Tanjung Tualang Tin Dredge Tt5 Secebis Zaman Kegemilangan Bijih Timah Malaysia
Dengan beratnya melebihi 4,500 tan, TT5 tidak ubah seperti ‘raksasa besi’. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)
BATU GAJAH: Kala ini kita begitu mudah lupa bahawa Perak satu ketika dulu pernah menjadi antara negeri paling kaya di Malaya.
Untuk sekian lama, Perak pernah menjadi lubuk meraih pelbagai hasil galian, khususnya bijih timah yang terlalu penting lagi menguntungkan pada era penjajah.
Disebabkan itu, Empayar British menganggap Perak sebagai aset utamanya dengan menggali ribuan tan timah sepanjang beberapa dekad.
Ketika inilah Lembah Kinta menjadi pusat operasi perlombongan meluas, yang membawa kepada kemunculan bandar seperti Kampar dan Gopeng.
Kini pada 2022, zaman kegemilangan lombong timah sudah lama berlalu, namun masih ada kesan peninggalan sebagai bukti kehebatan silamnya yang tetap tak lapuk dimakan zaman.
Di Tanjung Tualang, satu struktur bersejarah masih megah berdiri, seolah-olah menjemput pengunjung untuk datang melawat.
TT5 yang telah lama tidak beroperasi, kini menjadi muzium bagi mendidik pengunjung mengenai sejarah perlombongan hebat Perak. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)Tanjung Tualang Tin Dredge No. 5, atau dikenali sebagai TT5, memang menarik, khususnya bagi generasi muda yang tidak pernah melihat jentera sepertinya.
Dengan berat melebihi 4,500 tan, kapal korek timah itu tidak ubah seperti raksasa diperbuat daripada keluli dan besi, mencakar langit sambil dikelilingi kawasan perumahan di sekitarnya.
Ketika kemuncak industri perlombongan bijih timah, TT5 antara puluhan kapal korek di Perak yang menghasilkan bertan-tan bijih timah setiap hari.
Kapal korek itu kini antara yang terakhir masih ada di negara ini, kerana kebanyakan mesin seumpamanya telah ditamatkan “hayat” untuk dijadikan besi buruk.
Namun mujur kini masa depan TT5 nampak lebih cerah, apa lagi jika dilihat pada barisan pengunjung yang sabar menunggu masuk ke situ.
Pada peralihan kurun ke-21 nasib TT5 nampak agak suram, malah pada satu ketika nampak sekadar ditenggelamkan dalam lombong lama.
Pada zaman kegemilangannya, TT5 begitu sibuk dengan hingga 70 pekerja berada di atas kapal korek itu. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)Kerja-kerja pemulihan secara besar-besaran kemudian dilaksanakan, sehingga pada 2017 TT5 akhirnya dibuka kepada umum sebagai satu tarikan pelancong.
Bagaimanapun, bukanlah mudah untuk pengunjung masuk ke situ malah perlu dilakukan dengan berhati-hati, kerana sebagai bekas lokasi perindustrian, ia mampu mengundang bahaya kepada mereka yang tidak berpengalaman.
Sebaliknya, sesi lawatan berpandu disediakan setiap jam mulai 9.30 pagi hingga 4.30 petang. Setiap sesi boleh disertai hingga 25 orang dengan pemandu pelancong yang menggunakan sama ada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau Mandarin mengikut permintaan.
Ketika lawatan FMT ke situ, eksekutif operasi TT5 Aizad Noor Azeli turut menyertai bagi menjelaskan sejarah dan fungsi kapal korek timah berkenaan.
Menurutnya, kapal korek timah pertama Perak tiba dari Britain pada 1913, manakala TT5 sendiri dibina pada 1938.
“Ketika zaman kegemilangan industri lombong timah, Malaya mempunyai kira-kira 120 kapal korek dengan 60% daripadanya berada di Perak,” katanya.
Selepas memberikan khidmat selama berdekad-dekad, TT5 akhirnya berhenti digunakan pada 1980-an ketika harga timah global merudum. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)Pada awalnya, TT5 merupakan kapal korek bersaiz sederhana yang pada mulanya dikuasakan dengan enjin stim sebelum digantikan dengan enjin diesel pada 1963.
Secara kebiasaannya, hingga 70 pekerja bertugas di atas kapal korek itu, yang dibahagikan kepada tiga syif.
“Kebanyakan pekerjanya berbangsa Cina, tetapi sebenarnya mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dengan orang Melayu, Punjabi, India dan Eropah semuanya bekerja bersama-sama,” kata Aizad.
Walaupun tugasnya sukar dengan tempoh waktu yang lama, Aizad berkata bekerja di TT5 membawa banyak habuan dan prestij. Pekerjanya dibayar gaji tinggi, malah syarikat perlombongan yang mengendalikan TT5 turut menyediakan pendidikan, perlindungan perubatan dan pengangkutan untuk anggota keluarga pekerjanya.
Menerokai TT5 nyata satu pengalaman unik kerana membolehkan pengunjung merasai secara sendiri kesejatian strukturnya yang mengagumkan, termasuk setiap geladak dan jenteranya. Semuanya jelas menggambarkan betapa lokasi penuh sejarah ini telah dipelihara sebaiknya.
Walaupun hari ini jenteranya tidak lagi “bersuara”, namun ketika masih beroperasi, ia menghasilkan bunyi bising yang dapat didengar hingga 8km dari lokasi berkenaan.
Setiap hari, “raksasa besi” itu meraih sehingga 60 tan timah yang kemudian dibawa ke Pulau Pinang untuk dileburkan dan seterusnya dieksport.
Selain maklumat berharga diterima secara terus daripada pemandu pelancong, pengunjung juga boleh mendapatkan pelekat yang menjelaskan dengan lebih lanjut fungsi jentera tertentu. Pelekat-pelekat ini juga menjelaskan sebab di sebalik penutupan TT5, iaitu apabila harga timah merudum pada 1980-an seterusnya menyebabkan kapal korek itu dihentikan operasinya pada 1982.
TT5 berjaya diselamatkan daripada sekadar menjadi besi buruk malah dipulihara untuk tatapan generasi akan datang. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)Walaupun telah lama dipadamkan operasinya, TT5 masih mampu memainkan peranan penting.
“Pada satu ketika, 60% hasil diraih Malaysia adalah daripada industri perlombongan,” kata Aizad.
Justeru, TT5 menjadi satu cara untuk mengabadikan warisan Malaysia dan memberikan generasi muda pengalaman berpendidikan yang tidak mungkin dapat diperoleh dari buku semata-mata.
“Jika tidak kerana pemuliharaan yang dilakukan, tidak mustahil TT5 ‘terkubur’ seterusnya itu akan menjadi kehilangan besar dari segi sejarah untuk rakyat Malaysia secara umumnya,” katanya.
Selain melawat TT5, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman di TT5 Maze Park, pagar sesat berbentuk hati pertama seumpamanya di Malaysia. Ia menjanjikan aktiviti menyeronokkan bukan saja bagi golongan muda malah untuk yang berjiwa muda.
Tanjung Tualang turut terkenal dengan udang air tawar – jadi apa kata ambil peluang juga untuk menyinggah menikmati hidangan ini di salah satu restoran berhampiran sebelum menuju pulang.
Tanjung Tualang Tin Dredge No. 5
9th km, Jalan Tanjung Tualang
31000 Batu Gajah
Perak Darul Ridzuan
Waktu perniagaan: 9.00 am-6.00 pm
Hubungi: 014-904 3255
- FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/12/tanjung-tualang-tin-dredge-tt5-secebis.html