Skandal Lcs Zainab Md Salleh Tuntut Rafizi Minta Maaf Dalam 14 Hari
malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Mar 24, 2023 5:53 PM
Seorang wanita menafikan dirinya sebagai isteri bekas menteri di jabatan perdana menteri Abdul Latiff Ahmad seperti didakwa Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, berkaitan skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).
Zainab Mohd Salleh semalam mengeluarkan surat tuntutan kepada Rafizi agar dia membuat permohonan maaf dalam tempoh 14 hari.
Zainab mendakwa ahli parlimen Pandan itu membuat enam kenyataan bersifat fitnah antara 22 Ogos dan 1 November 2022 di laman blog dan akaun TikToknya.
Dia menyangkal kenyataan itu - yang didakwanya sebagai membayangkan dia adalah isteri kedua Latiff dan menjadi proksi kepadanya berhubung kontrak pertahanan yang berkaitan dengan projek LCS - sebagai tidak benar.
Zainab Mohd SallehDia mendakwa Rafizi membuat kenyataan itu dengan motif politik ekoran PRU15 yang bakal menjelang ketika itu dan Rafizi tidak pernah cuba menghubunginya sebelum membuat dakwaan tersebut.
Justeru, Zainab menuntut Rafizi untuk membuat permohonan maaf dalam tempoh 14 hari dan disiarkan oleh akhbar dan media dalam talian, membuat aku janji bertulis yang menyatakan dia tidak akan menerbit, menulis atau mengekluarkan kenyataan yang serupa serta membayar ganti rugi yang munasabah.
Pada 22 Ogos tahun lalu, dalam usahanya mencari "ikan jerung" yang terlibat dalam skandal LCS, Rafizi mendakwa Latiff terlibat dalam projek itu melalui dua syarikat luar pesisir yang didakwa dikawal oleh Zainab.
Menurut Rafizi, maklumat berkenaan status luar pesisir dan kaitan Zainab dengan syarikat itu pertama kali didedahkan pemberi maklumat yang terlibat dalam projek Panama Papers dan Paradise Papers.
Dia juga mendakwa apa yang dikatakan sebagai kaitan antara Latiff dan Zainab ada direkodkan dalam kertas siasatan dalaman skandal LCS.
Namun Latiff dalam respons segera berkata Zainab bukanlah isterinya.
Malaysiakini sedang berusaha menghubungi pasukan peguam Rafizi untuk mendapatkan respons berkenaan perkara ini.
[Baca berita asal]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2023/03/skandal-lcs-zainab-md-salleh-tuntut.html