Tidak Akan Berganjak Kaki Anak Adam Selagi Tidak Ditanya 5 Perkara
Kehidupan di dunia ini adalah ladang akhirat. Di sini tempat menyemai amal lalu ganjaran pahala dituai di akhirat kelak. Di sini tempat kita bersusah-susah, tempat kita diuji sama ada untuk taat kepada perintah Allah dan berusaha melakukan setiap suruhan atau hanya sekadar mengharungi kehidupan seadanya.
Segala yang dilalui dalam kehidupan dunia tidak hanya habis di sini sahaja. Setiap perkara akan ditanya dan dipertanggungjawabkan. Tidak ada yang akan terlepas daripada pandangan Allah.
Bagaimana kita hidup di dunia akan menentukan bagaimana kehidupan di akhirat kelak. Jika kita hidup penuh tunduk dan patuh, maka ganjaran baiklah juga yang akan diperoleh. Begitu juga sebaliknya.
Justeru ada sebuah hadis yang penting tentang perkaitan antara kehidupan di dunia dan akhirat.
“Tidak akan berganjak kedua kaki anak Adam pada hari kiamat disisi tuhannya sehingga akan ditanya tentang lima perkara: tentang umurnya dalam apa ia gunakan, tentang masa mudanya dalam apa ia habiskan, tentang hartanya darimana ia peroleh dan dalam apa ia belanjakan, dan tentang apa yang ia amalkan dari yang ia ketahui (ilmu).
(Hadis Riwayat Tarmizi)
#1- Bagaimana Dihabiskan Usia
Setiap manusia diberikan peluang yang sama untuk hidup, walau dengan tempoh masa yang berbeza. Maka bersama kehidupan yang dilalui adanya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, iaitu tanggungjawab kepada Tuhan dan juga kepada manusia lain umumnya.
Dilahirkan dengan cukup sifat, dapat hidup dan bernafas, kemudian melalui satu demi satu fasa dalam hidup- dari kecil, remaja dan dewasa- benar-benar suatu pemberian yang besar daripada Allah. Kelak dengan usia yang diberikan inilah, kita akan ditanya adakah ia telah dihabiskan dengan sebaiknya atau tidak.
#2- Apa Yang Dilakukan Ketika Muda
Waktu muda adalah waktu di mana tenaga dan kudrat seseorang itu berada di tahap paling optimum. Waktu inilah kita mampu melakukan banyak perkara. Namun, dalam takah waktu ini juga kelak akan ditanya, apa perkara yang telah dilakukan.
‘Ukbah bin Amir meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ اللَّهَ تعَالى لَيَعجَبُ منَ الشَّابِّ ليسَتْ لَهُ صَبوةٌ
“Allah SWT amat takjub melihat pemuda yang tidak melakukan ‘sobwah”
Apakah itu ‘sobwah’? Ia dijelaskan dalam kitab Faidhul Qadir (2/263) sebagai pemuda yang tidak menurut hawa nafsunya. Hatinya tidak memiliki kecenderungan untuk menyimpang dari kebenaran.
Rasulullah SAW juga pernah mengatakan bahawa di saat baginda menyebarkan Islam, golongan yang ramai menyokong baginda adalah dari kalangan pemuda. Imam Hassan Al Banna turut mengakui bahawa dalam setiap kebangkitan, pemuda adalah rahsianya.
#3- Dari Mana Harta Diperoleh
Bagaimana harta diperoleh dalam hidup kita? Adakah dengan cara yang dibenarkan atau cara yang dilarang? Adakah pada harta kita ada keberkatan?
Dalam perkongsian yang lalu ada disebutkan tentang keberkatan, iaitu suatu kebaikan Ilahi yang ada pada suatu perkara. Hal ini termasuklah dalam urusan harta.
Harta yang berkat, walaupun sedikit, terasa cukup. Manakala harta yang banyak apabila berkat, akan lebih terasa manfaatnya. Harta yang ada kebaikan akan tersebar lebih jauh kepada orang lain yang memerlukan.
#4- Ke Mana Dibelanjakan Harta
Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata, “Orang yang mencintai dunia/harta (secara berlebihan) tidak akan lepas dari tiga (kerosakan dan penderitaan): Kekalutan (fikiran) yang tidak pernah hilang, keletihan yang berpanjangan dan penyesalan yang tiada akhirnya.
Maka terdapat beberapa prinsip yang perlu kita ambil perhatian dalam menguruskan harta:
Membelanjakan harta dengan niat semata-mata untuk mengharap keredaan Allah.
Tidak berlebih-lebihan dalam berbelanja.
Tidak kedekut membelanjakan harta untuk tujuan amal atau sedekah.
Di akhirnya Rasulullah SAW telah mengingatkan kita semua tentang fitnah harta:
إِنَّ لِكُلِّ أُمَّةٍ فِتْنَةٌ، وَفِتْنَةَ أُمَّتِي الْمَالُ
Sesungguhnya pada setiap umat (kaum) ada fitnah (yang merosak/menyesatkan mereka) dan fitnah (pada) umatku adalah harta”
(Hadis riwayat Tirmidzi, No 2336. Hadis dinilai sahih)
Semoga harta tidak menyibukkan dan menjauhkan kita dari Allah.
#5- Bagaimana Ilmu Diamalkan
Persoalan yang dibangkitkan di sini bukan semata-mata soal proses menuntut ilmu tetapi bagaimana ilmu itu diamalkan. Tahu sahaja tidak cukup. Ilmu perlu diamalkan. Jika ilmu adalah pohon, maka amalan itu buahnya.
Berkata Ibnu ‘Abbas radhiyallaahu ‘anhumaa:
“Barangsiapa yang berusaha mengamalkan ilmu yang telah diketahuinya, maka Allah akan menunjukkan mereka apa yang belum mereka ketahui”
Kesimpulannya, kehidupan kita sememangnya terdiri daripada empat perkara utama ini- umur, masa muda, harta dan juga ilmu. Justeru, ia menjadi asbab dan kriteria hisab di akhirat kelak. Semoga kita mampu menguruskan keempat-empat perkara ini dengan sebaiknya.
Sumber: Tazkirah.net
The post Tidak Akan Berganjak Kaki Anak Adam Selagi Tidak Ditanya 5 Perkara appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/tidak-akan-berganjak-kaki-anak-adam-selagi-tidak-ditanya-5-perkara/