Tak Skip Pil Perancang Period Setiap Bulan Tahu Tahu Sakit Perut Terus Bersalin
Bila Allah berkehendak serta menghendakinya dan apabila Dia telah menetapkan sesuatu maka jadilah. Sama jugalah situasi yang berlaku kepada pasangan suami isteri ini apabila langsung tak menjangka akan menerima kehadiran orang baru dalam keluarga sehinggalah tiba-tiba bersalin dengan sendirinya dan sangat mudah sekali.
Perkongsian seorang ibu, Nurul Atiqah, 24, dari Bintong, Perlis ini cukup menunjukkan betapa besarnya kekuasaan Allah sehingga 9 bulan 10 hari dan anak yang dilahirkan juga cukup sifat dan sihat serta tiada apa-apa komplikasi.
Menurut Atiqah, ramai yang terkejut dan bertanya padanya adakah tak tahu langsung diri hamil? Jawapannya adalah YA sebab dia sendiri tak buka buku pink untuk buat pemeriksaan kesihatan bulanan. Malah tiada pun tanda-tanda alahan seperti mengandungkan anak sulung.
Lagipun yang buatkan dirinya hairan, haid tetap datang setiap bulan. Setiap hujung bulan haid akan datang seperti biasa. Anggaran lima ke enam hari. Dalam masa yang sama juga, makan pil perancang setiap bulan dan tak pernah skip.
Perut tak membuncit, tiada rasa gerakan
Tambah Atiqah lagi, sepanjang 9 bulan, dia tidak menyedari kehadiran janin di dalam rahimnya. Ini kerana tidak merasa sebarang pergerakan dan perut tidak membuncit begitu besar seperti pengalaman mengandung dan melahirkan anak pertama.
“Berbeza dengan pengalaman saya melahirkan anak pertama dahulu. Perut besar, hidung kembang dan semuanya kembang. Syukur bayi saya sihat dan sempurna walaupun tidak pernah menerima sebarang rawatan.
“Sepanjang kehamilan juga saya tidak membuka buku rekod kesihatan ibu di klinik kesihatan dan sudah pasti tiada sebarang rekod kesihatan ibu dan anak di klinik kesihatan. Syukur Allah melindungi dan menjaga anak dalam kandungan sehingga lahir ke dunia,” ujarnya.
Beberapa jam sebelum bersalin perut sebu macam sembelit
Menceritakan pengalaman bersalinnya pula, Atiqah menyatakan sebelum bayi nak keluar, pada malam tersebut dalam jam 1 pagi rasa seperti perut masuk angin dan muntah beberapa kali.
“Apabila keesokan harinya, rasa tidak selesa di perut makin terasa seolah-olah sembelit ingin membuang air besar. Saya masuk ke dalam bilik air beberapa kali tapi rasa tidak selesa di perut makin menjadi.
“Saya membuat keputusan untuk ajak suami ke hospital tetapi oleh kerana dah tak tahan tiba-tiba rasa ada sesuatu keluar dan baru tahu itu adalah kepala bayi.
“Terus ke ruang tamu dan dalam tempoh itu, saya melahirkan bayi perempuan di atas sofa dengan disambut oleh suami. Saya meminta suami saya untuk menghubungi pihak ambulans.
“Sebelum pihak ambulans tiba ke kediaman kami, suami telah mengikat tali pusat menggunakan tali kasut. Perasaan saya waktu itu sangat terkejut dan gementar seluruh badan, begitu juga dengan suami,” kongsinya.
Bayi bertuah yang diberi nama Raiqa Hanania ini dilahirkan pada 19 Oktober 2022 (Rabu) jam 8.45 pagi dengan berat 3.7 kilogram dan disaksikan oleh abang sulungnya yang berusia 1 tahun 2 bulan.
Sehingga ke hari ini, Atiqah dan suaminya, Amirul seperti tak percaya lagi akan kehadiran bayi perempuannya yang selama ini menjadi rahsia Allah.
Apa yang paling lucu, semua kelengkapan bayi juga tak disediakan dan beberapa hari lahir terpaksa pakai dulu baju abangnya buat sementara waktu.
Moga baby Raiqa Hanania akan terus membesar dengan sihat dan menjadi anak solehaha dan penyejuk hati ibu ayahnya. Amin.
Kredit: Eyka Ikaa
Nak tambah ilmu tentang penyusuan susu ibu, jom join webinar PERCUMA Ya, Aku Mampu Susukan Anak! secara ONLINE pada 29 Oktober 2022. Daftar nama anda di https://toko.ideaktiv.com/product/ya-aku-mampu-susukan-anak/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)
The post Tak Skip Pil Perancang, Period Setiap Bulan. Tahu-Tahu Sakit Perut Terus Bersalin appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://majalahpama.my/tak-skip-pil-perancang-period-setiap-bulan-tahu-tahu-sakit-perut-terus-bersalin/