Situasi Banjir Di Sabah Pahang Dan Melaka Bertambah Baik
BERNAMA
 Bagaimanapun, mangsa banjir di Segamat meningkat sedikit hari ini. 

Penduduk Taman Gembira di  Segamat mengharungi banjir yang mencecah ke paras betis. Mangsa  berpindah ke PPS buat sementara waktu sambil menunggu genangan air  beransur surut. Gambar: Bernama      Keadaan banjir di Sabah,  Pahang dan Melaka bertambah baik dengan jumlah mangsa di pusat  pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan pagi ini, daerah Segamat  di Johor mencatatkan peningkatan mangsa manakala Negeri Sembilan tidak  berubah.
Di Sabah, 55 orang daripada 15 keluarga masih berada di tiga PPS di  Telupid dan Paitan pagi ini berbanding 202 orang daripada 50 keluarga  malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan dua PPS di Telupid  iaitu Masjid Kampung Gana Jati menempatkan 15 orang dari enam keluarga  dan Dewan Kampung Maau menempatkan 20 orang daripada lima keluarga  manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol di  Paitan menempatkan 20 orang dari empat keluarga.
  Di Pahang, Sekretariat  Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan setakat 8 pagi, 782  orang masih berada di 22 PPS berbanding 933 orang di 27 PPS malam tadi  melibatkan daerah Temerloh, Pekan, Maran, Bera dan Rompin.
Beberapa jalan masih ditutup antaranya Jalan Triang 1 dan Felda  Triang 1 di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur (Rompin), Jalan Teluk Ganchong  Lepar (Pekan) dan Jalan Serengkam (Maran).
Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras  air Sungai Bera dan Sungai Serting di Bera serta Sungai Pahang di Kuala  Sungai Chini, Pekan kekal melebihi paras bahaya sejak Rabu.
Di Melaka, menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),  setakat 8 pagi, jumlah mangsa menurun sedikit dengan 406 orang berada di  satu PPS di Alor Gajah dan tiga PPS di Jasin berbanding 408 orang malam  tadi.
Di Negeri Sembilan, berdasarkan laporan aplikasi InfoBencana JKM,  mangsa banjir setakat 8 pagi kekal 69 orang dari 17 keluarga di tiga  PPS.
Sementara itu, di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam  Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata jumlah mangsa banjir meningkat  sedikit kepada 4,496 orang setakat 8 pagi ini berbanding 4,065 orang  malam tadi.
“Segamat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,479 orang,  Muar (1,058), Tangkak (905) dan Batu Pahat (54). Sebanyak 62 PPS masih  beroperasi di empat daerah itu melibatkan keseluruhan 1,242 keluarga,”  katanya dalam kenyataan.
  Vidyananthan  berkata Sungai Muar di Buloh Kasap dan Sungai Gemas di Muara Sungai  Gemas, Segamat serta Sungai Muar di Panchor dan Sungai Muar di Bukit  Kepong, Muar masih berada pada paras bahaya dengan trend penurunan.
Beliau berkata Sungai Muar di Kampung Olak Sepam, Muar juga berada paras bahaya namun dengan trend tidak berubah.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/situasi-banjir-di-sabah-pahang-dan.html