Suara Garau Macam Harimau Ustaz Kongsi Pengalaman Diganggu Makhluk Halus Di Rumah Sewa Percuma
Gangguan makhluk halus tidak mengenal sesiapa baik usia, jantina mahupun latar belakang agamanya. Bahkan, tidak terkecuali perawat perubatan Islam.
Seorang pengguna Facebook yang mendakwa pernah mengamalkan perubatan Islam baru-baru ini berkongsi pengalaman gangguan makhluk halus yang tak akan dilupakannya.
Menurut Ustaz Abu Amjad, ketika ditawarkan untuk mengajar sebagai seorang ustaz di utara tanah air, beliau telah ditawarkan sebuah rumah sewa secara percuma.
Namun, percumanya bukan sekadar percuma. Ia lengkap dengan ‘pakej’ tersendiri yang membuatkan hari-hari ustaz tidak lena. Jom baca perkongsiannya.
Jangan tutup lampu
Pengalaman ni aku cerita kat orang yang terdekat saja dulu. Tapi sengaja aku nak kongsi, disebabkan ramai yang bertanya. Jadi, kali ini susun supaya teratur. Ini kisah yang benar-benar berlaku kat aku. Ada pengajaran yang aku nak sampaikan dalam ni.
Sekitar tahun 2012, aku tamat belajar diploma. Tamat je belajar terus dilamar untuk mengajar di sekitar negeri Perlis. Dalam masa yang sama, aku buat kerja sambilan sebagai Perawat Perubatan Islam D (Dah lama tinggal dunia ni). Jadi, aku ditugaskan mengajar di satu kampung ni.
Dipendekkan cerita, satu hari, ketua kampung tu, Pak Arif (bukan nama sebenar) tawar kat aku, katanya ada jemaah surau yang sudi sewakan aku rumah peninggalannya secara percuma. Aku dengar je percuma aku terus terima.
Hari pertama
Keesokan hari, aku terus bawa barang-barang untuk dibawa masuk (maklumlah bujang waktu tu, tak banyak barang).
Rumah sewa aku tu dua tingkat tapi bawah rumah lain atas rumah lain. Aku duduk atas. Rumah kayu. Sebelahnya ada telaga buta. Keliling ada pokok-pokok mempelam.
Sebelah telaga ada bukit kecil, atas bukit tu ada rumah orang. Rumah-rumah kat kampung ni memang selang jauh-jauh, sebab kawasan kebun dan sawah.
Aku pun angkut barang naik atas. Masuk je rumah tu, perghh besarnya. 2 bilik, 3 bilik air. 1 bilik berkunci selak.
Ruang tamunya luas sangat, ada set sofa rotan. Lantai pun kayu. Semua barang-barang antik. Mesin jahit antik, labu-labu sayung, almari-almari buku lama yang dalamnya ada kitab-kitab berhabuk, dan dapur yang usang dan kosong, sebelah dapur ada master bathroom.
Tuan rumah suruh aku duduk bilik tengah. Bilik tu siap berkatil, meja belajar, seterika, almari dan tandas. Memang lengkap dia bagi.
Cuma dia kata kat aku “Ustaz, rumah ni kalau malam, bilik ustaz ni je yang berfungsi lampunya, dan lampu depan bilik ustaz. Yang lain semua dah rosak. Jadi, gelap sikitla.”
Aku dalam hati, “Awatla tak cakap awal-awal.. Nasib baik percuma.. Alhamdulillah.”
Hari kedua
Selalunya aku habis mengajar malam, jadi sampai rumah agak lewatlah. Dalam pukul 11 malam.
Sampai rumah, terus mandi, siap-siap baju untuk tidur. Sebelum tidur, sajalah layan drama aku download, sekadar nak layan mata bagi mengantuk.
Tengah dok khusyuk layan drama tu, tiba-tiba, ekor mata aku nie terperasan mcm ada benda begerak-gerak kat tingkap sebelah tandas bilik aku tu.
Aku toleh perlahan kepala aku, sambil duduk atas kerusi, sengaja nak tengok apa yang bergerak tu.
Sekali aku pandang, rupa-rupanya langsir bilik tu sedang menggerbang! Tapi, langsir tu cuma bergerak, tak ada ribut tak ada angin!
