Seludup Pati Malaysia Berdepan Industri Ratus Juta Setiap Tahun Kata Pakar
Faiz Zainudin
PETALING JAYA: Seorang pakar keselamatan berkata kemampuan Malaysia terhad untuk berdepan penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI), yang menurutnya industri mewah melibatkan keuntungan ratusan juta setiap tahun.
Mengambil contoh kes Rohingya, pakar kajian strategik dan anti-keganasan di Universiti Malaysia Perlis, Mizan Mohammad Aslam berkata harus ditubuhkan pasukan Asean+ untuk tangani beberapa masalah iaitu mengamankan wilayah konflik, memantau pergerakan pelarian, dan sindiket antarabangsa yang melibatkan pelbagai pihak termasuk penguatkuasa di pelbagai negara.
Mizan menjelaskan kebanyakan Rohingya yang memasuki Malaysia bukan melarikan diri dari wilayah konflik di Myanmar, tapi dari kem pelarian di Bangladesh.
“Ini mengesahkan mereka dieksploitasi ejen dan sindiket untuk keluar dari kem dan datang ke Malaysia,” katanya.
Mizan Mohammad AslamMizan berkata isu sindiket ini diketahui negara sekitar tetapi gagal menanganinya dengan tuntas.
Penyeludupan PATI, katanya, merupakan “industri mewah yang melibatkan keuntungan ratusan juta setiap tahun”.
“Pelbagai pihak di Bangladesh, Myanmar, Thailand, Malaysia, dan Indonesia terlibat dalam industri ini,” tambahnya.
Oleh itu, masalah penyeludupan PATI dan kes Rohingya, tidak akan dapat selesai dengan deklarasi serantau sahaja.
“Ia termasuk mengekang isu pelarian dimanipulasi sindiket antarabangsa,” katanya.
Sebagai langkah pertama, Mizan mencadangkan Malaysia memacu dan meneraju usaha Pelan Tindakan Asean (AAP) bagi menyelesaikan masalah secara bersama.
Beliau menarik perhatian kepada beberapa wilayah berkonflik di Asia Tenggara seperti Rakhine di Myanmar, selatan Filipina, dan selatan Thailand.
Mizan mencadangkan penubuhan pasukan Asean+ seperti pasukan pengaman melibatkan Malaysia, Myanmar, Bangladesh, Thailand, dan Indonesia bagi kes Rohingya; dan pasukan perantara bagi kes selatan Filipina dan kes selatan Thailand.
Pasukan sama juga wajar diatur untuk memantau pergerakan di kem pelarian.
“Tindakan membocorkan kapal dan merosakkan enjin bot yang membawa pelarian di Langkawi baru-baru ini membuktikan sindiket memang menjadikan kumpulan ini sebagai sasaran,” katanya.
Mizan berkata orang yang dibawa masuk secara haram dikhuatiri terjebak dengan industri yang menyalahi undang-undang seperti pelacuran atau kegiatan jenayah seperti rompak dan pemerasan.
“Mereka senang dieksploitasi sindiket tempatan, oleh penjenayah untuk dijadikan subjek kepada jenayah, ataupun menganggotai kumpulan penjenayah,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/seludup-pati-malaysia-berdepan-industri.html