Sbdj Siri 67 Pelihara Ulat Tokak


Mujurlah ingatan Datuk itu, sedia dipatuhi oleh Haji Salim. Ia tetap bersikap tenang. Serangan mata parang dari Daud dapat dielakkannya dengan mudah. Tetapi, Daud terus mengasak dan menyerang. Ia tidak nampak penat pun. Makin lama makin bertambah tenaganya. Seluruh badan Daud terus dibasahi oleh peluh.


“Ah, haji laknat,” pekik Daud sambil melompat tinggi ke arah Haji Salim.

Daud melepaskan tetakan pancung ke arah leher Haji Salim. Cepat-cepat Haji Salim merebahkan badannya. Mata parang panjang singgah di papan dinding dan terus melekat di situ.

Daud menarik parang panjangnya dan papan dinding pun terkopak. Ia berpusing ke kanan lalu melakukan serangan kilat.

Haji Salim mula terdesak. Ruang untuknya bergerak bagi mempertahankan diri begitu terhad.

Daud mahu menggunakan kesempatan itu untuk menamatkan riwayat Haji Salim.

Dalam keadaan yang terdesak itu, Haji Salim masih berjaya menepis serangan dari Daud.

Haji Salim berjaya mengguling-gulingkan badannya hingga beralih tempat ke arah pintu keluar.

Bila sampai di muka pintu, Haji Salim segera bangun untuk lari keluar. Dalam masa itu Daud melepaskan satu tetakan yang tajam ke arah perut Haji Salim.

Waktu Haji Salim mahu mengelakkan serangan itu, mata parang di tangan Daud sempat jatuh ke bahu kanan Haji Salim.

Saya lihat darah membuak keluar dari pangkal bahu kanan Haji Salim. Daud terus ketawa sambil menjilat-jilat kesah darah Haji Salim yang melekat di mata parang panjang.

Waktu Daud asyik menjilat-jilat darah itu, Haji Salim menerpa ke arah Daud.

Daud ditolaknya hingga jatuh. Datuk keluar dari bawah pelantar dan terus merampas parang panjang dari tangan Daud.

“Kau sudah melampau,” jerkah Datuk pada Daud yang terkial-kial mahu bangun.

Haji Salim segera mengambil kain untuk membalut luka di lengannya. Saya pun melangkah ke dalam ruang kerja Haji Salim.

“Mengapa ini kau lakukan pada aku Daud,” Haji Salim renung muka Daud.

Saya lihat Daud terus membisu. Ia berdiri kaku sambil menggigit bibirnya. Datuk terus menghampirinya.

Dan Daud berusaha dengan sedaya upaya menjauhkan dirinya dari Datuk.

“Ah,” jerit Daud lalu menumbuk pangkal tengkuk Datuk.

Datuk terjatuh. Daud sambar parang dari tangan Datuk dan terus bertempik dengan sekuat hati.

Daud terus keluar dari ruang tempat kerja, berlari dalam panas yang terik. Suara tempikan Daud mengejutkan penduduk Kampung Mandi Upih.

Sambil berlari Daud terus memarang apa sahaja. Ia mengamuk dengan semahu-mahunya. Pokok pisang, dahan rambutan dan manggis jadi mangsanya.

Tidak memadai dengan itu Daud terus membunuh lembu, kambing, ayam serta itik yang ditemuinya.

“Kita tangkap dia,” kata Datuk.

Serentak dengan itu, saya dan Haji Salim terus mengikut Datuk memburu Daud yang lari menuju ke Kampung Gaduh.

Saya tercungap-cungap dan berhasrat tidak mahu memburunya. Tetapi, Datuk tetap memaksa saya.

Dari Kampung Gaduh, Daud terus memasuki Kampung Bakar Sampah menuju ke Kampung Kilang.

Dari Kampung Kilang ia terus mengamuk hingga ke Ulu Licin dan akhirnya menghilangkan diri dalam hutan di Ulu Licin.

