Tiada Capaian Internet Gajet Seperti Belajar Di Sekolah Daif


BH ONLINE
Anuar Ahmad. SESI persekolahan dibuka Rabu lalu dengan murid yang mengambil peperiksaan utama dibenarkan ke sekolah, manakala yang lain terpaksa menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Wartawan BH, Suzalina Halid mendapatkan pandangan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad dan Timbalan Presiden Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Dr Jamal Othman, mengenai isu di sebalik PdPR serta kebimbangan terhadap risiko jurang pendidikan besar antara murid di bandar dan luar bandar, selain yang miskin dan kaya.

S: Apa pandangan mengenai PdPR yang bermula Rabu lalu?
J: Kalau diteliti data, 65 peratus atau 5,772 sekolah rendah kebangsaan berada di luar bandar dan pedalaman. Inilah realiti. Apabila Kementerian Pendidikan (KPM) terpaksa beralih kepada PdPR, siapa sebenarnya sasaran utama dan siapa mendapat faedahnya?
PdPR jika tidak diurus dengan baik dibimbangi meningkatkan jurang pencapaian pendidikan antara pelajar khususnya antara kumpulan kaya dan miskin, juga antara pelajar di bandar dan pedalaman. KPM harus teliti bukan sahaja isu akses dan keberkesanan platform PdPR sama ada mahu menggunakan dalam talian atau hibrid, tetapi juga isu seni menyampaikan pengajaran atau pedagogi PdPR secara berkesan.
Kita tahu PdPR masih dalam proses penyesuaian. Guru belum bersedia sepenuhnya. PdPR perlukan sedikit masa untuk dimantapkan. KPM pula harus memberi fokus kepada keseimbangan akses PdPR dalam kalangan pelajar seluruh negara.
S: Bagaimana maklum balas guru yang mengendalikan PdPR?
J: Letih dan memenatkan. Tidak mudah mengendalikan PdPR dalam kerangka pengajaran dan pembelajaran (PdP) tradisional. Tentu KPM tahu semua ini, tetapi mereka tidak mahu terima kenyataan bahawa pembelajaran dalam talian mempunyai format dan flow (aliran) berbeza dengan pembelajaran bersemuka.
Saya yakin KPM tahu hal ini, tetapi tetap kekalkan format dan amalan PdP bersemuka dalam pelaksanaan PdPR. Pembelajaran dalam talian (PdPR) bersifat self directed learning (pembelajaran kendiri). Maksudnya pelajar akan tentukan apa dan bila mereka ingin belajar. Guru pula tentukan 'mengapa', maksudnya objektif pembelajaran.
Pelajar merancang aktiviti pembelajaran mereka sendiri. Itu maknanya self directed learning. Guru menjadi pembimbing dan fasilitator pembelajaran. Apabila pelajar ada masalah, mereka hubungi guru. Guru tidak 'berkuliah', tetapi aktif dalam sesi berbincang dalam PdPR. Namun self directed learning bukan amalan dalam sistem pendidikan negara kita.
Pembelajaran bersemuka (PdP) pula bersifat structured learning (pembelajaran berstruktur) - ada jadual waktu, ada masa khusus setiap mata pelajaran dan ada guru yang mengajar. Guru merancang dan memimpin pembelajaran. Sumber pembelajaran juga datang daripada guru. Pelajar adalah receiver (penerima). Ini amalan sekolah kita. Apabila KPM ambil keputusan gunakan format structur- ed learning (PdP) untuk tujuan pembelajaran dalam talian (PdPR), memang tak sesuai jawabnya. Haru-biru jadinya. Guru pasti penat.
S: Bagaimana dengan ibu bapa?
J: Baru tiga hari kita sudah dengar keluhan dan kekecewaan ibu bapa. Ada dakwa guru tidak mengajar, tetapi sekadar meminta pelajar menonton video di YouTube. Ada ibu bapa mendakwa guru tidak mengajar dengan baik. Tak kurang juga berkata PdPR gagal. Beginilah, biar kita berlaku adil pada guru.
Pertama, tidak ada seorang pun guru di negara ini dilatih mengajar secara PdPR, apatah lagi mempunyai sijil atau ijazah pendidikan dalam bidang pengajaran ini. Semuanya dilatih mengajar secara bersemuka dalam bilik darjah. PdPR adalah pengalaman pertama semua guru. Jadi tidak adil mendakwa guru tidak cekap mengajar dalam PdPR.
Pandemik pengalaman pertama semua orang. Dalam proses PdPR, guru bukan sahaja terpaksa menguruskan 40 pelajar dalam talian, tetapi juga diperhatikan dan dinilai setiap saat oleh ibu bapa yang ikut sertai proses PdPR. Ia bukan suatu yang mudah. Sebab itu ibu bapa kena beri masa dan sedikit ruang untuk guru sesuaikan diri dengan PdPR.
Kajian Universiti Cambridge membuktikan guru di Malaysia mempunyai komitmen tinggi. Bagi menjayakan PdPR, guru perlukan masa untuk bangunkan bahan pengajaran dan peralatan bantuan mengajar. Kesabaran dan sokongan ibu bapa akan banyak membantu menguatkan semangat guru. Semakin kuat semangat guru, semakin cepat mereka menyesuaikan diri dan semakin cepat anak kita dapat belajar dengan berkesan melalui PdPR.
Berikan sedikit ruang untuk guru sesuaikan diri mereka dalam PdPR.

