Sbdj Siri 70 Bantal Peluk Berjalan Malam


“Kita juga tidak percaya tapi ramai orang yang percaya dengan perkara yang karut-marut tu.” “Ajal maut milik Allah. Kalau ajal kita belum tiba, jatuh dalam gunung berapi pun kita hidup. Bila ajal dan janji kita sudah tiba, digigit semut pun kita mati.”


“Kita jangan lupa, nyawa kita ini dipinjamkan oleh Allah pada kita. Bila sampai waktunya nyawa kita akan diambilnya. Jadi kenapa kita takut pada mati, kalau kita sudah membuat persiapan yang cukup,” balas Haji Salim dengan tenang.

Ketika ia berkata-kata tadi, saya lihat sinar matanya cukup tajam.

“Kita setuju,” jawab Datuk.

“Mari sembahyang, Isyak dah sampai,” Haji Salim segera bangun. Ketika itu juga terdengar suara azan Isyak dari surau membelah ketenangan seluruh kampung.

“Kita jadi imam,” tambah Haji Salim.

“Silakan,” ujar Datuk tersenyum.

“Nanti dulu,” kata saya.

“Kenapa pula budak ni,” keras sekali suara Datuk.

“Saya terkentut dalam diam tuk.”

“Ah kamu ni, ada-ada saja. Pergi cepat.”

Saya meluru ke bilik air. Saya terdengar suara ketawa dari haji dan Datuk tingkah meningkah. Mereka geli hati dengan kelakuan saya. Memang kelemahan diri saya, air sembahyang saya cepat batal. Bila ada air sembahyang perut buat ragam dan sering mahu mengeluarkan udara kotor dari dalamnya.

Kalau tidak ada air sembahyang, perut tidak pula buat hal. Entah mengapa begini jadinya, mungkin dugaan pada orang yang ada air sembahyang terlalu banyak, fikir saya sendirian. Nantilah satu hari, mahu saya tanyakan hal itu pada Haji Salim.

Haji Salim mengambil tempatnya sebagai imam. Saya dan Datuk berdiri hampir berlaga bahu. Memang pesan Datuk kalau sembahyang jemaah mesti rapat, jangan ada ruang untuk syaitan lalu yang menggoda kita sembahyang.

Sembahyang Isyak dapat disempurnakan dengan aman. Haji Salim terus membaca doa. Suaranya cukup terang dan jelas sekali. Cara mendadak suaranya yang terang itu beransur lemah dan tidak kedengaran langsung.

Saya lihat Haji Salim terus rebah di tikar sembahyang. Datuk dan saya terus menghampirinya. Haji Salim kelihatan sukar untuk bernafas. Datuk segera mahu melakukan rawatan kecemasan.

“Tak payah, masanya sudah sampai,” kata Haji Salim. Nafasnya beransur tenang. Ia terus merenung wajah Datuk dengan senyum. Dengan susah payah Haji Salim melunjurkan kedua belah kakinya. Ia terus baring. Sepasang matanya merenung lelangit rumah dengan tenang.

Isterinya datang membawa bantal. Datuk segera mengambil bantal itu, terus mengenepikan ke kepala Haji Salim. Ia kelihatan lemah sekali.

“Maafkan aku, kalau ada tersilap dan kasar bahasa pada kamu,” Haji Salim renung muka isterinya. Perlahan-lahan isterinya anggukkan kepala bersama wajah yang gusar.

“Begitu juga pada kamu Tamar,” Haji Salim renung muka Datuk dan saya.

Serentak Datuk dan saya anggukkan kepala. Isteri Haji Salim mula tersedu dan Datuk terus memujuk isteri Haji Salim supaya jangan menangis dan meraung. Ternyata isteri Haji Salim patuh dengan cakap Datuk.

“Sahabat, kita nak tidur. Kita rasa bekalan kita sudah cukup,” suara Haji Salim cukup lemah. Sinar matanya cukup redup menikam wajah Datuk. Saya lihat Datuk menarik nafas dengan rasa yang penuh berdebar.

Beberapa saat kemudian, saya lihat Haji Salim merapatkan kedua belah kelopak matanya dengan aman. Wajahnya nampak seakan-akan orang tersenyum. Datuk segera merasai perjalanan nadinya.