Gambar hiasan. (Kredit: Fine Art America)
Aku tak rasa sikit pun angin yang lalu! Masalahnya, dah kenapa langsir sebelah katil aku pun menggerbang jugak?!
Apa lagi, aku bingkas bangun sambil cakap kuat-kuat “Hai, kuat betul angin ni!”(Saja nak sedapkan hati dan taknak tunjuk yang aku takut). Aku terus ikat langsir-langsir tu kat tepi. Tengah aku ikat langsir-langsir tu, aku ternampak sesuatu tengah bergolek-golek masuk ke dalam telaga.
Aku syak, ada sesuatu yang tak kena, tapi aku tetap cakap, dengan nada yang sederhana kuat, “Wow, besar jugak tikus-tikus kawasan ni.”
Cepat-cepat aku tutup laptop, solat sunat witir, terus baring, tidur.
Hari keenam
Aku teruskan kehidupan di rumah tu macam biasa. Semakin sibuk, pagi, petang hingga malam mengajar.
Sampai satu malam, aku siap nak tidur. Tengah layan handset, scroll-scroll sebelum tidur.
Tiba-tiba bunyi bising! Tum! Tam! Pom pom pom sraaappp sap sap suppppp! Dushhhhh!
Allahuakbar! Terbangun aku dari katil. Bunyi apa ni?! Bergegas aku cari bunyi bising tu satu bilik, tak jumpa!
Bunyi bising tu tak berhenti lagi. Aku buka pintu bilik. Fokus cari dari mana bunyi (sebab rumah gelap).
Aku jalan pelan-pelan cari bunyi tu. Akhirnya jumpa dari mana, agak-agak korang dari mana?
Dari bilik sebelah yang dikunci selak tu.
Bunyinya makin bising. Aku takdak pilihan melainkan kena hentikan bunyi tu. Kalau tak macam mana nak tidur?!
Aku pun beranikan diri buka selak pintu bilik tu. Kemudian, pusing tombol perlahan-lahan. Ekkkk… Pintu bukak. Perghh… Bau kayu lama bilik tu. Masuk jugaklah, bertemankan lampu dari handset. Bunyi bising tu makin perlahan.
Rupa-rupanya, bunyi bising tadi daripada bilik air dalam bilik ni. Aku suluh tengok apa yang dalam bilik air tu.
Allahuakbar. Ada seekor burung gagak terkulai dah nak mati dalam tu atas lantai. Perasaan seram mula menyelubungi waktu tu. Tapi aku ketepikan.
Aku cover, aku cakap “Allahu.. kesiannya, awak terperangkap dalam ni ya…” Aku pun angkat burung yang dah lemah tu. Letak depan pintu rumah.
Keesokan harinya, aku buka pintu depan. Burung gagak tu dah mati. Aku minta tolong anak murid aku uruskan, tanam.
Bukan gambar sebenar. (Kredit: Google)
Hari seterusnya
Malam seterusnya, aku sampai rumah awal sikit, sebabnya esok nak drive jauh ke Bangi. Ada simposium perawat Islam semalaysia, Tuan Guru ada nak beri ijazah tambahan. Lepas dah siap semua, aku pun baring layan mata.
Pejamkan mata nak tidur. Kejap aku pusing kanan, kejap kiri. Malam ni aku rasa bahang bilik ni. Aku bangun buka tingkap sikit.
Kemudian, sambung balik baring sambil layan mata. Makin bahang, berpeluh-peluh. Aku putuskan nak buka tingkap sebelah tandas.
Bila nak bangun je, tiba-tiba aku tak dapat gerak! Aku cuba baca sesuatu, tapi mulut aku liat sangat. Macam orang kena strok. Dalam keadaan lemah separa sedar, mata aku ke melilau ke kiri ke kanan.
Kemudian, aku terlihat kelibat. Seseorang sedang duduk atas kerusi meja belajar aku! Allah.. Siapa ni?? Dugaan apakah ini… Dia toleh seluruh badan dia ke arah aku.
