Tiada Sambutan Aidilfitri Rumah Rosak Akibat Banjir Kilat
IPOH, 17 Mei — Sudahlah Hari Raya kali ini tidak lengkap tanpa semua anak di sisi susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), lebih menyedihkan apabila rumah pula rosak akibat banjir kilat ekoran hujan lebat, petang semalam.
Demikian nasib yang menimpa ibu kepada enam cahaya mata, Saniah Ahmad Wadi, 70, yang terpaksa melupakan hasrat menyiapkan tempahan kuih kapit dan rempeyek kerana rumahnya di Jalan Perah, Sungai Rokam, di sini kerana rumahnya dimasuki air.
“Nasib baik makcik sempat selamatkan kuih raya yang ditempah jiran berdekatan. Namun makcik terkilan sedikit, makcik ingat hendak buat biskut raya seperti semperit dan biskut bakar tetapi ia tidak dapat dilakukan selepas peralatan memasak dah dibawa air dan ada juga rosak.
“Makcik juga sedih sebab barangan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh musnah selepas paras air semakin tinggi di kawasan perumahan di sini sehingga mencecah paras bawah pinggang,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Beliau sepatutnya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Dato’ Ahmad Said namun memilih untuk tinggal di rumah anak lelakinya, Mahathir Husaini di Pekan Razaki, di sini kerana bimbang akan jangkitan COVID-19.
“Anak makcik ada yang duduk di Negeri Sembilan, ada juga yang tinggal di sini, Alhamdulillah boleh duduk di sana (Pekan Razaki) sementara hendak tunggu rumah elok semula. Apa hendak dibuatkan, makcik redha dan tidak mahu terlampau bersedih, mungkin ada hikmahnya. Kejadian seperti ini dah banyak kali berlaku cuma kali ini agak teruk.
“Makcik mengharapkan agar ada bantuan daripada pihak di luar sana dan juga daripada pihak kerajaan negeri,” katanya, sambil menambah kejadian itu mengakibatkan dinding rumahnya bocor dan hampir keseluruhan perkakasan dan barangan rumah musnah.
Menceritakan detik kejadian petang semalam, beliau ketika itu sedang menunggu anak lelakinya, Mahathir bersama menantu dan dua cucu untuk berbuka puasa di rumahnya.
“Makcik dah siap masak kari ikan dan sup ayam. Air dah paras pinggang masa itu tetapi mujur anak lelaki makcik ada dan bawa makcik balik ke rumahnya,” katanya yang telah menetap di kawasan perumahan itu kira-kira tujuh tahun lepas.
Semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kinta dalam satu kenyataan berkata tiga keluarga membabitkan 14 mangsa banjir terdiri daripada tujuh lelaki, lima wanita, seorang kanak-kanak dan bayi perempuan ditempatkan ke PPS yang dibuka pada pukul 8.30 malam tadi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata buat masa ini, pihaknya telah mengarahkan jabatan yang terlibat untuk menjalankan kerja pembersihan Sungai Rokam dalam kadar segera selain memastikan rumah pam beroperasi dengan baik.
“Malah satu kerja menaiktaraf pembetung Jabatan Kerja Raya di Jalan Raja Dr Nazrin Shah (medan Gopeng) akan diperbesarkan bagi memastikan kelancaran aliran terutama pada musim hujan lebat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sumber: Bernama
The post Tiada Sambutan Aidilfitri, Rumah Rosak Akibat Banjir Kilat appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/05/17/tiada-sambutan-aidilfitri-rumah-rosak-akibat-banjir-kilat/