“Dia kembali pada yang HAK. Semoga amal ibadahnya diterima oleh Allah,” beritahu Datuk pada isteri Haji Salim. Dan saya lihat perempuan tua yang berwajah tenang itu mengesat air matanya dengan hujung baju.

“Saya goreng pekasam kesukaannya tapi…,” perempuan Haji Salim tidak terdaya meneruskan kata-kata itu. ia terus tersedu. Saya dan Datuk berpandangan.

“Jangan disesali kematiannya. Kita mesti merelakan apa yang sudah diatur oleh Allah,” Datuk mengingatkan isteri Haji Salim yang masih termenung.

“Baik tuk.”

“Pergi sekarang.”

SEMPIT

Dengan hati-hati saya memijak anak tangga kiri kanan jalan menuju ke surau ditumbuhi pokok-pokok kecil yang merimbun. Memang sukar berjalan di jalan yang sempit. Kalaulah orang lain yang menyuruh, pasti saya bantah.

Melangkah di jalan yang sempit waktu malam, memang menyulitkan. Dua tiga kali saya terlanggarkan akar pokok yang melintang atas jalan. Bukan kepalang sakitnya.

Ada masanya saya terpaksa melompat, akibat dilanggar oleh katak puru yang muncul dari rimbunan pokok kecil di kiri kanan jalan. Saya lihat langit yang cerah, gumpalan awan terus berarak.

Saya sampai dekat pokok kelapa yang patah pucuk, akibat dipanah petir. Dari pangkal pokok kelapa itu, saya lihat cahaya gasolin di surau terang-benderang. Hati saya gembira kerana surau masih belum ditinggalkan oleh orang kampung.

Dalam gelap yang pekat itu, suara cengkerik kian rancak menyanyi. Beberapa ekor kelip-kelip terbang tidak tentu arah. Desir angin yang menyentuh dedaun terus berbunyi. Jarak surau dengan rumah Haji Salim kira-kira suku batu.

Tiba-tiba saya tersepak benda lembik. Saya berhenti melangkah sambil memusingkan kaki kanan saya dengan harapan dapat merasakan benda lembik itu. Anehnya, benda lembik itu tidak tersentuh bila melangkah. Dan dengan tiba-tiba saya teringatkan Haji Salim yang sudah menjadi mayat.

Saya juga teringat cakap orang tua-tua yang mengatakan bila ada orang mati malam, syaitan selalu merayau di kawasan orang ang meninggal dunia bertujuan untuk menakut-nakutkan orang yang masih hidup. Mengingatkan semuanya itu, cara mendadak sahaja bulu tengkuk saya meremang. Rasa takut mula bersarang dalam diri.

Cara yang paling baik dilakukan, berlari sahaja dalam gelap. Redah atau langgar apa sahaja, dengan itu cepat sampai ke surau dan terus pukul kerantung tujuh kali berturut-turut.

Setelah diperhitungkan dan dipertimbangkan dengan teliti, saya membuat keputusan untuk lari menuju ke surau. Baru lima enam langkah berlari, saya terlihat benda putih sebesar buah kelapa datang bergolek-golek ke arah kaki saya.

Dalam jarak dua kaki dari saya, benda putih itu berhenti bergolek. Bentuknya juga berubah jadi memanjang bantal peluk. Perlahan-lahan benda putih itu bangun, berdiri setinggi tubuh saya. Saya renung kiri kanan. Apa yang saya lihat, barisan kelip-kelip yang terbang menuju ke satu arah, iaitu arah barat daya.

Saya jadi tidak tentu arah dan bersedia menjerit memanggil Datuk. Tetapi, hasrat itu saya batalkan. Saya terus membaca ayat-ayat Quran untuk menghalau syaitan. Makin kerap ayat-ayat Quran itu saya ulangi, makin rancak benda putih itu berpusing-pusing di depan saya.

Saya terus lari sekuat hati menuju ke surau. Sampai di surau saya dapati tidak ada seorang pun di situ. Saya terus memanggil-manggil nama Siak beberapa kali. Tidak ada jawapan yang saya terima. Tetapi, mengapa Tuk Siak tidak mematikan lampu gasolin. Barangkali ia terlupa, kata hati saya.

