Tiada Dosa Tinggalkan Solat Jumaat Kerana Tak Terima Kad Jemputan Kata Mufti Selangor
   Bernama

Jais  menetapkan umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat di 39 masjid  terpilih di Selangor perlu membuat permohonan dalam talian menerusi  Google Form atau mengisi borang disediakan pihak masjid, dan sekiranya  memenuhi SOP, mereka akan diberikan ‘kad jemputan’.SHAH ALAM: Tidak menjadi dosa ke atas mereka yang tidak menerima “kad  jemputan” untuk menunaikan solat Jumaat di 39 masjid terpilih di negeri  ini jika tidak menunaikan solat berkenaan, jelas Mufti Selangor, Mohd  Tamyes Abdul Wahid.
Katanya, mereka yang tidak terpilih menjadi 40 jemaah ini disebabkan  langkah pencegahan bagi membendung Covid-19 boleh menggantikan solat itu  dengan solat zuhur.
“Sebagai umat Islam, kita perlu akur dengan ketetapan ini walaupun  berat untuk diterima. Namun, ulil amri (pemerintah) bertanggungjawab  melaksanakan langkah pencegahan terbaik demi menjaga kemaslahatan umum,”  katanya dalam kenyataan semalam.
Tamyes berkata, ketetapan itu dibuat berdasarkan  perkembangan terkini Covid-19 yang belum ada penawarnya, maka langkah  pencegahan untuk menjaga keselamatan dan nyawa tetap diteruskan  berlandaskan prinsip maqasid syariah.
Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan  membenarkan solat Jumaat dan solat fardu 5 waktu dilakukan dengan 40  jemaah, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, di 39  masjid terpilih di negeri itu bermula semalam.
Bagaimanapun, pelaksanaan solat Jumaat harus mengikut garis panduan  Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta mematuhi prosedur operasi  standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian  Kesihatan.
Garis panduan Jais menetapkan mana-mana umat Islam yang ingin  menunaikan solat Jumaat perlu membuat permohonan secara dalam talian  menerusi Google Form atau mengisi borang disediakan pihak masjid, dan  sekiranya memenuhi SOP, mereka akan diberikan “kad jemputan”.
Bagi jemaah yang tidak menerima jemputan, mereka perlu menunggu solat  Jumaat pada minggu berikutnya dan dilarang hadir ke masjid, sebaliknya  menunaikan solat zuhur di rumah masing-masing.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/tiada-dosa-tinggalkan-solat-jumaat.html