Sedap Kadir Membidas Persoalannya Siapa Dalang Ditangkap Dalam Semua Skandal Tu Siapa
Pendapat yang mengatakan tidak ada perbezaan besar di antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu adalah terlalu umum dan menyeluruh.
Adakah kerajaan yang mendedahkan skandal-skandal besar yang melumpuhkan ekonomi, kewangan dan pentadbiran negara seperti 1MDB, Tabung Haji, Felda, LTAT dan banyak lagi, sama dengan kerajaan yang melakukannya?
Mana-mana juga pihak yang mengatakan tidak ada perbezaan di antara kerajaan PH sekarang dengan kerajaan BN dahulu sama ada emosional atau sengaja membelakangkan realiti.
Adakah segala skandal dan penyelewengan yang berlaku itu akan didedahkan dan diambil tindakan kalau PH tidak menang dalam Pilihan Raya Umum 2018?
Boleh jadi dari segi politik kepartian ada kelemahan dan persamaan di antara PH dan BN, tetapi dari segi dasar, rancangan dan pelaksanaan pentadbiran, kerajaan PH amat berbeza serta lebih baik daripada kerajaan BN.
Tidak semua hal berkenaan BN tidak baik. BN banyak berjasa kepada negara. Banyak pemimpinnya bagus dan banyak yang kita warisi hari ini adalah legasi BN. Itu kita tidak boleh nafi.
Tapi hakikat bahawa BN rosak dalam masa tidak sampai satu dekad di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone, Mohd Najib Abdul Razak, juga tidak boleh kita nafi.
Dalam masa yang singkat dia ubah Umno dan kerajaan daripada amalan demokrasi kepada kleptokrasi – kerajaan yang mencuri.
(I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone itu adalah gelaran tertinggi kerajaan Bugis Gowa yang dianugerahkan kepada Mohd Najib oleh keturunan Almarhum Sultan Abdul Jalil pada tahun 2005. Najib amat bangga dengan anugerah itu sehingga dia gelar diri dia pendekar atau pahlawan Bugis.)
Kalau Najib teruskan dan perbaiki legasi ayahanda dia, Almahum Tun Abdul Razak Hussein, serta legasi Perdana-perdana Menteri sebelum dia, saya sangat yakin BN terus berkuasa hingga ke hari ini.
Kita pun tak ada alasan atau keperluan untuk angkut dia dan konco-konco dia ke mahkamah.
Tapi di bawah pimpinan Najib, BN telah jadi parti yang bersubahat lakukan konspirasi rasuah, pecah amanah dan penyelewengan dengan menyonglap berpuluh-puluh bilion duit negara dan rakyat jelata.
Siapa saja yang berani tegur atau berbeza pendapat dengan dia dan konco-konco dia akan dipecat dan dikenakan berbagai-bagai tindakan punitif.
Tak Sama
Jadi adakah PH yang bangkit lawan kemungkaran BN dengan sokongan rakyat jelata sama dengan BN yang lakukan kemungkaran?
Tentulah tidak sama.
Apa yang sedang berlaku sekarang adalah kesan kerosakan zaman pemerintahan kleptokrasi Najib begitu teruk dan meluas sehingga kemampuan kerajaan PH untuk mengatasinya amat sukar dan ambil masa.
Baru-baru ini seorang wartawan kanan dari Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) tanya saya dalam satu dialog adakah perlu kerajaan PH terus salahkan kerajaan BN?
Saya kata, perlu kerana kalau tidak disebabkan oleh kerosakan yang dibuat oleh BN itu, kita tidak akan alami masalah macam sekarang.
Saya bagi contoh duit RM9 bilion yang kerajaan PH terpaksa belanja setakat ini untuk bayar faedah hutang 1MDB.
Ini baru faedah. Belum lagi pokok. 1MDB ini hasilnya tak ada tapi hutangnya dianggar sampai RM50 bilion. Semuanya kerana rasuah, pecah amanah dan penyelewengan. - Siapa Ditangkap?
