Tak Mahu Derma Hati Untuk Selamatkan Nyawanya Suami Bertindak Saman Isteri
Tak Mahu Derma Hati Untuk Selamatkan Nyawanya, Suami Bertindak Saman Isteri
Seorang lelaki dari Korea Selatan dilapor menyaman isterinya atas dakwaan pengabaian berniat jahat serta memfailkan penceraian selepas wanita itu enggan menderma hati untuk menyelamatkan nyawanya, lapor portal South China Morning Post.
Pasangan berusia awal 30-an itu telah berkahwin selama tiga tahun dan mempunyai dua orang anak perempuan.
Difahamkan, anak perempuan mereka berusia dua tahun dan seorang bayi berusia sebulan ketika lelaki tersebut disahkan menghidap penyakit hati.
Pada musim sejuk lalu, lelaki itu didiagnosis menghidap primary biliary cirrhosis, iaitu sejenis penyakit hati yang jarang berlaku.
Doktor memaklumkan bahawa tanpa pemindahan hati, dia hanya mempunyai jangka hayat sekitar setahun.
Isteri dipaksa untuk menderma hati
Menurus SCMP, ibu bapa lelaki itu sanggup menjual rumah mereka bagi menampung kos rawatan untuk menyelamatkan nyawanya.
Sepanjang tempoh tersebut, isterinya setia berada di sisi dan menjaga keperluannya.
Ujian mendapati si isteri merupakan penderma yang sangat ideal kerana tahap keserasian HLA (Human Lekocyte Antigen) melebihi 95 peratus.
Namun, wanita itu menolak apabila diminta meneruskan prosedur tersebut.
Dia memaklumkan kepada doktor dan keluarga suaminya bahawa dia mengalami ketakutan patologi terhadap jarum dan objek tajam, serta tidak mampu menghadapi pembedahan.
Tambahan pula, dia bimbang anak mereka akan kehilangan ibu sekiranya sesuatu berlaku ke atas dirinya.
Keengganannya itu mencetuskan ketegangan dalam keluarga. Suaminya yang berasa dikhianati mula memperlekehkan usaha isterinya, malah mengeluarkan kata-kata menyakitkan hati dengan mendakwa wanita itu hanya mahu melihatnya mati.
Ibu bapa lelaki itu turut memberi tekanan dengan mempersoalkan sama ada isterinya sanggup melihat suaminya meninggal dunia.
Suami berjaya menjalani pemindahan hati
SCMP melaporkan bahawa nasib menyebelahi lelaki tersebut apabila penderma yang telah meninggal dunia ditemui pada saat akhir.
Difahamkan, dia berjaya menjalani pemindahan hati dengan selamat.
Selepas pulih, lelaki itu mula menyiasat alasan isterinya dan mendapati wanita tersebut pernah menjalani pembedahan apendiks serta beberapa ujian darah sebelum ini tanpa sebarang masalah.
Apabila berdepan dengan perkara itu, si isteri akhirnya mengakui bahawa alasan ketakutan terhadap jarum hanyalah alasan semata-mata.
Jelasnya, dia sebenarnya takut akan risiko pembedahan dan bimbang sekiranya sesuautu berlaku ke atas dirinya.
Berang dengan apa yang dianggap sebagai penipuan dan pengabaian ketika dia berada dalam keadaan kritikal, lelaki itu memfailkan perceraian dan menuduh isterinya gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pasangan.
Mahkamah berpihak kepada isteri
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan memihak kepada si isteri dengan menegaskan bahawa pendermaan organ merupakan hak peribadi ke atas tubuh badan dan tidak boleh dipaksa, walaupun dalam hubungan suami isteri.
Keputusan itu turut menyatakan bahawa unsur paksaan dan kata-kata kesat daripada suami telah merosakkan asas kepercayaan dalam perkahwinan mereka.
Ini sekali gus menjadikan lelaki tersebut sebagai pihak yang lebih bertanggungjawab terhadap keruntuhan hubungan itu.
Mahkamah juga mengakui bahawa keengganan isteri itu berasas dan didorong oleh kebimbangan munasabah terhadap kebajikan anak-anak mereka.
Akhirnya, pasangan tersebut bersetuju untuk bercerai. Hak penjagaan anak diberikan kepada si isteri, sementara wanita itu masih meneruskan sokongan kewangan bagi membantu pemulihan perubatan bekas suaminya.
BACA: Lelaki Hidup Dengan Pemetik Api Dalam Perut Selama 30 Tahun
Sumber: South China Morning Post
The post Tak Mahu Derma Hati Untuk Selamatkan Nyawanya, Suami Bertindak Saman Isteri appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/28/tak-mahu-derma-hati-untuk-selamatkan-nyawanya-suami-bertindak-saman-isteri/