S: Bagaimana pula cadangan diwujudkan ekosistem bersepadu untuk PdPR?
J: Penyelarasan maklumat penting dalam melaksanakan PdPR secara berkesan dan seimbang kepada semua pelajar. KPM mempunyai keupayaan membina dashboard (papan pemuka) PdPR.
Melalui dashboard ini, semua maklumat dapat disepadukan, termasuk pihak industri dan syarikat yang mahu terbabit dalam PdPR. Daripada buku teks digital, video pengajaran, latihan setiap mata pelajaran, peperiksaan kendiri hingga aktiviti dana swasta untuk PdPR dan pekeliling serta pengumuman penting KPM pada pelajar. Semua dalam satu.
S: Gajet dan data masih isu utama dalam PdPR dan kelompok B40 antara paling terkesan?
J: Setahu saya, satu gigabait data internet biasanya akan habis apabila berterusan dalam talian selama 20 hingga 25 minit. Paling lama 30 minit. Maksudnya perlukan tiga gigabait kalau nak berada dalam talian selama satu jam. Kalau tiga jam berada dalam talian sehari maksudnya kena ada tujuh hingga sembilan gigabait. Sebulan sudah berapa?
Bayangkan kalau ada empat anak bersekolah. Mahu beratus ringgit ibu bapa kena sediakan. Belum lagi dikira ibu bapa kena beli gajet dan telefon. Bagi keluarga yang mampu tiada masalah, namun bagaimana kumpulan B40 dan ibu bapa yang hilang pekerjaan? Bagaimana dengan keluarga yang anak ramai? Maksudnya pembelajaran dalam talian sebagai paltform utama PdPR, walaupun nampaknya seperti hebat dan baik, tetapi sebenarnya tidak praktikal dan di luar kemampuan sebahagian besar rakyat.
Apa akan jadi jika diteruskan? Kita akan lihat semakin hari semakin ramai anak 'ponteng' PdPR jika berterusan pembelajaran dalam talian. Anak di kampung dan pedalaman memang sudah lama 'angkat bendera putih'. Mereka memang tak ada harapan untuk mengikuti kelas dalam talian sebab tiada internet.
S: Perlukah diwujudkan pakej bantuan untuk gajet dan data lebih besar kepada murid?
J: Sangat perlu, malah mesti disegerakan. Bukan sahaja kerajaan, tetapi juga pihak industri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini masanya untuk mereka bersama kerajaan membantu masyarakat memerlukan. Pertama, sediakan prasarana internet dengan kelajuan yang baik. Kedua, pakej bantuan gajet pada kumpulan pelajar yang memerlukan. Gajet bukan lagi barang mewah, tetapi kini satu keperluan pembelajaran.
Apabila kerajaan melabur kepada pendidikan itu bermakna negara sedang membangunkan tenaga manusia negara. Tidak merugikan, cuma jangan ada ketirisan dan kebocoran peruntukan serta permainan orang tengah dalam memastikan anak kita mendapat pakej bantuan gajet. Jika tiada ketirisan peruntukan, lebih ramai yang dapat memiliki gajet untuk pembelajaran mereka. Malah, kalau kita baca dokumen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 memang sudah dinyatakan 'satu pelajar satu komputer' mulai gelombang ketiga PPPM bermula 2021. Ini janji KPM sejak 2013. Bukan sebab PdPR dilaksanakan.
S: Bagaimana mengelak jurang pendidikan semakin melebar berpunca kekangan infrastruktur?
J: Bila bercakap soal jurang pendidikan, jangan kita lupa isu sekolah daif. Selepas 63 tahun merdeka masih ada lebih 600 sekolah daif di negara ini dan beratus lagi kekurangan prasarana serta kemudahan pembelajaran. Banyak sekolah di pedalaman tiada kemudahan elektrik dan masih menggunakan jana kuasa. Isu sekolah daif dan sekolah kurang kemudahan masih kritikal dan belum dapat diselesaikan. Ini antara punca utama mewujudkan jurang pendidikan. Ini belum selesai.
Sekarang kita berhadapan pula isu baharu yang akan meningkatkan jurang pendidikan iaitu pemilikan gajet dan akses kepada internet. Dalam persekitaran perubahan masyarakat yang sangat pesat, saya yakin jurang pendidikan akibat ketiadaan gajet dan akses internet jauh lebih kritikal dan serius berbanding sekolah daif kerana isu ini menerobos ke peringkat unit paling asas institusi pendidikan iaitu pelajar.
Bagaimana dapat menyelesaikan isu ini, kerajaan kena sediakan fasiliti pembelajaran dengan segera. Kerajaan bertanggungjawab sediakan kemudahan pembelajaran ini khususnya kepada anak daripada kumpulan keluarga rentan dan B40 supaya mereka tidak tercicir.
S: PdPR yang tidak babitkan semua murid mengundang risiko keciciran?
