Ya Betul Anwar Bukan Jenis Ikut Nasihat Untuk Bantu Anak Beranak Jadi Kaya Raya Dan Pelingkup Duit Negara
Panas! Mahathir kata Anwar bukan jenis yang ikut nasihatMay 9, 2021 Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan sukar bagi dirinya untuk kembali menyertai Umno selepas dirosakkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menyifatkan kepimpinan Najib jauh berbeza berbanding ketokohan ayah Ahli Parlimen Pekan tersebut iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang terkenal dengan gelaran Bapa Pembangunan.
“Nak masuk jadi ahli Umno, sukar bagi saya. Yang merosakkan Umno ialah Najib. Parti yang ditubuhkan oleh bapa dia (Barisan Nasional), dia yang rosakkan. Ini satu perbuatan yang tidak cukup baik.
“Kalau dia akur kepada bapa dia, dia tak akan jadi macam ini. Bapa dia baik dengan saya. Bahkan, saya anggap peluang saya jadi Perdana Menteri pun kerana Tun Abdul Razak.
“Tun Razak yang pilih saya jadi menteri. Lepas itu dia syorkan kepada Tun Hussein, dengan itu saya jadi Perdana Menteri. Tetapi Najib bukan macam bapa dia,” tegasnya dalam wawancara bersama portal berita Malaysiapost, malam tadi.
Untuk rekod, pada tahun 1972, Tun Razak menjemput Mahathir yang disingkir pada 1969, kembali ke pangkuan Umno ekoran surat peribadi beliau kepada Tunku Abdul Rahman.
Pada 1973, Barisan Nasional (BN) dibentuk sebagai gabungan besar 11 parti di bawah kepimpinan Tun Razak dan kali pertama ke gelanggang Pilihan Raya Umum 1974 dengan kemenangan besar.
Dalam wawancara malam tadi juga, Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bahkan menegaskan tidak akan memaafkan Najib atas kerosakan yang dilakukan anak lelaki sulung Allahyarham Tun Abdul Razak itu.
“Dia (Najib) dulu baik dengan saya, kawan saya. Saya biasa nasihatkan diri walaupun biasanya dia tidak terima tetapi perbuatan seorang Perdana Menteri curi duit adalah sesuatu yang saya tidak boleh terima.
“Bila Perdana Menteri curi duit, dia telah merosakkan seluruh jentera kerajaan sampai pegawai-pegawai kerajaan juga terlibat dengan rasuah.
“Sebab itu saya tidak boleh maafkan dia kerana dia yang telah merosakkan parti saya. Saya dulu jadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.
“Masa 2003, Umno masih menang bahkan menang 90 peratus, (rekod) lebih (baik) daripada saya. Tetapi Najib telah rosakkan… daripada kita sebagai Harimau Asia kita telah menjadi kleptokrasi, negara dipimpin pencuri. Tak malukah kita?” bidas Mahathir lagi.
Untuk rekod, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 28 Julai 2020 selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Najib, 67, bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta berserta dua penjamin sementara menunggu rayuan kes itu selesai.
‘Dok bercakap saja’
Ditanya peluang Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri, Mahathir berpendapat Presiden PKR itu tidak mendapat majoriti yang kukuh bagi membentuk kerajaan.
“Kita lihat dia tidak pernah mendapat majoriti. Bila dia cakap dia ada majoriti, bila bilang tak dapat. Dah berapa kali dah.
“Dulu lepas Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pun, dia kata dia boleh buat kerajaan… nak pergi angkat sumpah tapi tak jadi.
“Kemudian dia kata kepada PH kononnya dapat sokongan ramai. Jadi, PH pun pilih dia (jadi calon PM). Tapi dia tak dapat cukup (majoriti). Dia ada 92 (sokongan 92 Ahli Parlimen) saja. Kalau bagi pada saya, dapat (sokongan) 154 (Ahli Parlimen), tapi tak dapat.
“Kemudian (Anwar) panggil media seluruh dunia mengatakan dia Perdana Menteri dan Muhyiddin sudah tidak jadi Perdana Menteri lagi kerana kononnya dia dapat majoriti tetapi akhirnya, tiada. Dok bercakap saja.
“Saya berpendapat kalau diundi, dia tidak mendapat majoriti dalam Dewan Rakyat,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu berterus-terang.
Mahathir turut mengimbas pengalamannya dengan Anwar semasa berdepan krisis kewangan negara antara 1997 hingga 1998.
“Dia (Anwar) bukan jenis yang ikut nasihat. Saya berpengalaman (dengan Anwar)… dia Menteri Kewangan, saya lihat dia hanya nak ikut apa yang IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) suruh saja.
“Saya cakap kepada dia, kalau kamu ikut cakap IMF, satu hari nanti kita tiada duit nak bayar gaji pun. Sebab itu, saya terpaksa ambil alih daripada dia.
“Walaupun dia pandai berpidato dan popular tetapi kebolehannya, saya khuatir,” luah Mahathir lagi yang bakal mencecah usia 96 tahun pada 10 Julai nanti.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/05/ya-betul-anwar-bukan-jenis-ikut-nasihat.html