Tiga Bahan Letupan Ied Ditemui Di Nilai
Tiga Bahan Letupan IED Ditemui Di Nilai
NILAI, 22 Dis (Bernama) — Polis mengesahkan penemuan tiga objek disyaki peranti bahan letupan buatan sendiri atau Improvise Explosive Device (IED) susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma di sini pagi tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.08 pagi selepas orang awam memaklumkan terdapat objek meletup serta paku bertaburan di kawasan berkenaan melalui panggilan Next Generation Malaysian Emergency Response Services (NG MERS 999).
Beliau berkata bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian dan maklumat awal saksi awam memaklumkan bahawa letupan itu berpunca dari sebuah kereta.
“Susulan itu pemeriksaan dilakukan ke atas rumah berhampiran lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan di satu daripada rumah tersebut menjumpai tiga objek disyaki sebagai IED.
“Lebih kurang 250 meter dari tempat kejadian pihak polis menemui kenderaan disyaki menjadi punca letupan dan pemeriksaan ke atas kenderaan itu menjumpai beberapa peralatan termasuk bahan disyaki menjadi punca letupan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Alzafny berkata usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Sumber: BERNAMA
The post Tiga Bahan Letupan IED Ditemui Di Nilai appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/22/tiga-bahan-letupan-ied-ditemui-di-nilai/