J: Kerajaan kena segera laksanakan secara komprehensif dan bersepadu pembelajaran melalui saluran televisyen (TV). Capaian RTM ada di seluruh negara. KPM sediakan jadual waktu kelas daripada Tahun Satu hingga Tingkatan Enam. Sediakan video pengajaran oleh guru pakar setiap mata pelajaran. Lantik seberapa ramai guru untuk buat video pengajaran bagi setiap topik.
Guru di seluruh negara pula berperanan sebagai fasilitator bagi pelajar masing-masing. Jika ada pelajar kurang faham selepas menonton video di televisyen, boleh rujuk guru masing-masing. Guru boleh gunakan perbincangan dalam talian, selain beri latihan tambahan berdasarkan video di televisyen dan kemudian menyemak latihan pelajar masing-masing. Melaluinya juga guru secara tak langsung dapat ilmu baharu apabila menonton teknik pengajaran oleh guru pakar di televisyen.
Dalam amalan pengajaran di negara ini, pengajaran melalui TV pendidikan jauh lebih berkesan berbanding dalam talian. Kosnya juga jauh lebih murah dan hampir semua rumah di negara ini ada televisyen. Cuma pastikan jadual pengajaran tidak bertindih. Boleh mula jam 7 pagi hingga 10 malam. Maksudnya 15 jam boleh digunakan sehari, 10 jam untuk sekolah menengah dan lima jam untuk sekolah rendah.
Pengajaran dalam talian masih pada peringkat inovasi di negara ini, masih peringkat putik. Walaupun baik, sistem pendidikan negara belum bersedia sepenuhnya. Jadi, dalam keadaan PdPR, TV Pendidikan pilihan terbaik. Sekarang kita melaksanakan pendidikan masa darurat. Bukan masanya untuk kita berinovasi.
S: Apa komitmen kerajaan dalam aspek memastikan keberkesanan PdPR?
J: Umumnya, dalam stratifikasi sosial masyarakat pasti akan ada empat kumpulan. Pertama, kumpulan rentan terdiri kelompok sangat miskin, fakir dan tiada tempat bergantung. Misalnya ibu tunggal yang mempunyai ramai anak kecil, gelandangan, orang kurang upaya (OKU), warga tua tanpa waris dan mereka yang mempunyai penyakit kronik. Mereka tiada pekerjaan dan tiada pendapatan.
Kumpulan ini memerlukan penjagaan dan fasiliti disediakan kerajaan, contohnya rumah warga emas, pusat khidmat ibu tunggal, pusat jagaan OKU, pusat dialisis dan sebagainya. Kumpulan ini memerlukan agenda penjagaan berterusan dan biasanya tidak akan berkurang dalam masyarakat, sebaliknya sentiasa bertambah. Jadi penambahbaikan sistem penjagaan untuk kumpulan rentan mestilah dijadikan agenda berterusan dalam perancangan kerajaan.
Kumpulan kedua pula B40 seperti pekerja upah harian, petani kecil, penoreh getah, nelayan sungai, penjaja kecil, kakitangan kerajaan kategori sokongan dan golongan mahasiswa. Mereka memerlukan bantuan langsung dan sokongan dalam bentuk kewangan serta khidmat nasihat secara berterusan. Contohnya, skim bantuan, modal permulaan perniagaan, biasiswa dan sebagainya. Kerajaan perlukan agenda meningkatkan taraf hidup kumpulan B40.
M40 pula tidak memerlukan penjagaan atau bantuan secara berterusan. Hanya apabila perlu. Misalnya ketika ekonomi merosot atau negara ditimba musibah. T20 pula memerlukan dasar mesra industri dan perniagaan. Mereka tidak perlukan penjagaan, bantuan dan subsidi langsung.
Sebab itu apabila pengecualian cukai untuk pembelian gajet, diumumkan, yang tersenyum simpul tentu M40 dan T20, sedangkan isu tidak memiliki gajet untuk belajar membabitkan anak kumpulan rentan dan B40. Kerajaan perlu lebih fokus bantuan terus kepada kumpulan sasaran dalam memastikan pendidikan. anak tidak terabai.
S: Apa kesan PdPR jika isu yang timbul tidak ditangani?
J: Data menunjukkan secara konsisten pencapaian akademik pelajar sekolah bandar lebih baik berbanding luar bandar. Segala macam infrastruktur pendidikan wujud di sekolah bandar. Guru pakar dan cemerlang lebih banyak di sekolah bandar. Pelajar di sekolah bandar sentiasa 'bertuah'. Apabila PdPR dalam talian mula digunakan guru, jurang akses pendidikan antara bandar dan luar bandar akan terus semakin melebar. Seperti saya sebut, majoriti sekolah rendah di Malaysia berada di luar bandar dan pedalaman.
PdPR jika tidak diimbangi antara pelajar di bandar dan pedalaman akan menghasilkan jurang pencapaian pendidikan sangat besar. Bimbang nanti selesai dengan masalah COVID-19, kita berhadapan pula dengan 'pandemik pendidikan PdPR' bila jurang pendidikan semakin melebar antara pelajar bandar dan luar bandar atau kumpulan pelajar kaya dengan pelajar miskin.
'PdPR datang mendadak, kita belum sedia'

