Syarikat Penerbangan Digesa Pulang Semula Wang Batal Penerbangan Akibat Covid 19
   FMT Reporters

Matta  bimbang penumpang dan ejen pelancongan tidak mendapat bayaran balik  selepas penerbangan mereka dibatalkan berikutan pandemik Covid-19. PETALING JAYA: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan  Malaysia (Matta) hari ini menggesa syarikat penerbangan memberi  keutamaan kepada bayaran balik wang tunai bagi pembatalan penerbangan  akibat pandemik Covid-19.
 Naib Presidennya, Shazli Affuat Ghazali, berkata ramai penumpang dan agen pelancongan bimbang tidak mendapat bayaran balik.
 “Syarikat penerbangan tidak boleh mengeluarkan nota kredit yang  mungkin mempunyai sedikit atau tidak ada nilai sekiranya mereka tidak  mampu membayar.
 “Ia adalah prinsip untuk mengembalikan bayaran yang dikutip daripada  pelanggan untuk perkhidmatan yang tidak diberikan kerana keadaan luar  biasa semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Shazli berkata syarikat penerbangan harus memberikan bayaran balik  penuh yang dibuat penumpang dan ejen pelancongan tanpa terma dan syarat  standard berikutan wabak tersebut.
 Beliau juga berkata syarikat penerbangan tidak sepatutnya membezakan  antara tempahan kumpulan untuk Group Inclusive Tour (GIT) dan individu  yang melakukan perjalanan sebagai Free Independent Travellers (FIT).
 Tindakan yang sama, katanya, akan mempercepatkan pembayaran semula secara menyeluruh dan pemulihan selepas-Covid-19.
 Shazli berkata bayaran balik tunai akan membantu memulihkan keyakinan  orang ramai terhadap syarikat penerbangan dan memberi amaran  melambatkan bayaran balik tunai kepada agen pelancongan dan penumpang  memberi kesan tidak baik kepada industri pelancongan.
 “Ia boleh mencetuskan tindakan undang-undang yang tidak perlu,” katanya.
 Beliau turut menyatakan kekecewaan terhadap Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).
Beliau berkata suruhanjaya itu sepatutnya mengumumkan langkah-langkah  bagi pelanggan untuk mendapatkan kembali wang mereka, sambil menambah  ia “menyakitkan” bagi penumpang individu menunggu dalam tempoh yang  tidak pasti untuk mendapat pembayaran semula, sementara “penderitaan itu  lebih berlipat ganda dalam kalangan agen pelancongan”.
 Beliau berkata Kementerian Pengangkutan harus mengambil kira syarikat  penerbangan adalah yang pertama dalam rantaian bekalan yang panjang dan  setiap tindakan diambil akan meninggalkan kesan terhadap industri  pelancongan.
 Matta, katanya, mahu kementerian mengumumkan beberapa arahan, iaitu,  pembatalan biasa dan caj tempahan semula tidak akan dikenakan sehingga  pandemik itu berakhir; memberi pelanggan pilihan untuk pembayaran balik  tunai atau kredit untuk digunakan dalam tempoh 3 tahun; dan bayaran  balik untuk pembatalan penerbangan akan dibayar sepenuhnya, termasuk  bayaran sampingan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/04/syarikat-penerbangan-digesa-pulang.html