Tanpa membuang masa, saya ambil kayu pemukul lalu memukul kerantung tujuh kali berturut-turut. Selesai sahaja kerantung (beduk) dipukul lampu gasolin terus padam dengan sendiri. Hati saya berdebar. Dan saya bagaikan mahu menangis rasanya. Saya terus duduk di tangga surau.

Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, saya terdengar bunyi suara orang batuk dari arah belakang surau.

“Siapa yang mati?” tanya suara dari belakang surau.

“Tuk Siak di mana?”

“Aku tanya lain, kamu jawab lain.”

“Haji Salim yang mati.”

“Eloklah tu.”

Darah saya tersirap. Dan saya yakin, itu bukan suara Mat Upih Tuk Siak surau. Suara Mat Upih parau bercampur nyaring. Tetapi suara yang saya dengar ini, keras tidak nyaring dan serak.

Setiap orang kampung yang menerima berita kematian akan menjawab dengan kata-kata; Innalillah wa inna Ilaihirajiun. Mereka tidak akan mengucapkan perkataan, eloklah tu, seperti yang diucapkan oleh orang dari arah belakang surau.

“Itulah padahnya melawan kita,” tercetus lagi kata-kata dari orang yang tidak saya kenali. Dengan tidak disangka-sangka rasa marah dan benci tumbuh dalam hati saya terhadap orang itu.

“Ei, manusia tak baik cakap macam tu. Kamu juga akan mati,” balas saya.

“Sudahlah, tak lama lagi giliran Datuk kamu.”

“Nyawa Datuk aku bukan di tangan kamu, tahu.”

“Tunggu, dan lihat sendiri.”

“Laknat.”

Sebaik sahaja kata-kata itu saya ucapkan, saya tercium bau yang amat busuk. Saya terlihat dua lembaga manusia melintas di depan saya. Dari bentuk lembaga itu, saya tahu orang itu tidak lain tidak bukan ialah Kamal dan Daud.

“Aku tahu siapa kamu,” jerit saya.

Dalam saya terus berlari meninggalkan surau, terdengar suara orang ketawa berdekah-dekah dituruti dengan bunyi tapak kaki memburu saya dengan kuat. Saya terus berlari tanpa mahu menoleh ke belakang, ke kiri atau ke kanan.

Bila saya sampai di rumah Haji Salim, saya lihat orang sudah ramai. Mat Upih duduk di halaman rumah bersama dengan kawan-kawan. Semuanya memakai songkok putih.

“Macam mana tahu Haji Salim meninggal?” saya ajukan pertanyaan pada Mat Upih yang berkulit putih, berasal dari Pangkalan Bharu, dekat Pantai Remis.

“Ada orang datang beritahu para jemaah. Bila disuruh pukul kerantung, dia tak mahu. Katanya kamu nak pukul lepas sembahyang Subuh,” jawab Mat Upih.

“Pak Mat Upih kenal orangnya?”

“Inilah yang kami bincangkan. Orang tu memakai serba hijau, kami ingatkan keluarga si arwah yang datang dari jauh,” Mat Upih renung kawan-kawannya. Semua kawan-kawannya anggukkan kepala.

Saya garu pangkal telinga dua tiga kali. Di sudut halaman Datuk sedang berunding dengan penggali kubur. Isteri Haji Salim sedang bercakap dengan Borhan. saya terus menghampiri mereka.

“Aku nak suruh si Borhan ni telefon anak buahku dan telefon malam ni juga. Mana yang tak ada telefon pagi esok di pejabat,” terang isteri Haji Salim lalu memberi nombor telefon pada Borhan.

“Macam mana kau nak buat Borhan,” soal saya.

“Aku ke pekan malam ni juga, gunakan telefon abang aku Tamar.”

“Bila balik ke sini?”

“Malam ni juga.”

Borhan segera meluru ke Honda 70cc miliknya. Meninggalkan saya yang terpaku di sisi isteri Haji Salim. Bunyi enjin motosikal Borhan tidak kedengaran lagi.

Berita kematian Haji Salim cukup cepat merebak ke seluruh kampung. Tidak sampai dua jam rumah arwah Haji Salim jadi tumpuan. Semua yang datang tanpa di arah tahu dengan tugas masing-masing.