Saya, Haji Salim dan Datuk kembali ke tempat asal. Sebaik sahaja kami sampai di rumah Haji Salim, orang-orang kampung sudah berkumpul.

Mereka ingin mengetahui apa yang terjadi. Haji Salim terus memberikan penjelasan dengan terperinci.

Selesai Haji Salim bercakap, Datuk pula mengambil peranan, memberikan penerangan selanjutnya.

Saya lihat, baik Datuk mahupun Haji Salim tidak membocorkan rahsia diri Daud yang mereka ketahui.

Mereka tidak memburuk-burukkan Daud, mereka sekadar berkata bahawa Daud jadi demikian kerana fikirannya terganggu dengan kejadian yang berlaku di kampung.

“Usah bimbang. Baliklah ke rumah masing-masing dan teruskan kerja macam biasa,” beritahu Datuk pada mereka. Semuanya anggukkan kepala tanda setuju.

“Kami harap kalau ada hal-hal yang buruk segera beritahu kami. Kami tidak mahu anak-anak dara sunti kami jadi korban tidak tentu fasal,” cara mendadak salah seorang daripada mereka bersuara.

Orang yang bersuara itu, seorang lelaki tua yang sudah berusia kira-kira lapan puluh tahan, memakai tongkat.

“Mana yang kami tahu, kami khabarkan. Mana yang kami tak tahu, kita serahkan pada Allah. Semoga Allah akan melindungi kita semua,” balas Haji Salim dalam nada suara yang lembut.

Orang-orang kampung puas hati dengan jaminan itu. Mereka pun bersurai.

Anehnya, tidak ada seorang pun yang bertanya tentang lengan kanan Haji Salim yang berbalut.

Mungkin mereka tidak nampak atau perasan dengan apa yang ditanggung oleh Haji Salim.

Satu hal yang pasti, sama ada Datuk atau Haji Salim tetap merahsiakan kemampuan diri masing-masing di mata orang kampung.

“Bagaimana dengan luka tu masih terasa bisanya?” tanya Datuk pada Haji Salim, bila keadaan suasana sekitar beransur aman.

“Tak apa, esok sembuhlah. Malam ni saya tawar sendiri,” jawab Haji Salim dengan tenang.

“Kalau begitu, biarlah kami pulang,” ujar Datuk.

“Silakan, tapi…,” Haji Salim tidak meneruskan kata-katanya.

Ia termenung panjang sambil menatap batang tubuh Datuk, dari atas ke bawah, dari bawah ke atas.

Melihat keadaan Haji Salim yang lain macam itu, Datuk terus mengajukan pertanyaan.

“Kenapa Haji?”

“Saya terasa badan kurang sedap, terasa tiap sendi berdenyut-denyut.”

“Agaknya bisa parang panjang.”

“Bukan.”

“Kalau bukan itu, apa dia?”

“Setiap kali saya teringatkan Daud dan gurunya, badan saya terasa sakit, kepala terasa berpusing.”

“Bukan apa-apa tu, darah terlalu banyak keluar.”

“Boleh jadi betul, boleh jadi tidak cakap awak tu.”

“Terpulanglah pada awak,” balas Datuk.

Mereka ketawa serentak dan saya cuma tumpang senyum sahaja.

“Kampung kita dalam bahaya, berhati-hatilah. Lepas sembahyang Zuhur dan Asar, saya nak jumpa awak,” Haji Salim menyambung perbualan yang terputus.

“Jumpa di mana? Di surau atau di rumah saya.”

“Di rumah awak. Ada rahsia yang nak saya cakapkan. Tunggu saja di rumah.”

“Baiklah.”

Saya dan Datuk pun mengatur langkah. Panas yang memancar terik menikam ke kulit muka hingga terasa pedih.

Awan kelihatan putih bersih berarak di dada langit. Angin yang bertiup cuma mampu mengerak-gerakkan dedaun tetapi tidak berjaya mengurangkan rasa panas pada diri saya.