Adakah kerajaan PH yang sedang berusaha keras dapatkan balik duit 1MDB yang dicuri, kurangkan kos projek pembangunan yang digelembungkan dan jimatkan duit negara sama dengan kerajaan BN yang buat najis tersebut?
Maaf cakaplah kalau saya kata, hanya orang bodoh atau yang makan dedak sahaja akan nafi kerosakan yang dibuat oleh BN dan pemulihan yang sedang diusahakan oleh PH.
Kalau kerajaan BN tak tipu, pasal apa gergasi kewangan dunia Goldman Sachs yang atur hutang 1MDB sedia timbang tuntutan ganti rugi oleh kerajaan PH? - Rakyat mahukan semua yang terlibat dibawa ke muka pengadilan. Bukan setakat najib, tetapi semua anggota yang terlibat.
Laporan media massa kata, bank pelaburan antarabangsa itu bersedia pulangkan sebahagian komisen yang 1MDB bayar kepadanya.
Tapi berasaskan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan akan teruskan saman ke atas Goldman Sachs.
Dalam temu ramah dengan agensi berita Reuter beberapa hari lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Malaysia akan tuntut AS$7.5 bilion (kira-kira RM30 bilion) daripada Goldman Sachs.
Ini adalah jumlah hutang 1MDB yang Goldman Sachs atur di mana bank yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat itu dibayar komisen AS$600 juta (RM2.4 bilion).
Najis di TH dan Felda
Jadi adakah kerajaan PH yang telah peruntukkan RM17.8 bilion bagi selamatkan Tabung Haji dan RM6.3 bilion bagi selamatkan Felda sama dengan kerajaan BN yang buat najis di TH dan Felda?
Saya difahamkan yang usaha sedang dibuat untuk selesaikan masalah Felda dengan FGV Holdings Berhad (FGV) supaya Felda dapat balik ladang dan kilang yang digadai atau dijual kepada FGV pada tahun 2012.
Selain itu, kerajaan PH juga sedang berusaha selesaikan masalah Felda yang dipaksa beli 37 peratus saham ladang Eagle High milik (Tan Sri) Peter Sondakh di Indonesia dengan harga berlipat ganda daripada harga pasaran. - Rakyat menanti, bila mahu heret watak-watak ke muka pengadilan?
Cerita ini panjang dan kompleks kerana ia melibatkan rogol beramai-ramai dan berulang kali oleh kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN) serta konco-konconya ke atas Felda.
Perbuatan hina dan khianat mereka meninggalkan kesan yang amat buruk ke atas agensi pembasmian kemiskinan itu dan para penerokanya.
Malangnya masih banyak peneroka, khasnya dan orang ramai, amnya tidak faham atau tidak percaya rogol korporat yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak itu.
Mereka masih menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun kerajaan PH telah menyelamatkan Felda dengan memberi suntikan kewangan sebanyak RM6.3 bilion. Tanpa suntikan itu Felda sudah bankrup.
Saya difahamkan yang kerajaan PH kini sedang berusaha untuk mendapatkan balik duit hasil daripada melacurkan Felda oleh Mohd Najib atau setidak-tidaknya pun mengurangkan beban Felda.
Bagi saya, bala yang menimpa Felda dan peneroka tidak langsung mengejutkan kerana sejak tahun 2012 lagi saya telah menulis berulang kali bagi memberi amaran mengenai apa yang saya lihat sebagai kegiatan memperalatkan Felda untuk tujuan yang tidak serasi dengan matlamat asalnya.
Ini bermula dengan pemindahan dan penggadaian harta Felda dan ladang peneroka kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad atau lebih dikenali sebagai FGV pada tahun 2012.
Saya banyak menulis memberi amaran bahaya memindahkan harta Felda dan ladang peneroka kepada FGV semata-mata untuk melakukan tawaran awam permulaan (IPO) yang kononnya akan melahirkan syarikat perladangan kelapa sawit terbesar di dunia.
Sebaliknya saya mengesyaki langkah itu sebagai mainan korporat Mohd Najib bagi mencari modal untuk Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, khususnya bagi memberi sogokan politik kepada peneroka agar mengundi BN.
