Windmill Pd Farm Tempat Mesti Pergi Jika Bawa Anak Anak Bercuti Ke Port Dickson
Percutian kami sekeluarga ke Port Dickson pada kali ini, membawa kami untuk singgah sebentar dan melawat salah satu tempat menarik yang terdapat di Port Dickson, iaitu Windmill PD Farm. Tempat ini letaknya lebih kurang 1 KM dari Ocean View Resort, tempat kami menginap sepanjang percutian kali ini.
Kalau nak jalan kaki ke tempat ini pun boleh. Memandangkan kami datang ke sini pada hari terakhir percutian dan pada waktu tu, kami juga sudah check out, jadi masing-masing tiada sebab nak jalan kaki ke sini.
Windmill PD Farm ini tempatnya memang betul-betul tepi jalan. Ada banyak kereta parking didepan kaunter tiket, dan saya sendiri terlajak untuk berhenti ke tempat ini sebab tak perasan landmark tempat ini.
Sekiranya anda bercuti ke Port Dickson dan ada bawa bersama kanak-kanak dalam percutian tersebut, bolehlah pertimbangkan untuk singgah ke tempat ini.
Setidak-tidaknya percutian ini bolehlah terisi dengan satu sesi lawatan yang boleh membuka minda dan menambahkan pengetahuan. Mungkin ada antara pembaca blog ini yang minat nak tahu, pengalaman yang bagaimana yang bakal diperolehi apabila masuk ke tempat ini, kan?
Jom teruskan pembacaan.
Bayaran masuk ke Windmill PD Farm
Untuk makluman anda, tempat ini dibuka setiap hari (Isnin – Ahad) bermula dari jam 9.00 pagi hingga jam 7.00 petang. Bayaran masuk akan dikenakan untuk pengunjung yang ingin masuk ke tempat ini.
Sila rujuk pada senarai harga dibawah ini.
Terdapat perbezaan harga untuk warganegara dengan bukan warganegara.
Dewasa RM20
Kanak-kanak RM15
Warga Emas RM15
Kanak-kanak dengan ketinggian bawah 90cm – PERCUMA
Pengunjung bakal merasai pengalaman yang berbeza apabila masuk ke tempat ini. Ditempat ini kita dapat menyaksikan pelbagai jenis haiwan kesayangan, barangan antik, replika gergasi, beberapa landskap yang menarik serta rumah hantu!
Saya sebenarnya agak frust sebab dekat Fun Fair Teluk Kemang yang saya pergi pada sebelah malamnya tu, tak ada rumah hantu. Bila saya tahu dekat Windmill PD Farm ini ada rumah hantu, terus saya ajak semua satu famili untuk singgah ke tempat ini.
Apa yang menarik yang terdapat di Windmill PD Farm?
Tempat ini adalah berkonsepkan sebuah ladang, yang mana kita boleh lihat pelbagai haiwan peliharaan dan juga haiwan kesayangan didalamnya.
Memandangkan kawasan ini tidak begitu luas, jadi jumlah haiwan yang dapat kita lihat juga tidaklah begitu banyak. Tapi pada saya, ia sudah cukup memadai untuk menghiburkan hati anak-anak kecil yang kita bawa bersama.
Tikus Belanda
Stesen pertama yang bakal kita lalui adalah stesen yang menempatkan tikus-tikus belanda atau Guinea Pig ini.
Pengunjung bukan setakat boleh lihat dari luar kawasan sangkar, namun boleh ikut masuk dan melihat dengan lebih dekat kehidupan tikus-tikus belanda ini.
Tikus belanda disini semuanya jinak dan tak takut dengan orang.
Kalau anda cukup berani, juga boleh pegang, angkat dan bermain dengan tikus disini.
Saya tak berani nak pegang tikus-tikus disini. Takut kena serangan alergi. Risau juga kalau tak pasal-pasal kena selsema lepas melawat tempat ini.
Nama saintifik bagi tikus belanda, atau Guinea Pig ini adalah Cavia Porcellus. Ia juga dikenali sebagai cavy atau domestic cavy, yang merupakan spesies rodent (tikus) dalam famili caviidae dan genus Cavia.
Jangka hayat tikus belanda adalah sekitar 4 – 8 tahun dan tikus belanda dewasa mempunyai panjang 20 – 25cm.
Ayam, itik, angsa, dan lain-lain…
Dekat sini saya tertarik dengan burung merak yang lepas bebas bersama-sama dengan binatang peliharaan lain seperti ayam dan juga itik.
Saya rasa teruja kerana dapat melihat burung merak dari jarak yang sebegini dekat.
Kemana merak ni pergi, saya pun follow hahaha. Tak senang duduk dibuatnya.
Ayam katik pun ada dekat sini.
Burung nuri bertenggek dekat tempat yang agak tinggi. Tak dapat nak pegang.
Pihak pengurusan Windmill PD Farm ini juga ada menjual makanan untuk haiwan-haiwan disini. Jika ada pengunjung yang minat nak beri makan kepada haiwan yang terdapat disini, boleh beli makanan tersebut dari kaunter yang disediakan.
