Status Hadith Ramadhan Bulan Umatku
Soalan:
Apakah status hadith “Ramadhan bulan umatku”?
Jawapan:
Berdasarkan persoalan di atas, bulan Rejab merupakan salah satu di antara bulan-bulan Haram yang dinamakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Untuk itu, bulan Rejab ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri berbanding bulan-bulan yang lain. Di samping itu juga, bulan Sya’ban tidak kurang hebatnya dengan bulan-bulan lain kerana ia juga mempunyai kelebihan yang tersendiri.
Adapun Ramadhan merupakan satu bulan yang penuh dengan kelebihan dan juga tawaran-tawaran daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang merindukan-Nya dan juga merindukan Rasul-Nya. Selain itu juga, banyak hadith-hadith yang menunjukkan akan kelebihan bulan Ramadhan ini yang sering kita dengari dan juga ketahui.
Di sini kami datangkan matan hadith yang dimaksudkan di dalam soalan di atas:
Daripada Anas bin Malik RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
رَجَبُ شَهْرُ اللَّهِ وَشَعْبَانُ شَهْرِي وَرَمَضَانُ شَهْرُ أُمَّتِي
“Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban pula adalah bulanku (Rasulullah SAW) dan Ramadhan adalah bulan umatku.”
Hukum Hadith
Berikut adalah beberapa pendapat para ulama’ dalam menilai dan menghukum hadith di atas:
Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menilai hadith ini sebagai bathil. [Lihat: Tabyin al-‘Ajab, 14]Imam Ibn al-Jauzi menghukum hadith tersebut sebagai palsu. [Lihat: al-Maudhu’at, 124/2]Imam al-Suyuthi mengatakan hadith ini dhaif. [Lihat: Jami’ al-Saghir, 426]Imam Ibn ‘Arraq al-Kinani menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: Tanzih al-Syari’ah, 90/2]Imam al-Syaukani mengatakan hadith ini adalah palsu. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 47]Syeikh Mulla Ali al-Qari menghukum hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 460]
Setelah kami meniliti dan melihat penilaian yang dilakukan oleh para ulama’ berkaitan hadith ini, maka kami cenderung untuk mengatakan hadith ini sanadnya lemah kerana sanadnya terputus. Di samping itu, Syeikh Mulla Ali al-Qari mengatakan bahawa hadith ini diriwayatkan oleh Abu Fath ibn Abi al-Fawaris di dalam kitab al-Amali daripada Hasan al-Basri secara mursal (iaitu riwayat tabi’in terus kepada Nabi SAW dan tidak melalui sahabat). [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 460]
Penutup
Sebelum kami mengakhiri penulisan ini, suka bagi kami untuk mengingatkan para pembaca dengan ungkapan daripada beberapa Imam berkaitan bulan Rejab dan Sya’ban.
Kata Imam al-Hafiz Ibn Hajar: “Tidak ada disebut di dalam hadith yang sahih (yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya serta berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan juga solat yang khusus padanya.” [Tabyin al-‘Ajab, 9]
Kata Imam Ibnu Rejab: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu.” [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]
Untuk itu, sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan baik kita dan semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufiq dan hidayah dalam setiap amalan yang kita lakukan agar ia tidak bercanggah dan bertepatan dengan kehendak al-Quran dan juga sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Amin.
Wallahua’lam.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/05/status-hadith-ramadhan-bulan-umatku.html