Antara lain, saya mengatakan bahawa langkah memperdagangkan harta Felda dan peneroka melaui IPO FGV tidak menampakkan ciri-ciri kelestarian jangka panjang.
Ramalan saya itu menjadi kenyataan. Bukan saja pencapaian kewangan FGV tidak membanggakan – lebih kerap rugi daripada untung – tetapi turut menarik turun prestasi kewangan Felda.
Pertimbangkan fakta berikut:1. Pada tahun 2012, Felda mencatat keuntungan bersih RM5.8 bilion di mana RM4.7 bilion daripadanya adalah pendapatan luar biasa hasil penjualan aset kepada FGV.
2. Sejak itu Felda mencatat kerugian yang berterusan sebanyak RM2 bilion pada tahun 2013, RM1 bilion (2014), RM1.1 bilion (2015), RM700 juta (2016) dan RM4.9 bilion (2017).
3. Sehingga 31 Disember 2017, tanggungan (hutang) Felda berjumlah RM14.4 bilion di mana RM12.1 bilion adalah hutang daripada institusi kewangan.
4. Antara tahun 2007 dan 2011, iaitu sebelum Mohd Najib menubuhkan FGV, Felda mempunyai wang tunai bersih antara RM1.8 juta dan RM3.9 bilion tetapi jatuh merudum kepada hanya RM400 juta pada tahun 2017.
Ini hanyalah pra-tayang kepada malapetaka dan konspirasi seterusnya.
Faktor SondakhDia adalah “billionaire” Indonesia keturunan Cina yang namanya Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh.
Dia sahabat akrab keluarga Mohd Najib. Dia cuba jual 37 peratus saham ladangnya yang bernama Eagle High Plantations kepada FGV.
Ini berlaku pada tahun 2014. Tetapi tidak berjaya kerana sebagai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, FGV terpaksa berterus terang sedangkan penjualan saham Eagle High itu menyanggah amalan pasaran.
Sebelum itu, Sondakh dan syarikat komodi Perancis, Louis Dreyfus telah mengambil alih kawalan ke atas Eagle High dengan membayar AS$509.6 juta atau kira-kira RM2 bilion pada kadar tukaran hari ini.
Sondakh: Beli murah tapi jaul mahal kepada FeldaPada harga tersebut, urus niaga berkenaan menilai saham Eagle High sebanyak 301 rupiah setiap satu atau lebih kurang 21 peratus di bawah harga pasaran. Ini adalah kerana jual-beli tersebut berdasarkan suka sama suka dan sesama pemilik.
Urusan itu berlaku pada bulan November 2014. Tidak sampai setahun kemudian, iaitu pada bulan Jun 2015, masuklah FGV dengan tawaran membeli 37 peratus saham Eagle Plantation.
Harga pembukaan adalah 890 rupiah satu saham atau 113.94 peratus di atas harga Pasaran Saham Indonesia. Sondakh beli di bawah harga pasaran hendak jual kepada FGV di atas harga pasaran.
Sondakh beli saham Eagle High dengan potongan harga 21 peratus tapi dia hendak jual kepada FGV tujuh bulan kemudian dengan premium 113.94 peratus. Maknanya dia untung 137.94 peratus.
Dia belanja RM2 bilion untuk kuasai semua saham Eagle High tapi dia akan dapat RM3.1 bilion (AS$778.9 juta) dengan menjual hanya 37 peratus kepada FGV. Bunyi macam berniaga atas angin!
Sebagai syarikat milik awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia, FGV tidak boleh berbuat sesuka hati. Setiap keputusan wajib dimaklumkan kepada pelabur melalui pengumuman pasaran saham.
Mohd Najib pun tahu bahaya kalau terus guna FGV sebab lambat-laun rahsia akan pecah. Maka selamatlah FGV. Tapi apa yang berlaku selepas itu lebih teruk sebab yang menggantikan FGV adalah Felda.
