Tips Gunakan Telefon Semasa Bercuti Luar Negara Elak Kena Caj Data Roaming
Bagi mereka yang kerap melancong ke destinasi luar negara, sudah pasti akan menggunakan perkhidmatan telefon mudah alih perayauan antarabangsa, yang kadangkala disebut sebagai perantauan antarabangsa (data roaming). Cuma, apabila menggunakan perkhidmatan ini, ia pastinya mahal dan boleh mengganggu bajet travel anda.
Ketika bercuti, mungkin tidak terasa bebanannya, apatah lagi kalau menggunakan servis perkhidmatan telefon mudah alih secara bayaran bulanan atau post-paid. Anda akan mula nampak kesan penggunaan data perayauan antarabangsa apabila balik dari percutian.
Tips Gunakan Telefon Mudah-Alih Ketika Melancong Luar Negara - Cara Kurangkan Caj International Data Roaming
Serius. Buat mereka yang tak sedar akan kadar caj perayauan antarabangsa yang dikenakan, pasti akan melihat bil telefon mudah alih dengan rasa terkejut. Anda akan nampak bil telefon melambung tinggi ketika penggunaannya semasa bercuti di luar negara.
Pasti memeranjatkan jika tak tahu cara untuk kurangkan caj perayauan antarabangsa ini. Malah, kos untuk bil telefon mudah alih sahaja adalah lebih tinggi dari kos atau belanja yang telah dikeluarkan semasa membeli-belah di luar negara.
Caj perayauan dikenakan apabila anda membuat panggilan, menghantar SMS dan data ketika berada di luar negara. Dalam situasi ini, mungkin ramai yang masih menganggap syarikat telekomunikasi telefon mudah alih anda mempunyai perjanjian dengan syarikat telekomunikasi luar negara yang akan menukar rangkaian secara automatik untuk mengakses internet dan membuat panggilan tetapi dalam masa yang sama caj yang dikenakan sama seperti syarikat telekomunikasi tempatan.
Walhal, pada ketika ini bil telefon sudah melambung tinggi.
Langkah yang paling bijak untuk mengelak perkara ini berlaku ialah dengan mematikan tetapan data perayauan pada telefon mudah alih anda. Cara itu adalah yang paling tepat untuk anda menikmati percutian tanpa memikirkan kos lain yang bakal ditanggung selepas pulang bercuti.
Untuk mengelak bil telefon anda mencecah ratusan atau ribuan ringgit semasa bercuti di luar negara, ikuti beberapa tip yang diberi daripada pengembara berpengalaman:
Dapatkan Kad Sim Telefon Mudah Alih Telco Tempatan
Sebaik sahaja anda tiba di lapangan terbang, dapatkan kad SIM penyedia perkhidmatan tempatan di negara berkenaan dengan pakej yang bersesuaian dengan anda. Kebanyakan syarikat telekomunikasi menawarkan pakej unik kepada pelancong.
Anda boleh mendapatkan kad SIM di kedai-kedai yang terdapat di balai ketibaan lapangan terbang atau di kedai-kedai serbaneka negara tersebut. Penggunaan kad SIM tempatan lebih menjimatkan kerana anda akan dikenakan kadar caj tempatan.
Menggunakan telefon pintar yang boleh memuatkan dua kad SIM adalah sangat efektif pada waktu itu kerana anda boleh menggunakan kedua-dua kad SIM pada satu peranti.
Fahami Kadar Atau Caj perayauan Antarabangsa
Jika anda tidak mempunyai terma khusus dengan syarikat telekomunikasi anda tentang kadar tetap perayauan antarabangsa atau pakej data perayauan tidak terhad, anda perlu memantau dan mematikan tetapan data perayauan pada telefon mudah alih anda buat sementara waktu.
Namun, anda boleh dikenakan caj dan mungkin bil telefon anda boleh mencecah jumlah yang tinggi walaupun anda tidak mengakses internet, membuat panggilan dan menghantar pesanan. Ia bergantung kepada terma syarikat telekomunikasi anda.
Panggilan Tak Berjawab Boleh Dikenakan Caj Perkhidmatan
Tidak menjawab panggilan ketika anda di luar negara juga boleh dikenakan caj kerana ia akan dihantar ke negara asal sebagai peti mel suara. Beberapa syarikat telekomunikasi juga akan mengenakan bayaran walaupun anda menjawab panggilan masuk.
