427 Hektar Tanah Kerajaan Diceroboh Di Selangor Kata Menteri Besar
 Bernama

Menteri  Besar Selangor Amirudin Shari berkata, kerajaan Selangor menjalankan  usaha pemutihan sejak 2008 dan memberi ruang pemilikan tanah kosong di  negeri itu pada harga pasaran semasa.SHAH ALAM: 427 hektar tanah kerajaan Selangor diceroboh pihak tidak  bertanggungjawab setakat ini, kata Menteri Besar Amirudin Shari.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 40 hektar tanah diceroboh di  daerah Petaling, Klang (86 hektar), Gombak (32 hektar), Hulu Langat (33  hektar), Sepang (29 hektar), Kuala Langat (142 hektar), Kuala Selangor  (40 hektar), Hulu Selangor (20 hektar) dan Sabak Bernam (1 hektar).
“Kesemua kegiatan pencerobohan yang dilakukan pihak tidak  bertanggungjawab itu telah dikeluarkan notis mengikut Seksyen 425 Kanun  Tanah Negara 1965 untuk tindakan selanjutnya,” katanya semasa menjawab  pertanyaan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (PH-Meru), mengenai keluasan  tanah kerajaan negeri yang diceroboh dan jenis aktiviti yang dilakukan  di atas tanah berkenaan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor  di sini, hari ini.
Amirudin berkata, majoriti aktiviti pencerobohan di atas tanah  kerajaan negeri itu adalah berkaitan pertanian, namun lama-kelamaan ia  melibatkan struktur binaan seperti stor dan perumahan, malah terdapat  juga kegiatan pembuangan sampah haram.
Bagi pembinaan rumah tanpa kebenaran di tanah yang diceroboh, beliau  berkata kerajaan Selangor telah melakukan usaha pemutihan sejak 2008 dan  memberi ruang pemilikan tanah-tanah kosong lain di negeri itu dengan  harga pasaran semasa.
Sementara itu, exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan  Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata, projek pembinaan Loji  Rawatan Air (LRA) Langat 2, termasuk pembinaan kolam perkhidmatan dan  sistem agihan dijadualkan siap sepenuhnya pada 31 Dis, 2023 dengan kos  keseluruhan berjumlah RM2.38 bilion.
“(Sebahagian) LRA Langat 2 telah mula beroperasi pada 21 Dis, 2019  dengan kapasiti 565 juta liter sehari (JLH) melalui ‘Stream B’.
“Air bersih berkenaan dibekalkan ke wilayah Hulu Langat, Petaling dan  Kuala Lumpur dengan purata pengeluaran semasa sebanyak 430 JLH.
“Manakala ‘Stream A’ yang juga berkapasiti 565 JLH telah selesai  pentauliahan dan diserahkan kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd pada  30 Okt lepas.
“Namun, disebabkan jaringan paip agihan air bersih belum siap,  kapasiti sepenuhnya LRA ini masih belum dapat digunakan,” katanya.
Hee berkata, 12 tindakan penguatkuasaan berkaitan isu pencemaran air  di LRA Semenyih dilakukan oleh Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan  Alam Sekitar Negeri Selangor sejak 2017 hingga kini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Zakaria Hanafi  (BN-Semenyih) mengenai tarikh operasi LRA Langat 2 dan kos projek  berkenaan, selain jumlah tindakan yang diambil dalam isu pencemaran air  melibatkan LRA Semenyih.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/427-hektar-tanah-kerajaan-diceroboh-di.html