Tujuh Jenis Buli Senyap Yang Ibu Bapa Wajib Tahu Elak Anak Jadi Mangsa
Selain buli fizikal yang semakin berleluasa, buli senyap juga semakin membarah dikalangan anak-anak kita namun tidak disedari oleh mak ayah. Buli jenis ini dilakukan melalui manipulasi emosi, pengasingan sosial dan gurauan yang menyakitkan.
Namun, jenis buli senyap seperti dikongsikan ini akan membuatkan mangsa mengalami tekanan emosi, hilang keyakinan diri dan dalam kes yang serius, menarik diri daripada persekitaran sosial atau akademik.
Sebagai mak ayah yang prihatin, perhatian tanda-tanda ini jika anak pernah dibuli secara senyap. Ini penting.

Tujuh jenis buli tanpa sedar, jaga-jaga
1. Suka buat ‘lawak’ mengaibkan orang
Bermula dengan gurauan, pelaku sering menyelitkan kata-kata menghina, memperlekeh atau membuka aib seseorang di hadapan orang lain. Ini sebenarnya satu bentuk buli verbal dan emosional yang merosakkan keyakinan diri.
2. Pandai manipulasi kawan
Jenis buli selanjutnya apabila pelaku menggunakan kelemahan orang lain untuk kepentingan sendiri. Mereka boleh berpura-pura mesra di hadapan guru, tetapi mempergunakan kawan di belakang.
Contohnya, meminta bantuan secara paksa, ugutan halus atau memainkan emosi supaya kawannya mengikut kehendak mereka.
3. Main kasar tapi kata gurau
Dalam banyak kes, pelaku akan menyakitkan secara tidak sengaja, contohnya tolak kuat, tampar perlahan dan tarik kerusi. Sebenarnya, jenis buli ini adalah cara untuk menyakiti orang lain sambil cuba menafikan niat sebenar iaitu menguasai atau menguji sempadan mangsa.

4. Ketua kumpulan pilih kasih
Individu ini sering memegang kuasa dalam satu kumpulan sama ada secara formal (pengawas, ketua kelas) atau tidak formal (pelajar popular).
Mereka akan pilih kasih, hanya menyokong kawan yang “sebulu”dan menolak atau membuli secara halus pelajar yang dianggap tidak sesuai.
5. Tegur kesalahan tapi pilih mangsa
Jenis buli secara senyap juga berlaku bila seseorang hanya menegur atau mempersoalkan kesalahan individu tertentu secara berulang, walaupun orang lain juga melakukan kesalahan yang sama.
Ini menunjukkan ada unsur penganiayaan terpilih, biasanya didorong oleh dendam, cemburu, atau keinginan untuk merendahkan orang lain.
6. Pandai tutup kesalahan
Pelaku buli senyap selalunya bijak menampilkan diri sebagai “baik” di hadapan guru dan orang dewasa. Mereka tahu bila nak bersikap mesra, minta simpati dan bagaimana nak menutup segala bukti kesalahan.
7. Buat kawan rasa terhutang budi
Jenis buli yang terakhir adalah pelaku akan bantu seseorang pada satu masa, kemudian menggunakan bantuan itu untuk mengawal tingkah laku kawannya.
Contohnya: “Aku tolong kau masa presentation hari tu, sekarang giliran kau dengar cakap aku.”
Tindakan ini akan mewujudkan hubungan toksik yang sukar diputuskan, kerana mangsa takut dianggap tidak mengenang budi.
Buli senyap merupakan bentuk buli yang lebih berbahaya kerana sukar dikesan dan sering kali tidak dilaporkan. Oleh itu, pihak sekolah, ibu bapa serta masyarakat perlu lebih peka terhadap kewujudannya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/tujuh-jenis-buli-senyap-yang-ibu-bapa-wajib-tahu-elak-anak-jadi-mangsa/