5 Kesalahan Utama Semasa Mohon Pinjaman Perumahan
Membeli rumah adalah antara keputusan kewangan terbesar dalam hidup kebanyakan orang namun masih ramai yang melakukan beberapa kesalahan asas semasa mohon pinjaman perumahan.
Di Malaysia, proses permohonan pinjaman perumahan boleh menjadi kompleks dan membingungkan, terutama bagi pembeli rumah pertama.
Ramai pemohon tanpa sedar melakukan kesalahan yang menjejaskan kelulusan pinjaman atau syarat-syarat yang ditawarkan.
Sering kali, permohonan ditolak kerana kesalahan yang sebenarnya boleh dielakkan jika pemohon lebih peka terhadap syarat dan proses yang terlibat.
1. Gagal Memeriksa dan Menambah Baik Skor Kredit

Salah satu kesalahan paling biasa ialah tidak memeriksa laporan kredit sebelum memohon pinjaman.
Ramai tidak sedar terdapat kesilapan dalam laporan kredit atau sejarah kredit yang kurang baik sehingga permohonan mereka ditolak.
Di Malaysia, dua badan utama yang menyimpan rekod kredit ialah CCRIS (Central Credit Reference Information System) di bawah Bank Negara Malaysia dan CTOS (Credit Tip-Off Service).
Anda boleh memeriksa laporan kredit CCRIS secara percuma di mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia atau melalui platform dalam talian.
Laporan ini menunjukkan sejarah pembayaran balik pinjaman, baki tertunggak, dan aplikasi kredit terkini.
Jika terdapat sebarang kesilapan, anda perlu membetulkannya segera sebelum memohon pinjaman perumahan.
Untuk meningkatkan skor kredit, pastikan anda:
Menyelesaikan hutang yang lama tertunggak
Membayar semua bil tepat pada masanya
Mengurangkan baki kad kredit di bawah 50% daripada had
Tidak membuat terlalu banyak permohonan kredit dalam masa singkat
2. Tidak Menilai Keupayaan Bayaran Balik dengan Realistik

Nisbah Perkhidmatan Hutang (Debt Service Ratio atau DSR) adalah metrik penting yang digunakan oleh bank untuk menilai kemampuan anda membayar balik pinjaman.
Ramai peminjam hanya melihat jumlah ansuran bulanan tanpa mempertimbangkan keseluruhan komitmen kewangan mereka.
Formula DSR adalah:
DSR = (Jumlah komitmen dan hutang bulanan / Pendapatan bulanan) x 100%
Kebanyakan bank di Malaysia menetapkan had DSR antara 60% hingga 70%, bergantung pada pendapatan bersih peminjam.
Kesalahan biasa termasuk tidak memasukkan komitmen sedia ada seperti pembiayaan kereta, pinjaman peribadi, dan bayaran kad kredit dalam pengiraan.
3. Tidak Membandingkan Tawaran Pinjaman dari Pelbagai Institusi

Ramai pemohon hanya memohon pinjaman daripada satu bank tanpa membuat perbandingan.
Menggunakan platform perbandingan pinjaman seperti iMoney atau RinggitPlus boleh membantu membuat keputusan lebih bijak.
Setiap bank menawarkan kadar faedah berbeza bergantung kepada profil kewangan pemohon dan jenis hartanah.
Terma seperti tempoh pinjaman, penalti pembayaran awal, dan kos pemprosesan juga berbeza antara kesemua institusi kewangan dan anda boleh bertanyakan terus dengan pegawai bertugas sekiranya inginkan perincian dan pnjellasan lebih terperinci.
Artikel menarik: Beli Rumah vs Sewa Rumah: Mana Lebih Bijak?
4. Kurang Persediaan Dokumen yang Lengkap dan Teratur

Kegagalan menyediakan dokumen yang lengkap dan teratur adalah antara sebab utama kelewatan atau penolakan permohonan pinjaman.
Bank memerlukan pelbagai dokumen untuk menilai kelayakan kredit anda.
Dokumen-dokumen penting termasuk:
Penyata bank 3-6 bulan terkini
Borang cukai pendapatan dan notis taksiran
Slip gaji terkini
Penyata KWSP
Surat pengesahan pekerjaan
Salinan kad pengenalan
Dokumen berkaitan harta (jika ada)
Bagi memudahkan proses permohonan anda, sediakan folder fizikal dan digital untuk semua dokumen yang diperlukan.
Pastikan semua salinan dokumen jelas dan dikemaskini.
5. Mengabaikan Kos Tambahan

Ramai pembeli rumah pertama menganggarkan kos pembelian rumah berdasarkan harga hartanah dan bayaran pendahuluan sahaja dan ini merupakan antara kesalahan besar ketika mohon pinjaman perumahan.
Mereka lupa bahawa terdapat pelbagai kos tambahan yang perlu ditanggung.
Antara kos tambahan tersebut termasuk:
Cukai tanah dan cukai pintu
Kos guaman untuk dokumen pinjaman dan geran
Kos duti setem untuk dokumen pinjaman dan pemindahan hak milik
Bayaran pendahuluan (10% bagi rumah pertama untuk harga tertentu)
Kos penilaian harta
Insurans kebakaran dan MRTA/MLTA
Kos pembaikan dan pengubahsuaian
Perbelanjaan perpindahan
Baca lagi: Rumah Selangorku: Cara Mohon, Semakan Status & Projek Terkini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/kesalahan-mohon-pinjaman-perumahan/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=kesalahan-mohon-pinjaman-perumahan