Suaram Biadab Pertikai Lantikan Rahmat Sebagai Pengerusi Suhakam Malaysia Gazette 05 07 2022
KUALA LUMPUR – Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy diingatkan jangan mempertikaikan pelantikan Profesor Datuk Dr. Rahmat Mohamad sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pelantikan Dr. Rahmat telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut Nadzim, kenyataan yang dikeluarkan oleh Sevan mengenai pelantikan tersebut sebagai biadap dan berat sebelah.
“Sevan bercakap tanpa memikirkan kelayakan Dr. Rahmat dan semata-mata untuk membantah, apakah yang dia tahu selain membantah titah YDP Agong,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Nadzim, pihak yang tidak berpuas hati terhadap pelantikan tersebut mempunyai agenda peribadi selain tidak mahu kebenaran hak asasi manusia menjadi keutamaan.
Tambahnya, pihak yang membantah dan mempersoalkan perkenan Yang di-Pertuan Agong ibarat mereka menderhaka dan melawan titah tuanku.
“Hentikan tindakan mempersoal institusi di-Raja negara ini, beri ruang untuk Dr. Rahmat menjalankan tugas-tugas beliau dan kita sebagai rakyat harus menyokong dan bekerjasama demi kebaikan negara,” katanya.
Nadzim berpendapat Dr. Rahmat yang merupakan seorang pakar perundangan dan hak asasi manusia dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah calon terbaik untuk jawatan tersebut.
Sevan dalam kenyataan berkata, pihaknya mempunyai keraguan kuat bahawa pengerusi Suhakam yang baru dilantik itu tidak mampu menjalankan tugas yang diamanahkan.
Ini kerana Dr. Rahmat dilaporkan menentang tindakan Malaysia untuk meratifikasi Statut Rom di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Rahmat adalah salah seorang daripada empat ahli akademik yang menulis kertas kerja untuk meyakinkan Majlis Raja-Raja untuk menolak Statut Rom.
“Kertas itu memainkan peranan penting dalam memaksa kerajaan Pakatan Harapan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom yang menjejaskan komitmen Malaysia dalam misi pengaman global.
“Pandangan akademik Rahmat mengenai Statut Rom mungkin memberi kesan buruk terhadap mandat Suhakam kerana seperti yang dinyatakan dalam akta Suhakam, salah satu fungsi utama Suhakam adalah untuk membuat syor kepada kerajaan berkaitan langganan atau penyertaan perjanjian dan antarabangsa lain dan instrumen hak asasi manusia,” kata Steven.
Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Rahmat dan tujuh anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang baharu bagi sesi 2022 sehingga 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelantikan itu dibuat mengikut Subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).-MalaysiaGazette
Artikel oleh: Malaysia Gazette
SUARAM BIADAB PERTIKAI LANTIKAN RAHMAT SEBAGAI PENGERUSI SUHAKAM
https://malaysiagazette.com/2022/07/05/suaram-biadab-pertikai-lantikan-rahmat-sebagai-pengerusi-suhakam/
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://ppim4u.blogspot.com/2022/07/suaram-biadab-pertikai-lantikan-rahmat.html