Prof Dr Jamal Othman. S: Sejauh mana kita bersedia dalam aspek pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)?
J: Malaysia mempunyai akses yang baik, namun PdPR memerlukan ekosistem yang sesuai. Buat masa ini kita belum pada tahap dikehendaki sebab ia dilaksanakan dalam keadaan mendadak akibat pandemik COVID-19. Namun, perkara ini boleh ditambah baik dari semasa ke semasa membabitkan penambahbaikan dasar bersesuaian dengan apa yang dikehendaki dalam PdPR.
Untuk berubah kepada sistem pembelajaran dalam talian sepenuhnya kita belum ada infrastruktur mencukupi. Kita terperangkap sebab ramai menganggap pandemik ini tidak lama, tetapi sebenarnya ia akan berada lama dengan kita. Kita belum bersedia sepenuhnya berikutan ia dilaksanakan dalam masa terdekat sangat.
S: Dalam konteks tindakan, apa penumpuan harus diberi kerajaan?
J: Pelaksanaan dan keberkesanan PdPR sangat terkait dengan capaian internet dan peranti. Akhirnya ia terkait dengan aspek kemampuan dan pendapatan keluarga, selain terkait juga dengan isu ekosistem pendidikan PdPR itu sendiri. Ia semestinya merangkumi aspek kemahiran dan persediaan guru atau pengajar dalam menyediakan bahan pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang bersesuaian.
Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) diumumkan Perdana Menteri memberi lanjutan pelepasan cukai untuk membeli peranti sehingga Disember tahun ini, selain pemberian data percuma untuk pendidikan. Bagi saya ini suatu yang baik, namun PdPR ini tidak wajar hanya dilihat dari perspektif dalam talian yang bergantung kepada gajet dan platform tertentu.
Seharusnya kita meneroka media atau platform alternatif lain misalnya Televisyen (TV) pendidikan atau penggunaan bahan cetak yang lebih mudah dicapai golongan kurang berkemampuan atau mereka yang menghadapi masalah capaian internet.
S: Bagaimana cadangan diperkenal pakej bantuan untuk pembelian gajet dan data?
J: Saya fikir ini inisiatif wajar dalam keadaan persekolahan hari ini berlangsung dalam talian melalui PdPR. Namun, sangat penting kumpulan atau individu penerima yang benar-benar memerlukan bantuan itu dapat dikenal pasti berpandukan kriteria tertentu yang lebih objektif dan reflektif.
Menentukan kumpulan sasar sekadar berpandukan kategori pendapatan secara umum mungkin berpotensi menyingkirkan golongan isi rumah tertentu sedangkan bajet awam lazimnya adalah terhad.
S: Benarkah kita terlepas pandang keperluan PdPR, khususnya dalam soal peruntukan?
J: Anggapan pandemik COVID-19 adalah isu transitori yang mungkin tidak akan melangkaui 2020 mungkin mempengaruhi penyenaraian keutamaan program serta penyediaan peruntukan untuk kementerian yang bersangkutan. Namun, dengan berkuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua serta Proklamasi Darurat, saya fikir Kementerian Pendidikan akan berbuat sesuatu.
Tidak mustahil kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan akan terdorong membuat semakan terhadap peruntukan dan keutamaan program digariskan dalam Belanjawan 2021 dibentangkan sebelum ini.
Pertimbangan sama juga diguna pakai dalam persoalan sama ada kerajaan boleh mengalihkan peruntukan infrastruktur yang menjadi kelaziman dalam belanjawan lalu, untuk digunakan bagi tujuan penyediaan gajet dan kandungan pendidikan yang kini menjadi norma baharu dalam pendidikan.
S: Bukankah aspek ketersambungan turut meliputi penyediaan infrastruktur capaian internet pelaburan negara?
J: Kita sedar pentingnya digital ekonomi untuk masa depan dan penubuhan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada 1996 adalah cerminan terhadap kesedaran kita dalam ekonomi digital. Kita akan melaksanakan 4G sepenuhnya dan 5G tahun hadapan dan negara berada pada landasan yang betul.
Kerajaan agak ke depan berbanding banyak negara lain. Namun masalahnya apabila dikaitkan dengan PdPR, aspek pembelajaran daripada rumah ini kalah kerana COVID-19 muncul mendadak sedangkan sistem pengajaran dan pembelajaran kita masih konvensional. Kita terpaksa berubah kepada maya dalam keadaan agak tergesa-gesa. Itu yang menimbulkan masalah.


Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://dialograkyat.blogspot.com/2021/01/tiada-capaian-internet-gajet-seperti.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Pandainya Nampak Selesa Semangat Dalam Kelas Online Yusuf Iskandar Dah Sekolah Ruang Belajar Curi Tumpuan

Pandainya Nampak Selesa Semangat Dalam Kelas Online Yusuf Iskandar Dah Sekolah Ruang Belajar Curi Tumpuan

papar berkaitan - pada 24/1/2021 - jumlah : 490 hits
Pengalaman anak pertama kali melangkah masuk ke alam persekolahan sememangnya mendebarkan Rasa tidak yakin bimbangkan keadaan anak yang masih tidak pandai berdikari dan sebagainya Seribu satu persoalan dan kerisauan yang bersarang di minda ...
Kerani Sekolah Redah Hujan Banjir Hantar Bahan Pdpr Pada Murid Tiada Internet

Kerani Sekolah Redah Hujan Banjir Hantar Bahan Pdpr Pada Murid Tiada Internet

papar berkaitan - pada 30/1/2021 - jumlah : 267 hits
Menyedari akan kepentingan setiap pelajar memperoleh bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah seorang kerani sekolah di Kota Belud Shafiq Shazwan Juhen sanggup meredah hujan dan banjir untuk menghantar bahan berkenaan ke rumah pelajar Usa...
Anak Tak Dihantar Belajar Di Sekolah Suhaimi Saad Ajak Anak Isteri Buat Kumpulan Nasyid Bismillah

Anak Tak Dihantar Belajar Di Sekolah Suhaimi Saad Ajak Anak Isteri Buat Kumpulan Nasyid Bismillah

papar berkaitan - pada 28/1/2021 - jumlah : 289 hits
Biarpun dia memiliki pendirian untuk tidak menghantar anak anak mengikuti sistem pendidikan formal di sekolah penyanyi Suhaimi Saad nampaknya mempunyai perancangan tersendiri buat masa depan anak anaknya Setelah lama menyepi dari dunia nasy...
Capaian Internet Di Pulau Aman Masih Ketinggalan