Rumah kucing
Kucing yang terdapat disini memang tak sebanyak bilangan kucing yang terdapat di Mesilou Cat’s Village. Tapi yang menariknya kucing kat sini gemuk-gemuk belaka dan sangat mesra.
Kesian kucing ni kepenatan melayan tetamu yang datang.
Semua tetamu yang datang nak bergambar dengan dia, sampai kepenatan jadinya.
Burung unta
Terdapat dua ekor burung unta dapat kita saksikan di Windmill PD Farm ini.
Berhati-hati bila berdiri dekat dengan burung unta ini. Mungkin salah satu perangai tak elok pada burung unta ni ialah dia suka mematuk. Agaknya dia ingat ada makanan pada pengunjung yang berdiri dekat dengan dia.
Bersebelahan dengan burung unta terdapat kandang untuk kambing.
Siapa yang ada perancangan untuk menternak kambing, bolehlah lihat bagaimana cara membina kandang kambing disini.
Kuda pun ada dekat sini.
Kuda dekat sini kita boleh tengok sahaja. Kalau anda rasa teringin nak naik kuda, boleh ke Teluk Kemang.
Rumah Antik
Dari jauh, pemandangan dari luar rumah antik ini nampak biasa-biasa sahaja.
Bila dah berada dekat, baru saya perasan ada sebuah meja dan kerusi bersaiz gergasi disini.
Dekat bahagian dalam juga ada disediakan sebuah sofa bersaiz besar.
Seperti namanya (rumah antik), dalam rumah ini terdapat banyak barang-barang lama, yang saya rasa generasi muda sekarang ini ramai yang tak kenal, apa sebenarnya fungsi barangan tersebut.
Kalau bawa anak-anak tu, bolehlah terangkan apa kegunaan peralatan yang ada dalam ni. Mereka mungkin tak tanya apa-apa, sebab… mereka pun tak tahu nak tanya apa.
Mesin jahit yang menggunakan tenaga ayunan kaki. Kalau dulu bila orang kata goyang kaki pun boleh dapat duit, kita boleh agak yang dia mungkin seorang tukang jahit.
Piano lama jenama kemble.
Kalau anda suka untuk lihat banyak lagi barangan lama dan antik seperti ini, saya syorkan anda pergi ke Muzium Time Tunnel yang terdapat di Cameron Highland. Dekat sana pun ada banyak barangan lama dan antik yang dipamerkan.
Rumah Hantu
Rumah hantu dekat sini, biasa-biasa aje ha ha.
Tapi kalau bagi budak-budak, level rumah hantu dekat sini mungkin dah dikira menyeramkan!
Ada satu kumpulan pengunjung yang datang selepas saya, anaknya asyik menangis je bila berada dalam rumah hantu ni.
Mungkin si kecil tu terkejut melihat rupa buruk pada hantu-hantu yang terdapat dekat sini.
Yeaaah… saya dapat tikam sekoq hantu!
Landskap dan pemandangan sekitar Windmill PD Farm
Terdapat banyak juga replika dan binaan yang menarik yang terdapat dibahagian dalam Windmill PD Farm ini. Jangan lepaskan peluang untuk bergambar disetiap replika yang terdapat disini.
Setiap replika ada cerita dan kisahnya.
Ini pula adalah orang-orang, atau scarecrow yang biasanya kita boleh lihat dikawasan ladang atau sawah bendang. Fungsi scarecrow ini adalah untuk menakutkan burung-burung daripada memakan dan merosakkan hasil tanaman.
Ini antara landskap menarik yang terdapat di dalam kawasan Windmill PD Farm ini.
Dekat dalam ni, kita boleh luangkan sekitar 1 jam ke 1 jam setengah.
Tak lama mana pun. Bagi yang belum pernah masuk ke tempat ini, bolehlah lepas ini susun jadual dan buat perancangan untuk singgah ke sini.
Pada saya, harga tiket untuk masuk ke sini, masih lagi boleh dikira sebagai afforadble, dan tunggu apa lagi, jomlah pergi bercuti ke Port Dickson! Saya rasa tempat ini seronok kalau pergi dengan budak-budak, atau dengan orang yang suka bergambar.
Kalau tak ada salah satu dari dua kategori ini, mungkin akan ada yang rasa tak begitu berbaloi masuk ke sini. Tamatlah sudah percutian saya ke Port Dickson pada kali ini.
Semoga ada rezeki lebih untuk sekali lagi bercuti ke sini. In Shaa Allah. Saya ingin ucapkan terima kasih kerana baca perkongsian saya tentang percutian ke Port Dickson ni.
Sebagai menghargai jasa anda, silalah tebus travel credit bernilai RM120 ini untuk buat booking di mana-mana homestay, guesthouse mahupun villa untuk percutian anda dimasa akan datang. Selamat bercuti.
The post Windmill PD Farm – Tempat mesti pergi jika bawa anak-anak bercuti ke Port Dickson appeared first on Xplorasi Destinasi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://xplorasidestinasi.com/windmill-pd-farm-port-dickson-apa-yang-menarik/