Saya terus berjalan mengekori Datuk sambil mata liar memandang ke kiri dan ke kanan, melihat burung merbah dan murai melompat di dahan.

Kepala saya terus menggambarkan wajah guru Daud.

Aneh, setiap kali saya cuba membayangkan bentuk wajah gurunya, bulu tengkuk saya meremang.

Saya merasakan semacam ada orang yang memerhatikan langkah saya dalam perjalanan. Saya terus tidak berani mengingati nama Daud dan gurunya.

MANDI

Kami sampai di rumah. Saya terus mandi, begitu juga dengan Datuk. Kami sembahyang Zuhur, saya disuruh oleh nenek membersihkan kawasan rumah.

Pada mulanya saya enggan melakukannya. Bila nenek berjanji mahu memberikan wang sebanyak lima ringgit, saya menyatakan kesanggupan.

Menjelang waktu Asar, seluruh kawasan rumah bersih. Tidak ada daun di halaman, tidak ada dahan atau ranting kayu yang berserakan.

Semuanya sudah di kumpul dan dibakar. Semut dan nyamuk habis lari. Ular dan kala terus membawa diri.

Nenek memujuk saya sebagai orang yang rajin. Memang leceh bila nenek memberitahu saya upahnya akan dibayar selepas musim menuai.

Saya dan nenek terus bertengkar kecil. Tetapi, saya merasakan pertengkaran kecil itu menguntungkan saya.

Sebabnya, lepas bertengkar nenek menaikkan upah dari lima ringgit menjadi tujuh ringgit.

Nenek terus bayar tunai tanpa mahu menanti musim menuai. Ada syarat yang nenek kenakan.

Syaratnya bukan susah. Lepas sembahyang Asar nanti, saya dimestikan membelah tujuh batang kayu getah untuk dijadikan kayu api.

Masa itu wang tujuh ringgit cukup tinggi nilainya sama dengan nilai lima belas ringgit sekarang.

Saya boleh membeli baju, seluar dan sepasang sepatu getah FUNG KEONG bertapak tebal atau saya boleh pergi ke bandar Taiping menonton filem Melayu dan tidur di hotel kelas rendah.

“Kau pergi sembahyang dulu, lepas sembahyang selesai kerja tu,” ujar nenek.

Tanpa membuang masa saya terus mandi dan mengambil air sembahyang. Bila saya masuk ke ruang tengah Datuk sudah pun menanti. Ia menjadi imam dan saya jadi makmumnya.

Setelah memberi salam terakhir, saya hulurkan tangan pada Datuk untuk bersalam.

Waktu itu saya terlihat ada seorang lelaki duduk di sisi saya. Ia juga menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Datuk.

Saya tidak tahu dari mana lelaki itu datang. Ia memakai pakaian serba hijau. Dan serban hijaunya terikat kemas di kepala.

Saya yakin orang inilah yang muncul di depan Datuk kira-kira sebulan yang lalu. Saya tidak menghiraukannya.

Datuk menyambut salam dari saya. Dada saya berdebar kerana Datuk tidak terkejut dengan kehadiran orang itu.

Datuk menyambut salam darinya tetapi, bila telapak tangannya mahu menyentuh telapak tangan Datuk, cepat-cepat orang itu menarik tangannya dan terus menyembunyikannya ke dalam saku bajunya.

Orang itu memalingkan mukanya ke arah lain. Tidak mahu menentang wajah Datuk. Orang itu lebih senang melihat sinar matahari yang beransur reda di luar.

“Kau benar-benar mahu menjahanamkan aku,” orang itu bersuara dengan tenang tanpa merenung wajah Datuk.

Bila dilihatnya Datuk tidak mengindahkan cakapnya, ia terus menyapu mukanya dengan telapak tangan kanan. Datuk terus membaca doa hingga tamat.

“Jangan begitu, akibatnya buruk,” tambah orang itu lagi.

