Terjemahkan Taawun Siyasi Di Empat Negeri Bn Pas
Haspaizi Zain Diterbitkan Hari ini 9:21 pagi
ULASAN | Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam menjadi saksi kepada detik penuh sejarah, penyatuan dua parti dominan orang Melayu terbesar di negara ini termeterai secara rasminya apabila Piagam Muafakat Nasional ditandatangani pemimpin utama kedua-dua parti itu.
Dewan Merdeka PWTC disulami emosi apabila pemimpin Umno dan PAS serta perwakilan yang hadir dilihat mengesat air mata selepas Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang selesai menandatangani piagam kerjasama itu.
Diiringi lagu Teman Sejati yang dipopularan kumpulan nasyid Brothers, laungan takbir "Allahuakbar" berkumandang sebaik piagam Muafakat Nasional dibacakan Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan yang masing-masing mewakili parti sebagai setiausaha agung.
Boleh dikatakan Himpunan Penyatuan Ummah yang berakhir petang semalam mencapai matlamat penganjurannya apabila menarik kira-kira 25,000 hadirin.
Lebih sesak berbanding perhimpunan agung Umno, kehadiran orang ramai yang memenuhi setiap ruang menyukarkan pergerakan, dengan masing-masing dilihat begitu teruja untuk menyaksikan peristiwa penting penyatuan dua parti yang telah puluhan tahun bertelagah sesama sendiri di arena politik.
Penyatuan atau kerjasama Umno dan PAS yang lebih dikenali sebagai "taawun siyasi", bukanlah benda baru. Malah dua parti itu pernah bekerjasama membentuk kerajaan sewaktu parti Perikatan.
Umno yang ketika itu bersama parti Perikatan dan PAS membentuk kerajaan perpaduan pada tahun 1974, beberapa tahun selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Kisah 'perkahwinan' PAS
PAS menyertai pilihan raya umum pada tahun 1974 tidak menggunakan logo parti mereka, sebaliknya menggunakan logo BN dan BN pada ketika itu cukup kuat apabila dua parti pembangkang iaitu PAS dan Gerakan menyertai mereka.
Bagaimanapun, pada tahun 13 Dis 1977 PAS "diceraikan" oleh BN. PAS kaya pengalaman dalam menjalinkan kerjasama, termasuklah pernah bekerjasama dengan parti Semangat 46 (S46), DAP dan juga PKR.
Kebanyakkan "perkahwinan" PAS dengan rakan politiknya tidak bertahan lama dan itulah yang menjadi cabaran bagi "taawun siyasi" yang terbentuk kini antara Umno dan PAS.
Namun, yang lebih menarik lagi, dengan termeterainya secara rasmi kerjasama Umno, PAS maka segala persengketaan lama secara rasminya juga terhapus.
Amanat Haji Hadi sudah tidak lagi relevan, kafir mengkafir antara PAS dan Umno tidak akan kedengaran lagi, tiada lagi dua imam satu masjid dan sekali gus mungkin menamatkan persengketaan sesama Melayu disebabkan "mazhab politik" yang tercetus sebelum ini.
Dari sudut ini, penyatuan ummah yang digerakan oleh Umno dan PAS baik untuk iklim masyarakat Melayu dan umat Islam.
Terjemah sebagai kekuatan
Tetapi jauh lebih penting daripada itu, yang perlu direnungkan, apakah kerjasama dua parti ini mampu diterjemahkan sebagai kekuatan untuk menghadapi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
Isu agihan kerusi pastinya menjadi agenda besar yang perlu diperhalusi dengan cermat dah berhikmah, ini adalah cabaran besar bagi pemimpin kedua-dua parti.
Jika gagal, kerjasama yang dibina ini tidak mampu membuahkan hasil yang diharapkan.
Apakah pemimpin akar umbi setiap parti sedia untuk melepaskan kerusi kepada rakan sekiranya itu diputuskan dan sedia untuk memenangkan calon yang dipertaruhkan.
Bukan saja soal kerusi, pemimpin kedua-dua parti ini perlu melihat dengan lebih mendalam harapan dan impian besar orang Melayu terhadap penyatuan ummah yang telah dirintis ini.
Keikhlasan penyatuah ummah ini belum lagi teruji, dan pada sidang media selepas himpunan itu, Abdul Hadi ada menyatakan kesediaaan untuk memasukan Umno dalam kerajaan yang dipimpin PAS.
Oleh itu, untuk membuktikan keikhlasan dan betapa serius kerjasama yang terjalin bukan sekadar gimik politik, Umno dan PAS perlu memulakan kerajaan perpaduan di empat negeri yang mereka kuasai iaitu, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.
Ia penting bukan saja untuk membuktikan keikhlasan kerjasama, tetapi untuk membenih keserasian dan keselesaan penyatuan yang dibina.
Dengan jumlah kehadiran yang mencecah puluhan ribu, PH tidak boleh memandang sepi kerjasama dua parti itu yang pasti mengancam kedudukan mereka yang kini sedang berkuasa di Putrajaya.
HASPAIZI ZAIN merupakan wartawan Malaysiakini.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/09/terjemahkan-taawun-siyasi-di-empat.html