Untuk mengelak dikenakan bayaran walaupun dalam jumlah yang sikit, anda boleh menghentikan perkhidmatan peti mel suara dengan memaklumkan syarikat telekomunikasi anda atau menukar setting perkhidmatan ini menerusi Telco Apps anda.
Chat Secara Percuma Menerusi Servis WIFI
Jika anda perlu mengakses internet, gunakan servis WiFi percuma di café atau restoran sambil menikmati hidangan atau secawan kopi.
Ada hotel yang menyediakan WiFi percuma di ruang legar hotel. Anda boleh berbual secara percuma menerusi pelbagai aplikasi media sosial. Anda boleh membuat panggilan menerusi Skype.
Aplikasi WeChat pula boleh digunakan untuk berbual gaya ala walkie-talkie dan panggilan video percuma. Aplikasi WhatsApp yang digunakan ramai pengguna pada masa ini juga mempunyai servis sembang suara.
Cuba cari tempat yang mempunyai servis WiFi percuma di lokasi percutian anda. Ia pasti lebih menjimatkan daripada menggunakan servis data roaming dalam telefon.
Nyahaktif Data Aturan Aplikasi
Ramai yang tidak sedar mengenai perkara ini. Oleh kerana gagal menyahaktif aturan aplikasi dalam telefon pintar, ada yang tidak sedar kuota data sedang digunakan untuk kemaskini automatik sesetengah aplikasi dalam telefon. Malah, kadar caj data akan bertambah tanpa sedar dan tanpa sekatan.
Jadi, pastikan sebelum anda bercuti ke luar negara, nyahaktif aturan aplikasi ini dan sekat penggunaan data untuk semua aplikasi dalam telefon pintar.
Cara-caranya boleh diikuti secara am seperti dinyatakan di bawah ini:
Peranti AndroidBagi peranti yang menggunakan Android, klik pada Aturan > Penggunaan Data. Anda boleh melihat jumlah data aplikasi yang digunakan dan boleh mengehadkan data untuk kemas kini bagi setiap aplikasi. Untuk selaraskan pilihan anda, klik Aturan > Akaun. Anda boleh melihat aplikasi yang diselaraskan dan boleh menghentikan penyelarasan tersebut kerana ia akan menggunakan data telefon anda.
Peranti iOSBagi peranti menggunakan iOS 7, hanya beberapa aplikasi yang melakukan kemas kini. Untuk semua peranti menggunakan iOS sehingga iOS 7, semua aplikasi boleh dimuat semula dan dikemas kini walaupun tidak digunakan.
Untuk menyahaktifkan data Latar Belakang App Muat Semula (Background App Refresh), klik Aturan > Umum > Latar Belakang App Muat Semula (Settings > General > Background App Refersh). Anda boleh menghentikan semua aktiviti Latar Belakang App Muat Semula atau aplikasi terpilih sahaja.
Muat-Turun Aplikasi Untuk Peta Luar Talian (Offline Map)
Muat turun peta lokasi yang anda rancang untuk lawati sebelum percutian anda. Cara itu lebih jimat kerana anda tidak perlu menggunakan data telefon untuk mencari arah lokasi atas talian.
Beberapa aplikasi peta luar talian secara percuma boleh dimuat turun. Anda juga boleh menggunakan Google Maps untuk menyimpan peta lokasi tertentu. Untuk menyimpan peta kawasan tersebut, anda perlu zoom masuk ke kawasan yang dicari, buka tingkap carian di dalam Google Maps dan taip OK maps untuk menyimpan peta tersebut.
Pantau Penggunaan Data Telefon Mudah Alih
Jika anda menggunakan data ketika anda di luar negara, setiap kilobait tunggal akan dikenakan caj melainkan anda melanggan pakej data perayauan tanpa had. Anda harus pastikan penggunaan data anda tidak melebihi had.
Untuk memantau penggunaan data anda, muat turun aplikasi seperti 3G Watchdog (untuk Android dan Data Usage untuk iOS. Kedua-dua aplikasi ini dapat membantu anda untuk memantau dan mengehadkan penggunaan data bagi setiap aplikasi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.daain.info/2019/11/tips-gunakan-telefon-semasa-bercuti.html