“Maksud kamu?” soal Datuk.

“Kau menyeksa anak murid aku.”

“Siapa anak murid kamu?”

“Daud.”

“Daud?” ulang Datuk dengan rasa gugup.

“Ya. Itu saja yang mahu aku ingatkan kamu. Aku nak balik ke Ulu Kelubi,” orang itu segera bangun, melangkah ke pintu.

Berdiri di situ sejenak merenung ke dalam rumah. Ia terus memijak anak tangga. Dalam beberapa minit sahaja orang itu hilang dari pandangan saya dan Datuk.

Datuk terus menemui nenek. Mereka bercakap seketika. Datuk kembali ke ruang tengah mengenakan baju putih ke badan. Ia sarung seluar warna kelabu.

Tanpa menegur saya Datuk turun dari rumah. Saya segera menemui nenek.

“Datuk nak ke mana nek?”

“Katanya nak pergi ke Kampung Ulu Kelubi, apa pula halnya tak beritahu aku.”

“Ha, saya nak ikut,” jerit saya lalu meninggalkan nenek. Datuk terus saya buru.

Datuk singgah di rumah Haji Salim sebentar. Dilihatnya Haji Salim terbaring di atas pelantar.

Datuk rasa badan Haji Salim. Ternyata badan Haji Salim panas, keliling lengannya yang kena parang mula membengkak. Haji Salim tidak dapat menggerakkan tangannya.

“Badan aku tak berapa sihat, kau seorang saja pergi ke Kampung Ulu Kelubi, jumpa Lebai Din. Cucu kamu tahu rumahnya,” ujar Haji Salim sambil merenung ke arah saya.

Datuk anggukkan kepala. Ia tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun untuk saya.

Tetapi, dari kerdipan mata dan air mukanya, saya yakin Datuk merestui saya mengikutinya.

LEBAI

Kami terus ke rumah Lebai Din. Saya terus memperkenalkan Datuk dengan Lebai Din.

Mereka terus bercakap penuh mesra, ada nasihat tertentu yang disampaikan oleh Lebai Din pada Datuk. Semuanya di dengar oleh Datuk dengan teliti.

“Hati-hatilah dengan orang itu. Saya tak boleh melihat rupanya tetapi setiap kali ia bercakap dengan saya, saya rasa dia bukan sebarang orang. Banyak ilmu salah yang dimilikinya,” terang Lebai Din.

“Saya bukan apa-apa. Saya cuma nak berjumpa dan bercakap-cakap panjang dengannya,” jawab Datuk.

“Kalau niat awak baik, Allah menyebelahi awak.”

“Saya berdoa Allah akan melindungi saya,” suara Datuk merendah.

Kami pun terus meninggalkan rumah Lebai Din.

Saya dan Datuk terpaksa meredah kebun getah yang cukup luas. Pokok getah tua yang berbatang besar masih mampu mengeluarkan susu getah yang banyak.

Dedaunnya kelihatan menghijau serta bergoyang-goyang di tolak angin petang.

Kulit buah getah berserakan atas rumput. Pot-pot getah bertaburan di pangkal pokok getah.

Langkah Datuk cukup cepat, ia kelihatan bagaikan tidak menghadapi masalah memijak ranting dan kayu yang lintang pukang di celah-celah nirai getah.

Saya terpaksa melangkah dengan hati-hati, silap langkah saya akan tersepak tunggul atau akar yang merayap di bumi.

Berjalan di celah-celah nirai pokok getah terasa amat seronok. Cahaya matahari tidak menjamah muka kerana dihalang oleh dedaun getah yang lebat dan berlapis-lapis.

Saya dan Datuk sampai ke kepala sawah. Dari situ kami melihat ke arah sebuah pondok lama yang terletak di tengah-tengah sawah.

Pondok itu didirikan di atas sebidang tanah yang agak tinggi dari permukaan sawah. Kawasannya agak luas.

Ada pokok kelapa gading yang berbuah lebat di samping beberapa batang pokok rumbia.

