Kasih Suami Jaga Isteri Dalam Pantang Undang Sebak Video Food Festival Kembali Tular

JOHOR BAHRU – Sebuah video menyentuh hati yang memaparkan kasih sayang seorang suami terhadap isterinya kembali tular di media sosial, sekali gus mengundang sebak dalam kalangan warganet.
Video berkenaan asalnya dikongsi oleh akaun TikTok @mr.yogurthq, yang dirakam ketika Mega Fantastic Food Festival by Kak Nab di Angsana Mall Johor Bahru pada November lalu.
Menerusi kapsyen yang dikongsi, pemilik gerai MR Yogurt meluahkan rasa syukur apabila dipertemukan dengan sepasang suami isteri yang disifatkan sangat hebat bukan kerana kemewahan, tetapi kerana kasih sayang dan ketulusan.
“Tak perlu harta bertimbun untuk tunjuk cinta, cukup dengan perhatian, pengorbanan dan kasih yang tulus dari hati seorang lelaki sejati,” tulisnya.
Dalam video tersebut, kelihatan si suami setia menjaga isterinya yang masih dalam tempoh berpantang, mencerminkan tanggungjawab dan kasih sayang yang ikhlas walaupun hidup serba sederhana.
Kembali Tular Selepas Dikongsi Di Threads
Video itu kembali menjadi perhatian kelmarin selepas dikongsi semula oleh pengguna Threads @nrazwniazmn dengan kapsyen penuh emosi.
“Nangis aku tengok ni. Bila seorang suami tu faham betul-betul tanggungjawab, tak ada sekelumit pun rasa terbeban,” tulisnya.
Perkongsian itu pantas mendapat reaksi ramai, dengan rata-rata netizen meluahkan rasa tersentuh dan menjadikan figura lelaki berkenaan sebagai contoh suami yang sepatutnya.
Ruangan Komen Dibanjiri Reaksi Emosi
Menjengah ke ruangan komen, ramai tampil memberikan pandangan jujur dan berterus terang, termasuk peringatan buat golongan lelaki yang belum bersedia memikul tanggungjawab rumah tangga.
Antara komen yang mencuri perhatian:
“Kalau rasa tak mampu jaga isteri masa sakit, jangan kahwin dulu.”
“Bini ni peneman hidup susah senang, bukan masa senang saja.”
Ada juga yang menyifatkan lelaki berkenaan sebagai insan yang benar-benar layak dibantu.
“Orang macam ni tak minta dibantu, bila dibantu tak tamak, dan bila dibantu dia bersyukur.”
Tidak kurang juga yang memberikan nasihat secara keibuan kepada si isteri agar menjaga pemakanan sepanjang tempoh berpantang, selain doa agar keluarga kecil itu terus dimurahkan rezeki.
“Suami mithali, gentleman dan bertanggungjawab. Semoga Allah permudahkan urusan dan limpahkan rezeki buat abang sekeluarga,” tulis seorang pengguna.
Video berkenaan sekali lagi membuktikan bahawa kasih sayang sebenar tidak diukur melalui kemewahan, sebaliknya melalui keikhlasan, pengorbanan dan tanggungjawab yang dilakukan tanpa berkira.
Kadang-kadang, momen paling sederhana itulah yang paling menyentuh hati. – The Malaysian Update
The post Kasih Suami Jaga Isteri Dalam Pantang Undang Sebak, Video Food Festival Kembali Tular appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2025/12/28/kasih-suami-jaga-isteri-dalam-pantang-undang-sebak-video-food-festival-kembali-tular/