Ada yang datang membawa ketam, penukul dan paku serta gergaji. Ada yang datang membawa papan dan kayu. Mereka bergotong-royong membuat keranda dan pengusung. Menjelang pukul dua belas malam, semua kelengkapan itu siap.

Tepat pukul satu pagi, orang-orang yang datang pulang ke rumah masing-masing. Mereka sudah tahu tugas-tugas yang akan dilakukan pada esok pagi. Beberapa orang penduduk kampung terus membaca Quran di depan jenazah Haji Salim.

Pada mulanya, perbuatan itu ditentang oleh Datuk. Menurut Datuk membaca Quran di depan jenazah merupakan perbuatan yang bidaah, tidak pernah dilakukan oleh Nabi Besar Muhammad SAW.

“Tidak. Tujuannya baik dan perkara ini harus. Kita menyedekahkan pada roh arwah, kita tak usah bertekak atas perkara ini, nanti menimbulkan perbalahan antara kita,” sanggah Pak Imam.

“Saya tak pula bermaksud begitu. Setahu saya amal ibadah yang ditambah-tambah, perkara yang tidak dilakukan oleh nabi kita buat, sudah tentu perbuatan tu dicela oleh agama kita,” Datuk mempertahankan pendapatnya.

“Sebenarnya masalah ini, ulama-ulama besar pun tidak sependapat. Ada yang kata boleh, ada yang kata tidak. Sudah jadi kebiasaan orang-orang kita membaca Quran di depan jenazah,” tambah Imam lagi.

“Tak apalah, saya akan tanya pada ahli-ahli agama dalam hal ini, supaya orang kita dapat melakukan sesuatu yang baik mengikut nabi,” suara Datuk merendah.

“Saya setuju dengan awak, tapi apa yang berjalan sekarang jangan dikacau.”

“Demi perpaduan penduduk perkara tu saya tak halang. Tetapi bila saya dapat hujah yang kuat saya menentangnya.”

“Saya setuju,” Pak Imam tersenyum.

Saya tersenyum mendengar percakapan antara Datuk dan Pak Imam. Mereka sering bertolak ansur demi kepentingan dan perpaduan para penduduk. Pak Imam terus naik ke rumah. Saya duduk dekat pokok mempelam. Dua tiga kali saya menguap. Kelopak mata terasa amat berat sekali. Rasa dingin kian hebat mendakap seluruh badan. Tanpa diduga saya terlena sejenak.

“Tamar.”

Saya membuka mata. Saya lihat Datuk sudah pun duduk di sisi saya. Muka saya ditenungnya lama-lama. Kemudian pangkal ketiak kanan saya ditamparnya sekuat hati. Rasa mengantuk segera hilang.

“Jangan mudah tidur di mana-mana, nanti dikacau syaitan,” katanya pada saya.

“Saya mengantuk tuk.”

“Kalau mengantuk balik ke rumah.”

“Saya takut tuk.”

“Takut?” Datuk membeliakkan biji mata pada saya.

Saya terus menceritakan pada Datuk, segala kejadian aneh yang saya lalui ketika pergi ke surau beberapa jam tadi. Datuk mendengarnya dengan tenang.

“Dendamnya pada kita belum habis,” cetus Datuk sambil meraba ulu keris pemberian Haji Salim yang disimpan dalam uncang kecil. Datuk meninggalkan saya. Ia terus menemui isteri Haji Salim. Setelah bercakap-cakap sebentar dengan Datuk, isteri Haji Salim masuk ke rumah. Keluar kembali dengan ditemani oleh nenek.

Datuk dan nenek bercakap-cakap sebentar. Datuk tinggalkan nenek dan terus menghampiri saya.

“Kita balik dulu Tamar. Lepas Subuh kita datang lagi ke sini. Di rumah kamu boleh tidur.”

“Ini sudah cukup baik tuk.”

“Cepat bangun.”

Saya segera bangun. Badan saya menggeletar kesejukan. Langit tetap cerah tetapi sekitar kawasan rumah Haji Salim terus didakap oleh suasana malam yang agak pekat. Suara jampuk berpadu dengan suara pungguk mendendangkan irama malam yang tidak pernah habis selagi dunia berkembang. Begitu juga dengan suara cengkerik.