Felda adalah milik kerajaan dan tidak diniagakan di Bursa Malaysia jadi lebih mudah diperalatkan. Masa itu Pengerusinya adalah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Dalam tempoh rundingan dengan FGV dan kemudian Felda, harga saham Eagle High terus jatuh. Rundingan dengan Felda dibuka pada kadar 645 rupiah sesaham atau bersamaan AS$551.8 juta (kira-kira RM2.3 bilion).
Itu pun masih tinggi kerana pada kadar harga itu ia hampir 160 peratus lebih mahal daripada harga saham Eagle High di Bursa Indonesia.
Sepatutnya bila ada orang hendak beli saham sesebuah syarikat dengan banyak, harganya naik. Tapi dengan Eagle High yang sebaliknya berlaku. Ini adalah kerana pelabur tahu nilai sebenar perniagaannya.
Tawar-menawar berjalan sampailah pada bulan Disember 2016 apabila persetujuan dicapai. Felda setuju bayar AS$505.4 juta. Tapi oleh sebab kadar tukaran ringgit jatuh ketika itu, nilai dalam ringgit naik kepada kira-kira RMRM2.4 billion atau 584 rupiah sesaham.
Pada harga itu ia adalah 96 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran. Premium pada kadar itu adalah amat tinggi dan jarang berlaku dalam urusan jual beli saham.
Penyiasatan forensik bebas yang diarahkan oleh pengurusan baru Felda selepas PH mengambil alih 9 Mei tahun lalu dikatakan telah mendapati beberapa watak dalam kerajaan BN dan pengurusan kanan Felda terlibat memesongkan urus niaga tersebut.
Singkatan seperti MNAR, MIAS, JAG dan DRI yang semuanya berupa pemimpin BN muncul di sana sini sebagai watak-watak yang memainkan perasan utama dalam urus niaga celaka itu.
Carian saya mendapati MNAR adalah Mohd Najib Abdul Razak, MIAS (Mohd Isa Abdul Samad), JAG (Johari Abdul Ghani) dan DRI (Datuk Razali Ibrahim). Kita tahu siapa MNAR dan MIAS tapi mungkin tidak berapa kenal dengan JAG, bekas Menteri Kewangan ll dan DRI, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Kemudian pembabitan anggota lembaga pengarah dan pengurusan kanan Felda dan FGV yang sepatutnya tidak menyokong urus niaga tersebut atau setidak-tidaknya pun memberi amaran mengenai bahaya pelaburan tersebut.
Saya dimaklumkan berkenaan nama-nama seperti Rahmat Bivi Yusoff, Dr Yusof Ismail, Noor Ehsanuddin Harun Narrashid, Hanafi Suhada, Dr Omar Salim, Mohd Khusairi Taib, Samsudin Othman, Dr Yusof Ismail, Mohd Isa Abu Kasim, Mohd Suhaili Said dan Abu Bakar Harun.
Juga Mohd Emir Mavani Abdullah, Faizoull Ahmad, Farisan Mokhtar, Norizah Bahari, Mohd Zafer Hashim, Dr Sulaiman Mahbob, Ahmad Tifli Taha, Yahaya Abdul Jabar, Mohammed Suffian Awang, Steve Clayton, Novan Amirudin dan Ahmad Tifli Talha.
Perbuatan dan peranan mereka menyebabkan Felda mengalami beban kewangan dan kerugian yang teruk.
Pada 25 Oktober 2019 harga saham Eagle High hanya tinggal 126 rupiah. Ini bermakna nilai pelaburan Felda telah jatuh merudum kepada RM440 juta atau kerugian dalam buku sebanyak RM2 bilion. Ini adalah duit peneroka.
Perogol-perogol Felda, sama ada yang sudah dikenal pasti atau yang akan dikorek dari lubang cacing, wajib dikenakan tindakan sewajarnya. Ini adalah sabotaj ekonomi.
Jual Balik
Salah satu cara yang boleh dicuba bagi mendapatkan balik duit Felda itu adalah dengan meminta atau memaksa Sondakh membeli balik saham yang dijual kepada Felda.
Ini boleh dilakukan kerana ada satu syarat penting dalam pembelian oleh Felda tersebut.
