Tempoh Kritikal Untuk Perdana Menteri Interim Tadbir Negara Penganalisis
Bernama                                                                                                

                                Anuar  Shah menegaskan, keadaan ini tidak seharusnya mengambil masa yang  panjang kerana ia boleh membawa negara kepada situasi yang tidak  menentu.                                                                                                                       
KUALA LUMPUR: Seluruh perhatian  kini tertumpu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau melaksanakan  tugasnya sebagai perdana menteri interim dalam mengharungi saat-saat  kritikal, mengemudi pentadbiran negara tanpa bantuan Jemaah Menteri.
 Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Dr Anuar Shah Bali  Mahomed berkata tempoh itu boleh berlanjutan sehingga tiga, atau empat  hari lagi, selagi tiada ketetapan berhubung gabungan parti mana yang  mempunyai majoriti dan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.
                                                         "Pada ketika ini, kesemua parti  politik berdepan tugas getir dalam mendapatkan sokongan parti lain dan  bergabung membentuk pakatan baharu. Perkara ini memerlukan masa. Namun  sementara menunggu ia diputuskan, Dr Mahathir selaku perdana menteri  interim masih perlu menjalankan tugasnya.
 "Jadi, adalah penting  untuk parti politik segera mendapatkan sokongan atau bergabung dengan  parti lain dan seterusnya membawa usul kepada Yang di-Pertuan Agong  untuk membentuk kerajaan. Di sinilah nanti perdana menteri yang baharu  akan dipilih," katanya kepada Bernama.
                                                                                                                      Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin  Al-Mustafa Billah Shah dilaporkan berkenan melantik Dr Mahathir sebagai  perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya.
  Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr  Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh dan  surat kepada Yang di-Pertuan Agong dihantar pada pukul 1.00 tengah hari  semalam.
 Dr Mahathir turut meletak jawatan sebagai pengerusi  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti itu juga telah keluar  daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).
 Negarawan berusia 94  tahun itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei,  2018, selepas menerajui PH untuk menjatuhkan apa yang beliau gelar  sebagai kerajaan kleptokratik.
 Mengikut perlembagaan,  sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen diperlukan bagi memenangi  majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
 Jelas Anuar Shah,  jumlah angka atau sokongan kepada sesuatu sokongan ini akan berubah-ubah  selagi tiada ketetapan yang dibuat oleh seorang 'teraju' yang mewakili  sesuatu gabungan baharu dalam membentuk kerajaan.
 Tegasnya,  keadaan ini seharusnya tidak akan mengambil masa yang panjang kerana ia  boleh membawa negara kepada situasi yang tidak menentu.
 Sementara itu, seorang peguam, Datuk Salehuddin Saidin berkata tiada peruntukan khas di dalam Perlembagaan yang menentukan  tempoh masa untuk seseorang itu menjadi perdana menteri interim.
 Justeru, ia terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya.
 "Hanya perdana menteri interim sahaja yang boleh mentadbir negara.  Namun seharusnya ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana boleh  menjejaskan ekonomi negara. Jadi, ini tanggungjawab semua parti politik  untuk menyelesaikan atau mengubahnya," tambahnya. -- BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/tempoh-kritikal-untuk-perdana-menteri.html