Untuk ke pondok lama tersebut, kami terpaksa melalui batas yang sempit dan memanjang.

Di kiri kanan batas yang penuh dengan pokok-pokok padi yang baru bunting, anak-anak ikan haruan dan keli berlari liar di celah-celah padi.

Angin yang bertiup membuat air dalam sawah bergelombang. Saya dan Datuk terpaksa memijak batas dengan teliti serta mengimbangi badan.

Kalau tidak pandai mengimbangi badan pasti jatuh ke dalam pohon padi. Seluruh badan akan basah kena air sawah. Lumpur sawah akan masuk ke mata.

Saya menarik nafas panjang kerana berjaya sampai ke kawasan pondok lama.

Saya lihat pintu dan tingkap pondok lama tertutup rapat. Rumput tumbuh subur hingga ke bawah pondok.

Saya renung ke arah Datuk yang berdiri di sisi saya. Datuk anggukkan kepala memberi syarat, supaya mara ke arah pondok.

Saya terus mengekori Datuk hingga ke kaki tangga pondok lama.

Tanpa di sangka-sangka, pintu pondok lama terbuka sendiri. Seorang lelaki tua duduk di muka pintu.

Bau hapak mula datang menerkam lubang hidung. Tekak saya mula terasa loya dan mahu muntah. Orang tua itu menjuntai kaki kanannya.

Saya lihat ada tokak di buah betisnya, beberapa ekor ulat macam ulat nangka jatuh ke tanah.

Ulat yang masih lekat di tokaknya terus bergerak-gerak memakan daging buah betisnya.

Memang menggelikan melihat ulat-ulat hidup yang jumlahnya bukan sedikit bergerak.

Saya tergamam bila orang tua itu mengambil ulat-ulat yang jatuh atas tangga lalu menaruh kembali pada tokaknya.

“Apa hajat?” tanyanya pada Datuk.

“Tadi kita berjumpa tapi tak puas. Fasal itu saya datang lagi ke sini.”

“Oh, awak salah orang.”

“Tidak.”

“Awak yakin.”

“Saya yakin awaklah yang datang ke rumah saya dan sembahyang bersama.”

Mendengar cakap Datuk itu, orang tua tersebut terdiam. Wajahnya yang kasar dan keras, penuh dengan parut berubah menjadi pucat.

Memang, kalau direnung wajah orang tua itu lama-lama terasa seram sekali.

Sepasang matanya kelihatan besar. Kiri dan kanan di bawah kelopak matanya ada kulit tumbuh yang berlapis-lapis.

Kulit itu kelihatan lembik. Kulit pipi sebelah kanannya menggerutu dan lembik macam telinga gajah.

Manakala kulit pipi sebelah kiri terdapat seketul tahi lalat hitam, sebesar telur ayam.

Tahi lalat yang melekat di pipi macam terjuntai-juntai. Bila ia bergerak ke kanan atau ke kiri, tahi lalatnya itu kelihatan terbuai-buai.

Di bawah dagunya tumbuh daging tebal yang berair. Dan parut kelihatan di mana-mana atas kulit mukanya.

Bibir atas dan bibir bawahnya tebal. Hidungnya dempak dan besar. Sebelah keningnya tidak berbulu.

“Sial,” pekiknya lalu menutup pintu. Datuk dan saya berpandangan.

Matahari petang bertambah condong, angin terus bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dedaun kelapa melentuk ke kiri, melentuk ke kanan mengikut arahan tiupan angin.

“Ya, aku datang,” saya dan Datuk pusing badan ke kiri.

Di situ muncul seorang lelaki berpakaian serba hijau. Ia memberi salam pada Datuk, segera Datuk menjawabnya. Orang itu tersenyum.

“Sudahlah Kamal, kau jangan memperdayakan aku lagi,” Datuk segera menyingsing lengan.

Saya terus lari ke pangkal pokok kelapa. Sandarkan badan di situ.