Langkah Datuk cepat, tidak tersepak tunggul atau akar. Ia cukup arif dengan jalan yang dilaluinya. Bagi mengelakkan supaya saya jangan jauh ketinggalan, saya terpaksa berlari. Kerana berlari membuat badan saya berpeluh dan menghilangkan rasa sejuk.

“Tamar.”

Datuk menepuk bahu saya. Langkah kami terus kaku.

“Ada apa tuk?”

“Kau nampak apa-apa Tamar.”

“Tak ada apa-apa tuk,” saya renung ke kiri, saya renung ke kanan. Dalam gelap gelita itu saya ternampak ada bentuk manusia berdiri antara saya dengan Datuk.

“Ada orang tuk.”

Sebaik sahaja kata-kata itu berakhir, bayang-bayang orang itu segera hilang. Ia muncul di depan Datuk. Kali ini bayang-bayang ini menjadi nyata. Mempamerkan wajah dan batang tubuhnya. Bila Datuk mahu menyapa, orang itu segera hilang dan berdiri jauh di belakang saya.

Orang itu membongkok macam mencari sesuatu di atas tanah. Perlahan-lahan orang itu mengeluarkan buluh tajam dan bersedia mahu menikam tanah yang ada kesan tapak kaki saya dan Datuk.

Waktu orang itu mahu menikam buluh tajam ke arah kesan tapak kaki saya dan Datuk, bagaikan kilat Datuk melompat lalu melakukan satu tendangan yang kuat ke arah pergelangan tangan orang itu. Buluh di tangan orang itu terpelanting lalu melekat di batang pokok pisang.

Orang itu terus tercengang. Tergamam untuk melakukan sesuatu. Dalam keadaan yang serba-salah itu Datuk melepaskan satu tendangan yang kencang pada orang tersebut. Saya lihat orang itu tersandar di pangkal pokok pisang.

Kalau orang itu tidak mengelak sudah pasti buluh tajam yang tercabut dan terjatuh dari pokok pisang mengenai perutnya. Kalaulah perkara itu terjadi, sukar untuk saya membayangkannya.

“Aku tahu, kamu menuntut dari kaum kubu di Sumatera, tidak ada sesiapa yang boleh mengalahkan kamu kecuali kaum itu sendiri,” kata Datuk. Saya lihat orang itu terdiam. Datuk segera merapatinya.

“Kamal, kamu menggelar diri kamu mahaguru. Kau memaksa orang memanggil kamu Datuk. Kamulah penipu besar di dunia ini,” Datuk terus mengutuk orang itu. tidak ada jawapan dari orang tersebut.

“Aku tahu, ilmu dunia orang kubu cukup hebat, bekas tapak kaki manusia musuhnya kalau ditikam dengan buluh orang itu boleh mati. Jika musuhnya berada jauh dalam jarah berpuluh-puluh batu, boleh dibunuh dengan membalingi pisau ke arah rumah musuh dan musuhnya mati dengan serta-merta. Aku juga tahu ilmu itu tidak ada pada kamu Kamal,” sambung Datuk dalam nafas yang tercungap-cungap.

Saya tidak berkata apa-apa. Bau hapak mula menyumbat lubang hidung saya. Ketika itu juga saya lihat beribu-ribu kelip-kelip berterbangan sekitar kawasan kami berada. Cahaya dari kelip-kelip itu memudahkan saya melihat pergerakan Kamal yang mula mahu bangun.

“Kalau ajalku belum sampai dan tidak diizinkan oleh Allah mati di tangan kamu, usahlah kamu memburu aku Kamal,” beritahu Datuk lagi. Kamal terus bangun.

“Buktinya Haji Salim,” pekik Kamal.

“Kamu silap. Ia mati kerana sudah sampai janjinya.”

“Sial, kamu sial, menghalang kerja-kerja aku.”

“Kalau kamu mahu menunjukkan kehandalan ilmu dunia kaum kubu yang kamu tuntut, aku bukanlah tempatnya. Aku tahu ilmu kamu tidak cukup lagi.”

“Mana kamu tahu.”

“Aku berasal di Tanah Jambi. Aku sudah bercampur gaul dengan beberapa orang ketua kaum tersebut, banyak ilmu dunia dia orang yang aku tahu. Serba sedikit pantang larang dan sumpahnya aku tahu,” Datuk berhenti bercakap.