Inilah pertama kali aku di ‘tindih’. Oooh, inilah yang orang selalu cerita-ceritakan. Kali ni, aku terkena. Satu susuk tubuh sedang duduk di atas kerusi aku. Lelaki yang sangat tua kerepot. Kulitnya hampir reput, hidungnya jatuh, rambut uban putih jarang. Berkain pelikat yang lusuh dan berlumut.
Korang tau dia buat apa? Dia gelak! Dia gelak berdekah-dekah sambil tuding jari telunjuk ke arah aku.
Kahkahkahkahkahkah! hahahahahahahaha! Suara tak padan dengan badan! Suara garau macam harimau!
Aku berpeluh-peluh lawan badan aku yang tak dapat begerak. Kemudian aku teringat kawan-kawan sesama perubatan pesan, “Kalau kena tindih tak payah baca panjang-panjang, sebut saja Allah.”
Aku pun tenangkan diri, pejamkan mata, aku tak melawan. Aku redha. Tak lama kemudian, mulut aku seolah-olah terlepas dari ikatan. Aku pun sebut dgn tenang “Allaah… Allaahh… Allahh..”
Bila aku buka saja mata, orang tua tu sudah hilang.
Jantung berdegup kencang, lalu badan aku mulai boleh bergerak. Alhamdulillah…
Waktu tu, bulu roma aku naik mencacak… Cering satu badan!
Terus aku bangun, ambil wudhu’. Rebahkan diri, terus terlelap sebab terlampau penat.
Pulang dari simposium
Sejak kejadian tempoh hari. Aku selalu ditindih. Terutamanya selepas Asar. Waktu antara Asar dan Maghrib. Pantang aku baring, mesti kena tindih. Bukan apa, aku mengajar dari lepas zuhur hingga Asar, jadi bila pulang, aku akan keletihan dan baring.
Dan setiap kali ditindih, aku dengar suara kerbau mendengus betul-betul sebelah telinga, hingga aku boleh rasa angin ditelinga aku!
Krrrruuuuuhhhhhh….! Huuuuuuhhhhh….! Kruuuuhhhhh!
Aku gunakan teknik yg sama. Tenangkan diri dan sebut Allah dgn tenang. Maka suara dan tindih itu akan beransur hilang.
Gambar hiasan. (Kredit: Google)
Kemuncak
Hari ke-14
Sepanjang aku menyewa dirumah usang ini, inilah kemuncaknya. Hari ke-14 yang aku takkan pernah lupa dan sentiasa bermain di fikiran.
Malam Jumaat(Tak ada kaitan dengan hari ye, memang kebetulan berlaku malam Jumaat).
Malam Jumaat aku luangkan masa untuk merawat di pusat rawatan Islam bersama perawat-perawat lain. Cuma malam tu kes rasukan agak banyak yang kami kena hadapi. Buatkan aku tersangatlah penat.
Petang kena tindih, malamnya merawat pesakit. Sampai saja rumah tu, aku meluru masuk tanpa bismillah seperti selalu.
Kunci saja rumah, terus masuk bilik. Tutup pintu. Dengan baju merawat tak ditanggal, aku baring kepenatan.
Aku terlelap kejap.
Buka saja mata. Sekali lagi, badan tak dapat nak bergerak! “Apa lagi ni ya Allah….”
Aku cuba teknik yang aku buat sebelum ni. Namun kali ini, keadaan berbeza. Teknik itu tidak menjadi.
Tiba-tiba.. Pintu bilik aku terbuka sendiri dengan perlahan. Eeeekkkkkkk.. Jantung aku berdebar kuat, sampai telinga aku dapat dengar degupan jantung sendiri.
DUPDAPDUPDAPDUPDAP!
“Allahu akbarr.. Janganlah Engkau izin apa-apa berlaku padaku ya Allah..”
Kelihatan ada sesuatu sedang masuk. Perlahan-lahan… Terjengket-jengket…
Rambutnya menjengah.. Perlahan-lahan, semakin lama semakin terserlah tubuhnya. Rambutnya panjang hingga ke bawah, kusut dan sangat tebal.
Berjubah putih lusuh dan tengik. Perlahan-lahan, terjengket-jengket dia berjalan masuk… Menuju ke arah aku yang sedang gementar.
