Tok Mat Tanding Kerusi Rembau Boleh Bincang Kata Khairy
  Faiz Zainudin

Khairy  menemani Mohamad pada program khidmat masyarakat di Tokong Guan Yin di  Kuala Sawah, Rantau, sempena kempen PRK di DUN berkenaan. SEREMBAN: Khairy Jamaluddin tidak menolak kemungkinan memberi laluan  kepada Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi  Parlimen Rembau pada pilihan raya umum akan datang.
 Penyandang kerusi Parlimen itu berkata, sekiranya Mohamad ingin memilih kerusi itu maka ia boleh dibincangkan.
 “Boleh, tapi kita kena bincang dulu,” katanya selepas menemani  Mohamad pada program khidmat masyarakat di Tokong Guan Yin di Kuala  Sawah di sini, hari ini.
 Mengulas lanjut, Khairy berkata, isu pembahagian kerusi  bukan keutamaan untuk dibincangkan kerana misi yang lebih penting ialah  memenangkan Mohamad dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri  (DUN) Rantau pada 13 April ini.
      “Kita menang di Rantau dulu dan fokus untuk menangkan beliau (Mohamad) dulu,” katanya.
 Khairy diminta mengulas mengenai kenyataan Mohamad atau turut  dikenali dengan gelaran Tok Mat yang memberi bayangan akan bertanding di  kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15, walaupun tidak menyebut  kerusi mana yang mahu ditandinginya.
 Mohamad memberi bayangan itu secara bersahaja ketika berceramah di Kampung Sendayan pada Rabu.
Dalam pada itu, Khairy berkata, Barisan Nasional (BN) harus menggembleng tenaga bagi meraih undi pengundi bukan Melayu.
 Katanya, BN tidak seharusnya terlalu fokus kepada undi orang Melayu  kerana undi penduduk bukan Melayu juga penting dalam memastikan  kemenangan calonnya di situ.
 “Kita tidak mahu sokongan kepada Tok Mat hanya datang daripada satu kaum sahaja.
 “Kita mahu dapat kemenangan daripada sokongan semua dan tidak dilihat  hanya mendapat sokongan pengundi Melayu semata-mata. Kita mesti cuba  sedaya upaya untuk dapat sokongan pengundi bukan Melayu juga.
 “Tok Mat banyak berjasa kepada pengundi Cina dan India, jadi tidak  ada sebab mereka tidak memberikan sokongan kepada beliau,” katanya.
 PRK Rantau yang ditetapkan pada 13 April itu menyaksikan Mohamad  berdepan saingan calon Pakatan Harapan, Dr S Streram dan 2 calon Bebas,  iaitu bekas penyampai radio, Malar Rajaram dan bekas pensyarah Mohd Nor  Yassin.
 Terdapat 29,926 pengundi berdaftar di DUN berkenaan, dengan 55% daripadanya pengundi Melayu, India 26% dan Cina 19%.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/04/tok-mat-tanding-kerusi-rembau-boleh.html