Kelip-kelip kian bertambah. Kamal termenung panjang. Bau tokaknya kian kuat berbau. Lolongan anjing sayup-sayup terdengar. Bunyi angin kian kuat bertiup.

“Tokak di kaki kamu tu terjadi kerana kamu tidak pergi berjumpa dengan ketua orang kubu yang mahu tuntut ilmu. Kamu tidak membawa upahnya seekor babi hutan pada setiap tahun.”

“Ah mengarut.”

“Kamal, aku tak mahu cakap banyak. Eloklah kamu pindah dari sini sebelum kamu dilaknati oleh Allah. Pergilah ke mana-mana dan bertaubat.”

“Sudahlah.”

Dengan sekelip mata kelip-kelip yang beribu-ribu itu terus hilang. Kamal juga lesap dari pandangan saya dan Datuk. Buluh yang ada di bawah pohon pisang terbakar dengan sendirinya.

Datuk menarik nafas panjang. Di wajahnya terbayang rasa kesal. Lama juga Datuk termenung, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

“Mari Tamar.”

Saya pun terus melangkah mengikut rentak kaki Datuk. Dua tiga kali melangkah, saya renung ke belakang. Bimbang, kalau Kamal muncul lalu menikam saya. Kalau perkara itu terjadi, tentu saya mati katak.

Kami selamat sampai ke rumah. Tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku. Sampai di rumah saya terus tidur. Saya tidak tahu apa yang Datuk lakukan dalam biliknya.

USUNG

Pagi itu, sebelum pergi ke rumah arwah Haji Salim, Datuk duduk di kepala tangga. Saya terus menghampirinya.

“Tamar.”

“Ya, tuk.”

“Kau ingat dengan Daud.”

“Ingat tuk, kenapa tuk.”

“Dia menipu kita. Katanya dulu, Kamal orang nombor dua yang menjalankan perintah guru. Sebenarnya Kamal itulah kepala nombor satu.”

“Betul ke tuk.”

“Sudahlah, mari kita pergi ke rumah arwah Haji Salim.”

Waktu kami sampai orang ramai di rumah Haji Salim. Sanak saudaranya yang jauh sudah ada yang tiba. Saya pusing keliling rumah, kalau-kalau Saadiah dan keluarganya sudah tiba. Ternyata Saadiah masih belum sampai.

Rasa terkilan berbunga dalam diri saya. Rindu benar rasanya mahu melihat lesung pipit di pipi Saadiah. Dalam rasa kehampaan yang memanjang itu saya terus menuju ke arah Lebai Din yang buta kedua belah matanya.

“Tamar,” kata Lebai Din. Saya tersenyum bagaimana orang tua yang buta ini memanggil nama saya dengan tepat. Padahal saya tidak menegurnya.

“Kau pakai baju dan seluar putih hari ni,” tambahnya.

“Ya Pak Lebai,” jawab saya.

Lebai Din terus ketawa dan menepuk belakang saya beberapa kali dengan penuh kemesraan. Tangannya saya pegang erat-erat.

“Macam mana tahu Pak Aji meninggal?” tanya saya.

“Borhan beritahu.”

“Macam mana datang?”

“Jalan kaki Tamar.”

“Jauh tu Pak Lebai.”

“Sebagai orang Islam bila tahu saudara seagama meninggal kita mesti datang,” katanya. Saya anggukkan kepala. Setuju dengan pendapatnya itu.

Datuk datang dan terus duduk di sebelah Lebai Din. Saya tahu bila Datuk datang, saya tidak boleh bercakap ikut suka hati, nanti kena tegur oleh Datuk.

“Bila mahu dikebumikan,” tanya Lebai Din.

“Lepas Zuhur, nanti anaknya dari Beranang tiba. Kalau tak sampai juga, tak boleh ditunggu lagi.”

“Bagus, menyegerakan mengebumikan mayat memang dituntut oleh agama, tak baik melambat-lambatkannya,” jawab Lebai Din.

Orang tidak putus-putus datang ke rumah Haji Salim, orang sekampung semuanya tidak pergi kerja hari itu. orang luar dari kampung juga tidak kurang ramai yang datang. Melihat keadaan itu, saya meramalkan semasa hayatnya, Haji Salim memang terkenal dan dihormati.

