Teks Ucapan Hari Guru Oleh Pengetua
PENYAMPAI
:
TARIKH
:
16-Mei-2019
HARI
: KHAMIS MAJLIS
:
HARI GURU SMK HANG JEBAT 2019
TEMPAT
:
SMK HANG JEBAT, PERAK
ISU
:
HARI GURU
TEKS UCAPAN PENUH :
Bismillahir-rahmanir-rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam 1Malaysia dan Salam Perak Aman Jaya.
Terima kasih, saudari Pengerusi Majlis
Yang Berusaha Tuan Haji Zain Ariff Zailani, Penolong Kanan
Yang Berusaha Tuan Haji Mahhadee Ramlee, PK HEM
Yang Berusaha Tuan Haji Shaharul Helmi Ayub, PK Kokurikulum
Barisan guru yang dedikasi
dan tidak dilupakan
Hujung tanjung banyak berlian
Yang dikasihi anak murid sekalian.
Pertamanya, marilah kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita berada dalam majlis yang mulia ini dan kita dapat bersama-sama meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah, SMK HANG JEBAT bagi Tahun 2019, dalam suasana yang ceria, harmoni dan tenang. “Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi”
itulah tema perayaan hari guru pada tahun ini.
menjadi contoh, mencurah ilmu,
tak kenal lelah, tak tahu jemu;
itulah cikgu, itulah guru,
besar jasanya sejak dahulu.
Pada tanggal 16 Mei setiap tahun, warga pendidik akan meraikan sambutan hari guru. Pada tahun ini perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan disambut di SMK HANG JEBAT. Justeru, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ”Selamat Hari Guru” kepada semua guru di sekolah ini.
Cikgu-cikgu yang dikasihi,
Pada bahu kita ini…..
yang digelarkan cikgu
diletakkan seribu harap
oleh ibu bapa yang datang
dengan wajah tersenyum anak-anak dibawa
dengan harapan menggunung disandar jua.
Kita yang digelar Cikgu
dengan wajah girang terima
tanggungan yang bukan kepalang
harapan besar akan ditunaikan
Lalu anak-anak yang tiada dosanya
dicalit pelbagai warna-warni
dicampur-aduk dengan seribu ragam
di sekolah cikgu kata itu
di rumah ibu kata ini
di jalan kawan kata situ
di dalam bas abang kata sini
banyak kali jua TV kata sana
warna-warni itulah bercelaru di kepalanya
warna-warni itulah menjadi cikgu
kadang-kadang keliru dalam membantu
kadang-kadang membuatkan ayah membisu
dan kepala anak menjadi batu
Cikgu, pada bahu ini seorang cikgu
menyaksikan harapan yang tidak kunjung datang
memilih warna yang semakin sukar diadunkan
dan selepas habis segalanya
jiwa raga, semangat nurani, malah diri
diberikan untuk mendidik anak bangsa
dan di hari kejayaan si ibu berkata:
“Anak saya pintar dan rajin….
sebab itulah dia berjaya!”
Dan di hari kegagalan si ibu pun berkata:
“Cikgunya malas-malas belaka …
tidak pandai mengajar….
lantas anak saya gagal!”
Cikgu, Tak apalah cikgu
semua mereka itu anak-anak orang
cikgu hanya menumpang tuah kiranya
suatu masa nanti bangsa ini dapat bangun
berdiri megah dengan anak watan
dan perjuangan cikgu tidak pernah kan padam
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun sesungguhnya banyak mengimbau kenangan manis tentang peranan guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Masyarakat sentiasa memberikan penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga terhadap tugas dan peranan guru. Pengiktirafan ini menandakan harapan dan kepercayaan yang sangat tinggi terhadap komitmen dan kemampuan guru dalam menyumbang ke arah pembangunan potensi masa depan pelajar. Justeru, amat wajar jika Sambutan Hari Guru yang diraikan setahun sekali ini memberi kedudukan istimewa kepada insan yang bernama guru. Inilah satu-satunya cara terbaik kita memberi ruang untuk menyatakan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.
Anak-anak murid yang dikasihi,
Kerana anda jadi pelajar,
Jangan malas hendak belajar,
Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.
Jangan asyik berangan-angan,
Tekun gigih jadi pegangan.
Jika berusaha sambil lewa,
Tidak hairan kalau kecewa.
Masa itu emas dan wang,
Walau sedikit jangan dibuang.
