Ramai  Kampung Pasir Raja menempatkan 69 orang daripada 22 keluarga.
   “Walaupun banjir sudah surut, kesemua mangsa masih belum dibenarkan  pulang ketika ini. Jika cuaca bertambah baik, kita jangka mereka boleh  pulang ke rumah tengah hari esok,” katanya.
   Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi  InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa  banjir membabitkan 19 PPS di negeri ini menurun kepada 1,973 orang  daripada 532 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 2,166 orang  daripada 555 keluarga, 12 tengah hari tadi.
   Sementara itu di KELANTAN, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) Kelantan, Said Sidup berkata, tiga PPS di Kuala Krai dan Jeli  ditutup secara berperingkat hari ini berikutan cuaca bertambah baik.
   “Alhamdulillah, dua PPS di Kuala Krai dan satu di Jeli telah ditutup  sepenuhnya. Seramai 255 orang daripada 94 keluarga dibenarkan pulang ke  rumah masing-masing hari ini,” katanya.— BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/banjir-jumlah-mangsa-di-sabah-johor.html