“Orang yang duduk di tanah saya tu dah pindah,” Lebai Din memberitahu pada Datuk. Saya lihat Datuk terkejut.

“Macam mana awak tahu.”

“Lepas sembahyang Subuh tadi, orang tu lalu dekat rumah saya dan beritahu perkara tu.”

“Biadab, manusia biadab.”

“Biarlah dia biadab, asalkan kita tidak jadi macam dia. Saya bersyukur pada Allah…”

“Bersyukur, bersyukur apa?”

“Dia sudah meninggalkan pondok itu. kalau di suruh keluar dengan paksa lain pula jadinya.”

“Begitu,” saya lihat Datuk ketawa kecil. Keterangan dari Lebai Din membunuh keraguan dalam diri Datuk.

Seperti yang dijanjikan, lepas waktu Zuhur jenazah Haji Salim pun diusung ke tanah perkuburan. Masa di tanah kubur saya terlihat Kamal dan Daud ada di celah-celah orang ramai yang sedang mendengar Pak Imam membaca talkin.

“Mata kamu rabun.”

“Tak, saya nampak tuk.”

“Pandangan kamu saja, semuanya kerana takut.” Suara Datuk keras. Saya terus diam.

Bila semuanya sudah selesai. Orang ramai pun meninggalkan tanah kubur. Tetapi, Datuk dan Lebai Din masih berdiri di sisi pusara Haji Salim. Wajah mereka muram, mata mereka merah.

“Allah kasihkan dirinya, kerana itu ia dipanggil,” keluh Datuk. Lebai Din menarik nafas, matanya tidak berkedip merenung tanah pusara.

“Saya kehilangan kawan,” tambah Datuk lagi.

“Saya juga begitu. Susah mahu mencari orang macamnya, penyabar dan bertimbang rasa,” sahut Lebai Din. Serentak Datuk dan Lebai Din meninggalkan pusara.

“Tadi, saya rasa laknat tu ada sama,” cara mendadak sahaja Lebai Din memberitahu Datuk. Muka Datuk segera berubah. Perlahan-lahan ia menarik nafas.

Tamat siri 70/284

BACA: SBDJ Siri 69: Ilmu Kaum Kubu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM



Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://www.sentiasapanas.com/2019/06/sbdj-siri-70-bantal-peluk-berjalan-malam.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Malam Pertama Kehilangan Anak Isteri Angkat Bantal Dan Riba Suami Tolonglah Jaga Hati Isteri Peluk Saat Mereka Berduka

Malam Pertama Kehilangan Anak Isteri Angkat Bantal Dan Riba Suami Tolonglah Jaga Hati Isteri Peluk Saat Mereka Berduka

papar berkaitan - pada 2/6/2019 - jumlah : 649 hits
Siapapun akan terkesan dengan kehilangan apa lagi kehilangan anak sulung yang sememangnya dinantikan sejak sekian lama Hati ibu perlu jadi lebih kuat dan kental untuk teruskan hidup Pun begitu kekuatan tak datang sendiri suami harus menyoko...
Sbdj Siri 72 Di Telan Pasir

Sbdj Siri 72 Di Telan Pasir

papar berkaitan - pada 18/6/2019 - jumlah : 209 hits
Datuk bangun dan duduk mencangkung Dia memeluk kedua belah lututnya Datuk melihat bajunya yang berlubang lubang Datuk gelengkan kepala beberapa kali Dia terus bangun melakukan senaman dalam panas Bila seluruh tenaganya sudah pulih dia merap...
Sbdj Siri 66 Pendekar Terbang

Sbdj Siri 66 Pendekar Terbang

papar berkaitan - pada 5/6/2019 - jumlah : 250 hits
Datuk menolak ramalan yang tidak berasas itu tetapi ramalan yang bergerak dari mulut ke mulut itu tidak dapat disekat dan terus mempengaruhi orang orang kampung Akibatnya orang orang kampung berada dalam kecemasan Entah siapa yang pandai bu...
Sbdj Siri 68 Puja Lidah Anak Dara