Allah.. Aku longlai, lemah dan tak berdaya waktu tu.. Allahu akbar, berulang kali aku ulang teknik sebelum-sebelum ini, tidak menjadi lagi.
Berpeluh-peluh badan sampai lencun baju. Makhluk tu terus mendekati aku. Wajahnya hitam melegam pekat. Bila sudah dekat. Dia bongkokkan tubuhnya..
Mulutnya betul-betul ditelinga aku! Dia berbisik dgn nada marah,
“Kau.. Jangan.. Ganggu.. Nenekk.. Atau nenek gigit-gigit.. Dan ratah-ratah.. Daging-daging dan kulit kamu!!”
Aku tergamam! Kelu lidah. Aku berdoa pada Allah,
“Tuhan.. Jika disini ajalku, Tuhan, Aku redha, aku pasrah dan tawakkal hanya padaMu..” Aku tarik nafas dalam-dalam, hembus melalui hidung perlahan-lahan.
Makhluk itu pun mengangkat kepalanya perlahan-lahan. Kemudian berjalan keluar dari bilik perlahan-lahan dan terjengkettt.
Tak lama itu, badan aku dapat bergerak semula. Alhamdulillah, ya Allah, Terima kasih ya Allah. Aku tenangkan diri. Mandi, ambil wudhu’, pakai baju tidur.
Dengan sendirinya, tanpa berfikir panjang, aku bawa sejadah ke ruang tamu rumah tersebut. Hampar ditengah-tengah rumah itu. Lalu aku solat sunat witir 3 rakaat. Sekhusyuk yang mampu. Bunyi apapun aku abaikan. Entah dari mana ilham ini datang. Seolah-olah ada kuasa yang menggerakkan tubuh ini.
Habis solat aku wirid dgn wirid-wirid nabi.
Kemudian, aku capai Al-Quran yang lusuh yang terletak di situ. Aku buka surah al-Kahfi, lalu aku baca dengan penuh kekhusyukkan sehingga habis surah.
Selesai.
Gambar hiasan. (Kredit: Google)
Hari baru
Sejak kejadian itu, tiada lagi gangguan berlaku. Aku sudah tak ditindih setiap petang.
Aku solat diseluruh rumah tersebut. Aku solat diruang tamu, adakala dibilik sebelah yang usang tu, adakala dikawasan dapur.
Baca alquran setiap masa dan berubah tempat bacaan, adakala di bilik, diruang tamu, di ruang dapur. Mandi pun macam tu, aku guna semua bilik air yang ada. Masuk baca doa dengan kaki kiri dan mandi. Aku amal semua sunnah dalam setiap perbuatan dirumah tersebut.
Akhirnya, rumah tu daripada suram jadi ketenangan buat aku.
Aku tak pernah peduli apa sejarah rumah tu. Sebelum pindah, satu hari ada seorang pakcik dok tengok-tengok rumah sewa aku tu. Aku dok perhati pakcik ni dari jauh.
Aku jalan dekati pakcik tu, “Pakcik, ada apa ya?”
“Takdak apa, saya dok hairan, Awat depa bagi ustaz duduk sini.. Mungkin sebab kamu tu ustaz kot..”
Ok, malas nak tahu selanjutnya.
Cuma, dalam banyak-banyak insiden yang terjadi di situ, ada satu perkara yang buat aku tak pernah tutup lampu ketika tidur di rumah itu.
Satu malam dalam banyak-banyak malam, aku pernah cuba tidur dalam gelap. Bila tutup je lampu, bila aku baring, aku nampak ada benda berdiri melihat aku ditingkap.
Sejak daripada tu, aku sentiasa tidur dalam keadaan lampu terbuka kat rumah tu.
Sekian.
*Banyak yang aku nak jelaskan disini, cukuplah yang ni dulu ye.
Sumber: Abu Amjad
The post “Suara Garau Macam Harimau”, Ustaz Kongsi Pengalaman Diganggu Makhluk Halus Di Rumah Sewa Percuma appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/06/13/suara-garau-macam-harimau-ustaz-kongsi-pengalaman-diganggu-makhluk-halus-di-rumah-sewa-percuma/