Bantuan Mangsa Banjir Ke Indonesia Dari Luar Dikenakan Cukai
JAKARTA – Komuniti diaspora Indonesia meluahkan kebimbangan susulan polisi kerajaan yang mengenakan cukai terhadap bantuan bencana dari luar negara untuk mangsa banjir di Sumatera, lapor Tempo.
Isu itu dibangkitkan oleh seorang individu yang menetap di Singapura, yang mendakwa sumbangan dari luar negara dikategorikan sebagai barangan import dan tertakluk kepada cukai sekiranya bencana tersebut belum diisytiharkan sebagai bencana nasional. Perkara berkenaan dikongsikan menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya pada 11 Disember lalu.
Polisi tersebut mengundang kritikan ramai, terutama memandangkan bencana banjir terbaharu di Sumatera dilaporkan telah meragut ratusan nyawa serta menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Menurut individu berkenaan, pengenaan cukai itu secara tidak langsung menyekat inisiatif diaspora untuk menghantar bantuan berbentuk barangan, sekali gus menjadikan sumbangan wang sebagai satu-satunya pilihan yang lebih praktikal.
Kedutaan Tiada Kuasa Campur Tangan
Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan Besar Indonesia di Singapura mengesahkan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk memudahkan penghantaran bantuan atau mempengaruhi keputusan kerajaan dalam mengisytiharkan sesuatu bencana sebagai bencana nasional.
Duta Besar Indonesia ke Singapura, Suryo Pratomo, menasihati komuniti diaspora supaya menyalurkan sumbangan melalui Palang Merah Indonesia atau organisasi sah lain yang diiktiraf kerajaan.
“Sumbangan wang boleh disalurkan melalui Palang Merah Indonesia,” katanya ketika dihubungi wartawan tempatan.
Sementara itu, Direktorat Jeneral Kastam Indonesia masih belum mengeluarkan penjelasan terperinci berhubung pengenaan cukai terhadap bantuan kemanusiaan dari luar negara dan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan koordinasi dengan agensi berkaitan.
Menteri Sekretariat Negara, Prasetyo Hadi pula menegaskan bahawa kerajaan Indonesia mempunyai sumber mencukupi untuk menangani situasi banjir tanpa bergantung kepada bantuan asing.
Menurut beliau, kerajaan memiliki stok makanan dan bahan api yang mencukupi, selain menggunakan kaedah luar biasa seperti penghantaran udara bagi memastikan bantuan sampai ke kawasan terpencil yang terjejas.
“Kami mengusahakan penghantaran melalui udara bagi menyesuaikan dengan keadaan bencana di tempat kejadian,” jelasnya. – The Malaysian Update
The post Bantuan Mangsa Banjir Ke Indonesia Dari Luar Dikenakan Cukai appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2025/12/14/bantuan-mangsa-banjir-ke-indonesia-dari-luar-dikenakan-cukai/