Sbdj Siri 68 Puja Lidah Anak Dara

papar berkaitan - pada 5/6/2019 - jumlah : 271 hits
Cuba kau tengok Tamar apa yang jatuh atas lantai cukup lembut Datuk mengeluarkan perintah Dengan rasa jijik saya segera mematuhi cakap Datuk Saya periksa ulat ulat yang ada atas lantai Bukan ulat tok beritahu saya terketar ketar Kalau bukan...
Sbdj Siri 71 Diburu Manusia Iblis

Sbdj Siri 71 Diburu Manusia Iblis

papar berkaitan - pada 15/6/2019 - jumlah : 268 hits
Saya gembira dengan berita itu Secara tidak langsung perkara yang disebutkan oleh Lebai Din itu menguatkan kata kata yang saya ucapkan pada Datuk sebentar tadi Kalau macam tu tak salahlah apa yang dikatakan cucu saya tadi dia nampak orang t...
Sbdj Siri 67 Pelihara Ulat Tokak

Sbdj Siri 67 Pelihara Ulat Tokak

papar berkaitan - pada 5/6/2019 - jumlah : 333 hits
Mujurlah ingatan Datuk itu sedia dipatuhi oleh Haji Salim Ia tetap bersikap tenang Serangan mata parang dari Daud dapat dielakkannya dengan mudah Tetapi Daud terus mengasak dan menyerang Ia tidak nampak penat pun Makin lama makin bertambah ...
Sbdj Siri 63 Nisan Berdarah

Sbdj Siri 63 Nisan Berdarah

papar berkaitan - pada 5/6/2019 - jumlah : 185 hits
Saya terus menekup mata bila kawannya yang memegang parang mengangkat parangnya tinggi tinggi dan terus menjatuhkan atas lengan penjual Semua orang di situ mengeluh ada pula yang memalingkan muka ke arah lain Tidak sanggup melihat darah dan...
Mesti Baca Buka Minda Asal Usul Hikayat Aladdin Dan Kisah Hikayat 1001 Malam

Mesti Baca Buka Minda Asal Usul Hikayat Aladdin Dan Kisah Hikayat 1001 Malam

papar berkaitan - pada 8/6/2019 - jumlah : 969 hits
Ramai yang mengenali Aladdin daripada filem Aladdin terbitan Disney Namun Aladdin mempunyai sejarah yang panjang dan cukup menarik untuk diimbas kembali DARI MANA ASAL USUL KISAH ALADDIN Jawapannya ialah daripada koleksi hikayat berjudul 10...
Bentrok Warga Saat Malam Takbiran 87 Rumah Di Buton Terbakar

Bentrok Warga Saat Malam Takbiran 87 Rumah Di Buton Terbakar

papar berkaitan - pada 7/6/2019 - jumlah : 315 hits
Bentrokan antarwarga terjadi di Desa Gunung Jaya Buton Sulawesi Tenggara Bentrokan ini melibatkan warga Desa Gunung Jaya dan dan Desa Sampuabalo Akibatnya ada 87 rumah yang terbakar dan ratusan orang harus mengungsi Dikutip dari detik com k...
Makan Steamboat Dapat Henna Free

15 Kafe Di Johor Bahru Instagrammble Muslim Friendly

Sarawak And Malaysia Can T Afford Escalating O G Disputes

Antara Projek Pungguk Rindu Bulan Tilapia M Sia Pro Hamas

Isu Calon Perdana Menteri Kembali Menjadi Tegang Di Kalangan Pemimpin Pn

Isu Papan Tanda Aneh Dan Pelik Menteri Wilayah Masih Diam

Worldcoin Dan Ai

Coffee Is For Closers The Motivational Phrase From Quot Glengarry Glen Ross


echo '';
Memahami Fasa Renjatan Elektrik Yang Selamat dan Berbahaya Untuk Manusia

Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Lara Kasih Slot Samarinda TV3

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 2 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 1 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 1 Gegar Vaganza 2024 Musim 11


E Book Pertama Saya

Resipi Ayam Gepuk

Orbit Labels The Parent S Choice For Safe And Sanitary Feeding

Samun Barang Kemas Dianggar Seberat 4 1 Kilogram Bernilai Rm1 54 Juta Sekumpulan Penjenayah Diburu

Kes Bunuh Pelajar Vokasional Warden Temui Mangsa Tak Sedarkan Diri

Elak Kenyataan Merugikan Kerajaan Perpaduan Pemuda Umno Wp