Aktiviti Cuti Sekolah Hujung Tahun Anak Tadika
Hanya tinggal 17 hari sahaja lagi sebelum sesi persekolahan tahun 2020 bermula..
Tak sanggup membayangkan Auni yang kecil akan mula menginjak ke usia baru dan pasti akan kembali sibuk selepas ini. Setiap hari bersama walau kadang perangainya menaikkan amarah namun saya masih seorang ibu yang bersifat protective, rindukan anak apabila jauh di sisi. Oleh sebab itu saya merancang cuti sekolah hujung tahun Auni dengan aktiviti yang sesuai untuk anak tadika seumpamanya lakukan supaya masanya terisi sempurna dan dia tidak kebosanan
Aktiviti yang paling kerap saya lakukan bersama Auni adalah memasak dan membaca buku. Untuk menarik minat Auni membaca, saya bawa Auni ke perpustakaan setiap minggu dan meminjam buku dengan jumlah maksimum. Jadi, walaupun berada di rumah, saya masih boleh memastikan Auni membaca buku setiap hari
Aktiviti Cuti Sekolah Tadika
1. A Book A DaySaya mulakan aktiviti A Book A Day sejak Auni mula pandai membaca. Wajib baca sebuah buku cerita kanak-kanak setiap hari di sebelah saya untuk saya mendengarnya. Apabila Auni sudah mula lancar membaca, saya wajibkan pula Auni membaca sebuah buku Bahasa Melayu dan sebuah buku Bahasa Inggeris setiap hari.
Bekalan buku? Pada awalnya, saya suruh Auni baca apa-apa buku yang terdapat di rumah. Apabila Auni semakin pantas membaca dan saya mula kehabisan buku untuk diberikan, saya bawa Auni ke perpustakaan untuk meminjam buku. Saya pilih buku yang nipis dan berilustrasi, serta komik dengan bahasa yang tidak keterlaluan untuk menarik minat Auni membaca
2. MemasakBukan memasak makanan harian yang saya maksudkan di sini. Ianya lebih kepada aktiviti membuat kuih dan baking. Antara kuih yang kami buat bersama adalah donat, jelly, cupcake dan brownies. Tugas Auni adalah meletakkan bahan-bahan yang telah saya sukat dan masukkan ke dalam bekas adunan. Manakala tugas mendeko pula akan dilakukan bersama oleh Auni dan Ameera
Untuk aktiviti ini, dapur akan sedikit messy selepas proses membaking selesai. Agak memenatkan namun rasa penat hilang semasa melihat mereka berdua berselera menjamah makanan yang siap disediakan. Anak-anak juga excited dan gembira walau hanya dengan mendeko kerana mereka juga boleh curi-curi makan coklat hiasan :D
3. Kraf Tangan MudahUntuk aktiviti kraf tangan mudah, saya membuat carian sumber di Google terlebih dahulu dan dapatkan bahan alat bantu mengajar (abm) di kedai Eco kerana harganya yang murah. Banyak aktiviti kraf yang kami lakukan bersama. Antaranya :
a) Muka manusia
b) Ikan
c) Jam dinding
d) Topi chef
e) Origami
f) Kad cantik
4. Menanam PokokSebenarnya aktiviti ini sudah lama saya lakukan. Cuma kebelakangan ini, saya ajak Auni turut serta ketika proses penanaman pokok dilakukan. Untuk menjadikan aktiviti ini menarik buat Auni, saya gunakan beberapa jenis pasu termasuk pelapik telur, kulit telur, kapas dan pasu bunga bagi menunjukkan proses penanaman boleh dilakukan di mana sahaja.
Proses percambahan pucuk keluar daripada tanah adalah amat mengujakan bagi kanak-kanak tadika seperti Auni. Saya selitkan juga sedikit ilmu ketika proses ini berlaku dengan memberitahu bahawa benda hidup memerlukan perkara asas untuk kekal hidup dan pergerakan pucuk dan akar berbeza disebabkan oleh rangsangan yang berbeza. Mudah
5. Alat Bantu Mengajar (ABM)Kehadiran abm adalah amat membantu terutama untuk menarik minat kanak-kanak tadika belajar perkara baharu. Sebagai contoh, jika saya beritahu magnet boleh menarik dan menolak tanpa bantuan abm kepada Auni, pasti susah hendak dibayangkannya. Oleh sebab itu, saya dapatkan abm yang murah dan comel di kedai Eco dan Mr.DIY sebagai membantu proses pembelajaran dan bermain Auni berjalan lancar
6. Bermain di Luar Selain menghabiskan masa di rumah dengan aktiviti bersama, saya juga bawa Auni bermain di luar. Cuti sekolah hujung tahun kan, takkan asyik terperuk sahaja di rumah..kesian mereka kebosanan. Jadi sesekali saya bawa Auni dan Ameera ke taman permainan berdekatan untuk bermain. Selain itu, saya juga bawa Auni ke perpustakaan untuk sertai kelas aktiviti yang dianjurkan.
Terdapat juga beberapa badan bukan kerajaan yang mengajurkan kelas atau aktiviti buat kanak-kanak tadika seusia Auni sempena cuti sekolah hujung tahun ini. Antaranya adalah Kid's Play Mania yang menganjurkan beberapa kelas baking dan bermain untuk si kecil. Saya juga bawa Auni bermain di Animation Planet dan jika berkesempatan, mungkin saya boleh ke Pusat Kreativiti Sains lagi sebelum sesi persekolahan bermula.
Banyak sebenarnya aktiviti yang boleh dilakukan buat surirumah seperti saya menghabiskan masa bersama anak tanpa belanja besar sempena musim cuti sekolah hujung tahun ini. Namun, bagi ibu yang mempunyai keterbatasan waktu untuk melakukan aktiviti bersama seperti ini, usah risau. Melihat anak-anak membesar dengan sihat dan baik itu sudah cukup menggembirakan. Semoga anak-anak kita membesar menjadi manusia berguna pada masa hadapan. Aamiin..
Baca juga >> Wajibkah Hantar Anak ke Tadika?
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.nurzariniismail.com/2019/12/aktiviti-cuti-sekolah-tadika-tanpa-belanja-besar.html