Tengku Zafrul Nak Jadi Calon Lembah Pantai Hannah
 Wartawan MalaysiaGazette

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di sebuah masjid di Jalan Pantai Baru menjadi persoalan kepada Hannah.            KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mempersoalkan  kehadiran Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di  sebuah masjid di Jalan Pantai Baru di sini bagi mengagihkan bantuan.
Pemimpin DAP  bertanya jika Tengku Zafrul sedang membuat persiapan  untuk bertanding di Parlimen Lembah Pantai dalam Pilihan Raya Umum (PRU)  akan datang.
“Wow Tengku Zafrul nak jadi calon di Lembah Pantai ke?” soalnya mengusik di Twitter hari ini.
Ciapan itu melampirkan gambar Tengku Zafrul yang mengagihkan sumbangan bakul makanan di kawasan berkenaan.
Beliau turut menandanya hantaran itu kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Sejak diwujudkan tahun 1984, kerusi Parlimen Lembah Pantai secara  tradisinya disandang UMNO sehinggalah PRU-12 apabila Nurul Izzah Anwar  daripada PKR membuat kemunculan pertama dalam pilihan raya dan  mengalahkan penyandang kerusi itu selama tiga penggal, Tan Sri Shahrizat  Abdul Jalil.
Menerusi tangkap layar hantaran Instagram yang dikongsi Hannah,  Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM50 juta telah disalurkan kepada  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk  program bakul makanan yang memanfaatkan lebih 430,000 keluarga.
Dalam ciapan sama, beliau turut bertanya kepada Menteri Pembangunan  Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun mengapa  masjid dan surau di Segambut tidak mendapat sumbangan yang sama.
 “Mana perginya (dana) bakul RM50 juta ini? Kami tak nampak pun di  Kuala Lumpur,” katanya yang turut menanda ahli Parlimen PH di Kuala  Lumpur lain iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawanga), Lim Lip Eng  (Kepong), Teresa Kok (Seputeh) dan P. Prabakaran (Batu).
Sementara dalam hantaran Instagram tersebut, Tengku Zafrul berkata,  program bakul makanan tersebut bukan baharu dan dana telah disalurkan  kepada KPWKM sejak awal tahun ini.
Tambah Tengku Zafrul, Di bawah PEMULIH, kerajaan menyalurkan  RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen untuk program bakul makanan kepada  golongan terjejas di kawasan mereka.- MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/tengku-zafrul-nak-jadi-calon-lembah.html