Masa berlalu terlalu pantas,
Orang yang lalai akan dicantas.
Pesan saya,
Kalau hendak tahu luasnya padang,
tanyalah belalang.
Kalau hendak tahu banyaknya teluk,
tanyalah siput.
Kalau hendak tahu luasnya kolam,
tanyalah katak.
Kalau hendak tahu dalamnya laut,
tanyalah yu.
Kalau hendak tahu luasnya langit,
tanyalah helang.
Kalau hendak tahu luasnya hutan,
tanyalah kijang.
Kalau hendak tahu kerasnya paku,
tanyalah tukul.
Kalau hendak tahu liatnya tangkai jering,
tanyalah galah.
Semua orang mempunyai pengetahuan,
Semua orang boleh menjadi guru….
Namun...kami semua di hadapan ini, mampu menjadi belalang, berupaya menjadi kijang. Ada yang mampu menjadi 3R, hebat lakonannya seperti Rosyam Noor, mersik suaranya seperti Ramli Sarip atau lincah geleceknya seperti Ronaldo, serasi seperti seperti kata SN Usman Awang:
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya ingin mengajak warga pendidik sekolah ini mengimbau sejenak tentang tugas dan peranan kita dalam mendidik anak bangsa?. Sejauh mana dan setakat manakah usaha yang telah kita lakukan ini benar-benar menjadikan mereka insan yang benar-benar berbudi luhur, berakhlak mulia, berjaya dan cemerlang dalam kehidupan?. Sesungguhnya ia merupakan suatu tugas yang sangat berat serta amanah yang sangat besar. Di tangan kitalah letaknya kejayaan mereka. Justeru kita seharusnya meletakkan harapan mereka lebih utama daripada kepentingan diri kita. Sesungguhnya inilah ciri-ciri guru sebenar. Kita sanggup berkorban bukan sahaja dengan masa dan tenaga, malah dengan wang ringgit.
Gurindam Guru Sejati
Guru sejati muhasabah diri,
Bijak bertindak dan berdikari.
Guru sejati senyum mesra,
Sentiasa menggunakan budi bicara.
Senyuman dipapar menawan hati,
Tutur katanya penuh bererti.
Guru sejati guru berkualiti,
Gigih mengajar sepenuh hati.
Rela berkorban apa sahaja,
Kurang cakap banyak bekerja.
Guru sejati umpama lebah,
Menebar ilmu sabar tabah.
Membina, membentuk insan berakhlak
Gigih membimbing tak pernah jelak.
Marahnya sayang bencinya kasih,
Mulutnya manis hatinya bersih.
Guru sejati sentiasa proaktif,
Tenang tenteram berfikiran positif.
Guru sejati guru bestari,
Hidup bermotivasi jati diri.
Guru sejati berbudi bahasa,
Berkhidmat demi nusa dan bangsa.
Akhir kata, kepada semua warga pendidik sekolah ini, budi dan pengorbanan cikgu-cikgu yang dicurahkan kepada anak didik di sekolah ini amat dihargai dan sangat disanjung tinggi.
Marilah kita,
Yang busut hendaknya jadikan bukit
Yang bukit jadikan gunung.
Yang kapas hendaknya jadikan benang
Yang benang jadikan kain.
Mata air hendaknya jadikan sungai
Lopak jadikan kolam
Tasik hendaknya jadikan lautan
Alunnya jadikan gelombang
Seinci hendaknya jadikan sekaki
Sejengkal jadikan sedepa
Semangkuk hendaknya jadikan sehidangan
Sehasta jadikan sekodi
Semayam hendaknya jadikan sebungkal
Sekuali jadikan sekawah
Sekampung hendaknya jadikan senegeri
Seuncang jadikan seguni
Secubit hendaknya jadikan sekepal
Secupak jadikan segantang
Semangkuk hendaknya jadikan setempayan
Sebuntil jadikan sekepuk
Sehari hendaknya jadikan sebulan
Sebulan jadikan setahun
Semusim jadikan sekurun
Hidup tidak selalu indah,
tetapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan
SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU.
“Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi”
TERIMA KASIH CIKGU.
Diubahsuai daripada sumber yang diyakini (TERIMA KASIH), untuk penulis teks yang diyakini!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://cuit-cuitbahasa.blogspot.com/2019/04/teks-ucapan-hari-guru-oleh-pengetua.html