Capaian Internet Di Pulau Aman Masih Ketinggalan

papar berkaitan - pada 23/1/2021 - jumlah : 433 hits
NUR Alea Soffiyah Ahmad Hanif dan Hanis Syuhada Razali terpaksa belajar di luar rumah kerana masalah capaian internet Foto NUR IZZATI MOHAMADNIBONG TEBAL Sebahagian pelajar sekolah di Pulau Aman dekat sini terpaksa merayau sehingga ke Hujun...
Pdpr Susahnya Internet Slow Belajar Pun Tak Fokus

Pdpr Susahnya Internet Slow Belajar Pun Tak Fokus

papar berkaitan - pada 26/1/2021 - jumlah : 374 hits
Azmizan Atek bersama dua kanak kanak orang asli mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah menggunakan telefon bimbit ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Pangsun Hulu Langat Selangor Foto SYAFIQ AMBAK2021 HULU LANGAT Pelak...
1 Sekolah Di Melaka Terengganu Ditutup Sementara Akibat Covid 19

1 Sekolah Di Melaka Terengganu Ditutup Sementara Akibat Covid 19

papar berkaitan - pada 23/1/2021 - jumlah : 333 hits
January 23 2021 Penutupan sementara dua sekolah itu bagi membolehkan kerja sanitasi dijalankan pihak berkuasa KOTA MELAKA Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah di Durian Daun di sini diarah tutup selama seminggu selepas seorang guru disahkan pos...
Sarawak Akan Bina Sekolah Menengah Agama Antarabangsa

Sarawak Akan Bina Sekolah Menengah Agama Antarabangsa

papar berkaitan - pada 23/1/2021 - jumlah : 315 hits
Oleh Ketua Menteri Sarawak Abang Johari melakukan simbolik perasmian ulang tahun ke 10 Ma had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya kub di Dewan Majma Tuanku Dewan Abdul Halim Muadzam Shah di sini hari ini Foto NSTP Melvin Joni KUCHING Kerajaan negeri...
Perketat Sop Untuk Sekolah Laksanakan Pdpr Serentak

Perketat Sop Untuk Sekolah Laksanakan Pdpr Serentak

papar berkaitan - pada 24/1/2021 - jumlah : 180 hits
Pada 24 Januari 2021oleh PENTADBIROleh B SuffianKementerian Pendidikan digesa mengetatkan prosedur operasi standard untuk semua sekolah supaya risiko kesihatan boleh dikawal ketika penularan pandemik Covid 19 kini Ke arah itu Ahli Parlimen ...
Covid 19 10 Lagi Sekolah Rendah Di Kuala Terengganu Diarah Tutup

Covid 19 10 Lagi Sekolah Rendah Di Kuala Terengganu Diarah Tutup

papar berkaitan - pada 25/1/2021 - jumlah : 213 hits
Astro AwaniJanuari 25 2021 Terdahulu dua buah sekolah iaitu SK Sultan Sulaiman 1 dan SK Paloh ditutup selama 14 hari bagi proses sanitasi ekoran terdapat lapan kes positif COVID 19 dikesan Gambar failKUALA TERENGGANU Sebanyak 10 buah sekola...
Makan Steamboat Dapat Henna Free

15 Kafe Di Johor Bahru Instagrammble Muslim Friendly

Sarawak And Malaysia Can T Afford Escalating O G Disputes

Antara Projek Pungguk Rindu Bulan Tilapia M Sia Pro Hamas

Isu Calon Perdana Menteri Kembali Menjadi Tegang Di Kalangan Pemimpin Pn

Isu Papan Tanda Aneh Dan Pelik Menteri Wilayah Masih Diam

Worldcoin Dan Ai

Coffee Is For Closers The Motivational Phrase From Quot Glengarry Glen Ross


echo '';
Memahami Fasa Renjatan Elektrik Yang Selamat dan Berbahaya Untuk Manusia

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Lara Kasih Slot Samarinda TV3

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 2 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 1 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 1 Gegar Vaganza 2024 Musim 11


Yaph Jiwa Gundah

E Book Pertama Saya

Resipi Ayam Gepuk

Orbit Labels The Parent S Choice For Safe And Sanitary Feeding

Samun Barang Kemas Dianggar Seberat 4 1 Kilogram Bernilai Rm1 54 Juta Sekumpulan Penjenayah Diburu

Kes Bunuh Pelajar Vokasional Warden Temui Mangsa Tak Sedarkan Diri