Struktur Semula Pemuda Ph Akmal Nasir Paling Sesuai Dilantik Ketua Baharu
POSTED BY AMIR WRLR
Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang lesu sejak Langkah Sheraton Februari 2020 dan kehilangan mantan ketuanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, perlu distruktur semula untuk kembali mengungguli arus perubahan anak muda.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, R Yuneswaran, Kepimpinan Pemuda PH harus menyelesaikan pelantikan ketua sayap itu seberapa segera dan menyusun semula kepimpinan peringkat Cabang, Negeri serta nasional.
"Dengan situasi ketidakstabilan politik negara dan pentadbiran kerajaan yang lemah sekarang ini, Pemuda PH harus menjadi asas dan arus pilihan anak muda dalam pilihan raya umum (PRU) 15.
"Pemuda PH harus memainkan peranan penting merangka dasar-dasar, tawaran serta pelan tindakan untuk anak muda, mengangkat suara anak muda dan menjadi pelantar untuk memberi nasihat, peluang, ruang dan mewakili golongan belia pembuat keputusan dan polisi.
"Dalam hal ini, YB Akmal adalah pemimpin yang paling sesuai untuk menerajui Pemuda PH atas kapasiti sebagai seorang Ahli Parlimen dan Ketua AMK Malaysia untuk mengangkat isu-isu anak muda dalam Parlimen," katanya.
Bagaimanapun, menurut Yunes, hal itu tidak bermakna Ketua Pemuda AMANAH dan DAPSY tidak layak mengisi jawatan tersebut.
Cuma katanya, Akmal dianggap lebih menonjol kerana beliau berpengalaman sebagai Ahli Parlimen dan mampu mengutarakan persoalan anak muda di pelbagai platform secara berkesan.
"Sudah tentunya mereka layak dan sesuai diangkat sebagai pengerusi Pemuda PH dan kepimpinan mereka sama sekali tidak diragui. Malah, Ketua Pemuda DAPSY Saudara Howard Lee dan Saudara Shazni, Ketua Pemuda AMANAH diperlukan untuk sama-sama berganding bahu dalam memartabatkan anak muda serta memantapkan sayap dengan mengstruktur organisasi dan memeta hala tuju Pemuda PH.
"Namun, YB Akmal Nasir mempunyai kelebihan dan diharap mampu memberi sumbangan lebih besar kepada Pemuda PH itu sendiri dalam mengutarakan pandangan, hujah dan juga mencari penyelesaian isu- isu anak muda di platform yang lebih luas seperti Dewan Rakyat. Akmal juga mengetuai pimpinan AMK Malaysia yang menerajui di 222 kawasan Parlimen," katanya.
Yunes berharap kepimpinan pemuda PH bermesyuarat dalam masa terdekat memandangkan PRU mungkin hanya beberapa bulan daripada sekarang dan PH tidak mempunyai banyak masa bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa gabungan itu mantap serta berupaya membentuk kerajaan sekali lagi.
"Matlamat kita adalah kembalikan mandat rakyat, dan Pemuda PH harus menjadi pilihan anak muda bagi semua lapisan masyarakat. Pemuda PH juga perlu memberi tumpuan kepada pengundi berumur 18 tahun dan anak muda yang akan mengundi untuk kali pertama serta tawaran yang boleh kita berikan kepada mereka," katanya lagi.
Bagi Yunes, dengan kepimpinan, sokongan dan dokongan Ketua AMK, Ketua DAPSY maka Pemuda PH boleh mewujudkan pilihan alternatif dan sumber kepercayaan anak muda dalam PRU yang akan datang.
Kita perlu ketepikan perbezaan antara parti-parti komponen dan mengamalkan sikap lebih terbuka untuk menyelesaikan kemelut dan menghujah atas dasar prinsip dan nilai," katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/03/struktur-semula-pemuda-ph-akmal-nasir.html