Tun M Perlu Berhenti Mengulang2 Janji Nak Serah Kuasa Yang Penting Tetapkan Tarikhnya Segera
              Shahbudin Husin 
                                        Untuk kesekian kalinya, rasanya sudah lebih 15 kali, Tun Mahathir  Mohamad sekali lagi mengulangi janjinya untuk menyerahkan jawatan  Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.
 Bercakap di Tokyo sempena lawatan rasmi ke negara tersebut, Tun  Mahathir berkata, beliau tetap akan mematuhi janji yang telah  dipersetujui itu, walaupun tiada tempoh masa yang ditetapkan.
 “Saya telah bersetuju yang Anwar akan mengambil alih dari saya dan saya akan mematuhi dengan perjanjian saya.
 “Semasa pembentukan gabungan PH, adalah dipersetujui bahawa ia akan diketuai oleh saya sebagai pengerusi.
 “Kami juga berjanji sekiranya saya menjadi Perdana Menteri, penggal  saya akan dihadkan ke beberapa tempoh, tetapi masa sebenar tidak  dinyatakan,” tambahnya.
Tegas Tun Mahathir lagi, mungkin ada bantahan terhadap peralihan  kuasa itu, tetapi menambah bahawa ia “adalah masalah mereka, bukan  masalah kepada dirinya.”
 Sebagaimana yang disebut pada awal tadi, ini adalah penegasan yang  sudah melebihi 15 kali dinyatakan oleh Tun Mahathir berhubung janji  untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.
 Tetapi, meskipun penegasan itu kelihatan semakin kukuh, masih ramai yang curiga dengannya.
 Ia, sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini di mana  umpamanya  jika seorang lelaki telah berjanji untuk bertunang selama dua tahun  dengan seorang gadis, apabila melebihi tempoh setahun pertunangan itu,  sepatutnya telah ada tarikh untuk majlis persandingannya.
 Setelah lebih setahun bertunang, tentulah agak ganjil apabila  silelaki tak habis-habis mengulangi janji akan berkahwin, tetapi tidak  pula menetapkan tarikh yang khusus untuk majlis kenduri dan bersanding.
 Yang ditunggu dan mahu didengar selepas lebih setahun bertunang ialah  bilakah tarikh untuk berkahwin dan bukannya ulangan kata-kata akan  berkahwin, akan berkahwin dan akan berkahwin.
 Begitu juga dalam kes peralihan kuasa kepada Anwar ini, rakyat tidak  mahu lagi mendengar Tun Mahathir terus mengulang-ulang janji akan  menyerahkan kuasanya kepada Anwar.
 Perkara itu sudah terlalu kerap didengar oleh rakyat dan  dinyatakannya sama ada di dalam negara mahu pun di luar negara. Pendek  kata, seluruh dunia telah mendengarnya.
 Rakyat kini hanya mahu tahu bilakah tarikh peralihan kuasa itu akan berlaku.
 Saya pun sudah hampir letih menulis mengenainya. Dalam blog, melalui  FB dan buku, sudah banyak kali saya menyentuh perlunya Tun Mahathir  segera memilih tarikh yang sesuai untuk beliau berundur dan seterusnya  Anwar mengambilalih teraju pentadbiran negara ini.
 Harapnya selepas ini, minggu depan atau bulan depan, Tun Mahathir  tidak lagi mengulang-ulang janji mahu menyerahkan jawatannya itu.
 Sebaliknya, terus saja sebut satu tarikh untuk berlakunya peralihan jawatan itu.
 Habis cerita, dengannya rakyat akan gembira, pembangkang ternganga dan PH boleh terus maju ke hadapan meneruskan agendanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/06/tun-m-perlu-berhenti-mengulang2-janji.html