Sondakh dikatakan telah berjanji membeli balik saham yang dijual kepada Felda itu melalui proses “put option” jika Eagle High gagal memenuhi syarat dan persijilan “Roundtable on Sustainable Palm Oil” (RSPO) bagi semua ladang Eagle High.
Setakat ini, menurut laporan media, dia hanya berjaya mendapatkan sijil RSPO untuk sebuah ladang saja.
Penganalisis pasaran rata-rata setuju bahawa Felda telah diperalatkan oleh Najib bagi membantu perniagaan sahabatnya Peter Sondakh dan dalam proses itu berlaku pelanggaran tadbir urus serta pengabaian tanggungjawab fidusiari yang serius.
Maka dalam usaha mendapatkan balik duit Felda atau setidak-tidaknya mengurangkan kerugian serta memberhentikan pendarahan, aset serta kepentingan Sondakh di Malaysia wajib diambil kira.
Dia ada banyak harta di Malaysia termasuk beberapa buah hotel mewah di Kuala Lumpur dan Langkawi yang dibeli atau dibina dengan pinjaman mudah daripada bank-bank tempatan, khususnya Bank Pembangunan, dan perkongsian dengan Khazanah Nasional Berhad.
Sondakh adalah sahabat akrab Najib yang mempunyai banyak harta di Malaysia dan berhutang besar dengan industri perbankan Malaysia, khususnya Bank Pembangunan. - Jika benar, kenapa tiada tindakan diambil terhadap sondakh? Malah tiada rampasan harta yang banyak tersebut dibuat, jika benar sondakh terlibat money laundry.
Saya bagi tahu wartawan NSTP itu, kalau bukan kerana penyelewengan kerajaan BN, kerajaan PH ada RM9 bilion untuk dibelanjakan demi kebaikan rakyat jelata.
Kesialan Edra
Baru-baru ini, dalam perjalanan melawat anak, menantu dan cucu di Zurich, saya disapa oleh seorang jurutera Melayu yang bekerja dengan syarikat penjana tenaga bebas (IPP) Malaysia yang dimilik pelabur negara China.
Dia mengeluh. Saya nasihatkan dia agar bersabar kerana setidak-tidaknya pun dia ada kerja.
Dulu dia bekerja dengan Edra Global Energy milik 1MDB. Sekarang dia bekerja dengan syarikat yang sama tapi milik China General Nuclear Power Corporation (CGN).
Boleh jadilah wartawan NSTP yang bertanyakan soalan kepada saya itu tidak mendalami konspirasi 1MDB atau tak faham kerana ia terlalu kompleks dan tidak telus.
Saya telah banyak kali tulis tentang macam mana 1MDB beli tiga buah syarikat IPP tempatan dengan harga RM12 bilion dan tidak lama lepas itu jual kepada CGN pada harga RM9.8 bilion.
Cerita di atas hanya sebahagian kecil saja daripada contoh yang membezakan kerosakan zaman kleptokrasi Najib-BN dengan pemulihan yang sedang dilakukan dalam era PH yang belum pun berusia dua tahun.
Jadi tak betullah dakwaan bahawa kerajaan BN dan PH sama saja.
Tentang perangai dan prestasi sesetengah pemimpin PH yang seakan-akan sama dengan perangai dan prestasi pemimpin BN, itu cerita lain. Itu cerita manusia dan politik.
Yang ini saya tak susah hati sangat. Kita bagi nasihat. Kita tegur. Kita kritrik. Kita belasah. Kalau mereka tak ambil hal juga, bila sampai masa kita nyahkan mereka. Itu hak demokrasi kita.
Tapi kita tak boleh tolak-ansur dengan sistem pentadbiran dan tadbir urus negara.
Yang ini kita wajib perbaiki dan reformasikan supaya siapa pun yang perintah, penyakit rasuah, pecah amanah dan penyelewengan tak akan berulang. Tidak akan ada lagi seorang Perdana Menteri macam Najib.
Wallahuaklam.
Kadir Jasin
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bankami.blogspot.com/2019/12/sedap-kadir-membidas-persoalannya-siapa.html