Syarat Kesihatan Haji 1447h 2026 Ini Yang Perlu Anda Tahu
Syarat Kesihatan Haji 1447H/2026 – Ini Perkara Yang Perlu Anda Tahu
Kerajaan Arab Saudi kini mengambil langkah lebih tegas dalam memastikan kesihatan dan keselamatan jemaah haji di seluruh dunia.
Bagi musim haji 1447H/2026, Kementerian Haji dan Umrah telah memperkenalkan syarat kesihatan yang lebih ketat sebagai langkah pencegahan terhadap risiko penyakit, kemalangan kesihatan dan penularan wabak dalam kalangan jutaan jemaah yang akan berkumpul di Tanah Suci.
Langkah ini juga selaras dengan usaha berterusan kerajaan negara itu untuk meningkatkan kualiti pengurusan haji dari segi keselamatan dan keselesaan.
Bagi jemaah Malaysia, pengumuman ini memberi makna bahawa hanya individu yang benar-benar sihat dan berupaya secara fizikal serta mental sahaja akan diberikan kelulusan untuk menunaikan haji pada musim akan datang.
Setiap bakal jemaah diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan lulus penilaian perubatan bagi memastikan mereka mampu melaksanakan semua rukun dan wajib haji dengan sempurna tanpa risiko kepada diri sendiri atau jemaah lain.
Ini bukan sekadar prosedur tetapi satu keperluan asas bagi menjamin kelancaran perjalanan ibadah.
Langkah mengetatkan syarat kesihatan musim haji ini bukanlah untuk menyusahkan bakal jemaah. Sebaliknya bagi memastikan pengalaman haji mereka berlangsung dalam keadaan terbaik dan lebih selamat.
Dengan cuaca panas, suasana padat dan aktiviti ibadah yang memerlukan ketahanan fizikal tinggi, kesihatan menjadi faktor penentu utama kepada kejayaan ibadah.
Justeru bakal jemaah perlu mengambil langkah proaktif dengan menjaga kesihatan sejak awal. Ianya bukan sahaja untuk memenuhi syarat kerajaan Arab Saudi tetapi juga demi kelancaran dan kesempurnaan ibadah haji itu sendiri.
Syarat kesihatan bakal Jemaah Haji 2026
Sebagai sebahagian daripada peraturan baharu yang diumumkan oleh kerajaan Arab Saudi, Lembaga Tabung Haji (TH) telah menetapkan beberapa syarat kesihatan penting yang perlu dipatuhi oleh setiap bakal jemaah sebelum menerima surat tawaran rasmi:
Bebas daripada penyakit berjangkit seperti tuberkulosis, COVID-19 dan lain-lain penyakit yang boleh merebak.
Tidak menghidap penyakit kronik atau serius yang tidak terkawal.
Mempunyai tahap kesihatan fizikal dan mental yang membolehkan pelaksanaan ibadah haji secara berdikari.
Langkah ini bertujuan untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar sihat dan mampu menempuh cabaran ibadah haji yang panjang dan mencabar diberi keutamaan.
Senarai penyakit dan keadaan kesihatan yang tidak layak mengerjakan haji
Bakal jemaah dengan keadaan kesihatan berikut tidak akan dipertimbangkan untuk menunaikan haji musim 1447H/2026M:
Kegagalan buah pinggang kronik yang memerlukan rawatan berterusan.
Penyakit jantung serius atau kegagalan jantung.
Penyakit paru-paru kronik seperti COPD.
Penyakit hati kronik seperti sirosis hati.
Masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif atau pergerakan.
Warga emas yang terlalu lemah fizikal atau menghidap dementia.
Wanita hamil berisiko tinggi.
Penyakit berjangkit aktif yang boleh mengancam jemaah lain.
Pesakit kanser yang sedang dalam tempoh rawatan.
Peraturan ini dilaksanakan bagi melindungi jemaah yang berisiko tinggi serta memastikan tidak berlaku kejadian kecemasan kesihatan yang boleh mengganggu kelancaran ibadah haji secara keseluruhan.
Fokus TH dan KKM dalam menjaga kesihatan jemaah
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad, aspek kesihatan sentiasa menjadi keutamaan dalam operasi pengurusan haji Malaysia.
TH akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyediakan kemudahan perubatan terbaik untuk jemaah negara.
Antara kemudahan kesihatan yang akan disediakan termasuk:
Klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah di Makkah dan Madinah.
Klinik pesakit luar dan farmasi di setiap bangunan penginapan.
Khidmat sokongan kesihatan untuk jemaah warga emas dan kelainan upaya.
Perubahan perkhidmatan rawatan di tanah suci
Walaubagaimanapun, mulai musim haji 2026 TH tidak lagi dibenarkan membuka pusat rawatan sendiri di Tanah Suci.
Sebaliknya jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk terus ke hospital milik Kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan pakar perubatan Malaysia.
Bagi memastikan kesinambungan rawatan, TH juga merancang kerjasama dengan hospital swasta di Arab Saudi sekiranya perlu.
Seramai 225 petugas kesihatan Malaysia akan ditugaskan bagi menyokong perkhidmatan perubatan untuk jemaah Malaysia pada musim haji akan datang.
Istito’ah: Kesihatan sebagai syarat wajib
Tahap kesihatan yang baik merupakan sebahagian daripada konsep “istito’ah”, iaitu kemampuan seseorang menunaikan haji.
Justeru, setiap bakal jemaah diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh sebelum menerima surat tawaran rasmi.
Selain itu, jemaah disarankan untuk:
Menjaga kesihatan dan kecergasan sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum berangkat.
Melakukan senaman ringan atau berjalan kaki setiap hari bagi membina stamina.
Melengkapkan semua vaksinasi wajib seperti yang ditetapkan KKM.
Menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan kering melalui latihan fizikal berperingkat.
Dengan pelaksanaan syarat kesihatan haji yang lebih ketat ini, TH komited memastikan jemaah Malaysia benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Langkah ini bukan sekadar syarat teknikal tetapi satu usaha menyeluruh untuk melindungi kesihatan, keselamatan dan kelancaran ibadah haji.
Bakal jemaah disarankan agar mula membuat persediaan kesihatan lebih awal supaya perjalanan mereka bukan sekadar memenuhi panggilan haji tetapi juga dapat dilaksanakan dengan tenang, selamat dan sempurna.
Sumber : tabunghaji.gov
BACA : JomLapor: Kuasa Rakyat Untuk Hapuskan Asap Rokok
The post Syarat Kesihatan Haji 1447H 2026 – Ini Yang Perlu Anda Tahu appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/10/24/syarat-kesihatan-haji-1447h-2026-ini-yang-perlu-anda-tahu/