Selepas Kalah Prk Kredibiliti Ketua Ppbm Tg Piai Mula Dipertikai
   Adam Abu Bakar

Karmaine Sardini (baju putih) memakaikan pin kepada pengundi ketika berkempen untuk PRK Tanjung Piai pada Nov lalu.
PETALING JAYA: Bekas calon PPBM yang bertanding dalam pilihan raya  kecil baru-baru ini mengakui wujud suara-suara dari akar umbi yang mula  mempertikaikan kredibiliti kepimpinannya, selepas tewas kepada calon  Barisan Nasional di Parlimen Tanjung Piai, Nov lalu.
 Karmaine Sardini yang merupakan ketua PPBM bahagian Tanjung Piai  berkata, beliau sedia mempertahankan kedudukannya walaupun pada ketika  ini dicabar 2 individu lain yang berhasrat merampas jawatan itu.
 “Saya akan bertanding, sebelum ini saya bertindak sebagai penaja  parti dan ini pula merupakan kali pertama pemilihan parti diadakan, maka  saya akan terus bertanding. Kalah atau menang itu soal lain, saya akui  ada pencabar, namun ia perkara biasa.
 “Memang kekalahan saya tempoh hari dijadikan sebagai isu kepada ahli-ahli PPBM bahagian Tanjung Piai.
“Mereka lihat kekalahan itu disebabkan kelemahan kepimpinan saya,  tetapi kekalahan dalam PRK tidak boleh dijadikan ukuran,” katanya kepada  FMT.
 BN menang dengan majoriti 15,086 undi, di mana calonnya, Wee Jeck  Seng memperoleh 25,466 undi menewaskan Karmaine (10,380 undi); calon  Gerakan, Wendy Subramaniam (1,707 undi); calon Berjasa, Badhrulhisham  Abdul Aziz (850), serta calon Bebas, Ang Chuan Lock (380) dan Faridah  Aryani Abd Ghaffar (32).
 Karmaine berkata, isu yang dibangkitkan pembangkang semasa PRK adalah  isu nasional, seperti masalah kos sara hidup yang dialami rakyat,  masalah hutang negara, bukannya isu setempat dan masalah melibatkan  PPBM.
 “Cuma kena ingat, siapa dahulu yang berani berjuang bersama pembangkang sebelum Pakatan Harapan tawan Putrajaya.
 “Ketika itu, hendak pakai baju merah yang ada lambang bunga pun ada  yang malu kerana masyarakat Melayu melihat ia perkara ganjil,” katanya.
 Beliau berkata, calon yang bertanding dalam pemilihan PPBM kali ini  tidak seharusnya melihat ia sebagai salah satu cara mengejar kemewahan,  sebaliknya perlu melihat ia sebagai suatu tanggungjawab besar.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/selepas-kalah-prk-kredibiliti-ketua.html