“Mana murid kamu yang membuka rahsianya, kau perdayakan mereka, kau pura-pura mengajar agama dan silat.

"Ajaran agama yang kau bawa bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

"Kau tidak mengajak mereka pada kebaikan, kau mengajak mereka pada jalan kejahatan untuk kepentingan dirimu.”

“Kau silap kawan.”

“Aku tidak silap Kamal. Kau memang orang yang tahu tentang agama dan mempelajari agama secara mendalam. Sayangnya kau jadikan agama sebagai alat untuk memenuhi kemahuan kamu.”

“Buktinya?”

“Tak payah aku terangkan. Kau ke mari kerana mencari aku untuk membalas dendam. Banyak rancangan kau yang aku gagalkan.”

“Ya,” jawab orang itu.

Serentak dengan itu, pakaian hijau yang membalut tubuhnya terbuka dan badannya terus dibalut dengan pakaian serba hitam.

Di kepalanya terletak tanjak berwarna hitam, kain sampingnya juga hitam. Kaki seluarnya kecil dan agak singkat. Ia berdiri berpeluk tubuh, macam seorang pendekar.

“Dia pakai pakaian dua lapis, tapi macam mana ia membuka pakaian hijau di badannya,” hati saya tertanya dan terus berubah tempat.

Dari pangkal pokok kelapa duduk di anak tangga.

Saya menarik nafas dengan tenang. Saya tahu sebentar lagi, saya akan menyaksikan satu pertarungan yang hebat.

“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,” kata orang itu sambil merenung ke arah sebatang pokok pisang dara.

Tiba-tiba pokok pisang dara itu patah dua. Orang itu memperlihatkan kemampuan kuasa matanya di depan Datuk.

Tidak memadai dengan itu, ia renung ke arah seekor tupai yang sedang melompat dari hujung dahan mempelam menuju ke hujung pelepah rumbia.

Tupai itu jatuh atas tanah, menggeletek tidak tentu arah dan terus mati.

Melihatkan kehebatan yang diperlihatkan oleh orang itu, saya rasa Datuk bukanlah tandingannya. Ilmu kebatinan yang dimilikinya sungguh hebat sekali.

Saya segera menghampiri Datuk. Saya mengajak Datuk pulang.

Bagi saya, kalau dengan Daud pun Datuk mengalah, betapa pula ia akan menentang gurunya.

Saya tidak mahu melihat Datuk yang saya sayangi kalah untuk kali keduanya. Bukan zamannya untuk Datuk beradu kekuatan lagi, usianya kian bertambah tua.

“Pulang saja tok.”

“Kau diam, orang pengecut bukan keturunan aku,” tengking Datuk. Saya termangu-mangu bila ditengking begitu.

Kamal terus memperlihatkan kemampuannya lagi. Ia membuka langkah silat sambil menarik kaki seluarnya yang menyimpan tokak.

Anehnya, tokaknya memang tidak kelihatan. Kakinya tetap elok macam kaki orang biasa. Tidak ada tokak, tidak ada ulat macam ulat nangka.

Kamal membengkokkan badannya. Kedua belah tangannya dibuka lebar-lebar. Ia terus melompat separas pucuk padi. Ia berjalan dan bersilat atas pucuk-pucuk padi yang menghijau.

Tidak ada pokok padi yang patah atau daunnya relai. Keadaan Kamal seperti orang memperlihatkan senaman aerobik.

Dari atas pucuk-pucuk padi Kamal melompat lagi. Kali ini ia berada di awang-awangan terus membuka silatnya.

Ia seolah-olah seperti orang terbang bergerak ke sana, bergerak ke sini, di udara dengan bebas. Tiba-tiba Kamal menghilangkan diri.

“Bagaimana?” katanya dengan muncul dari arah belakang saya.

Kali ini badannya diselimuti dengan kain hitam. Cuma bahagian mukanya sahaja yang kelihatan.

Bila saya melihat keadaannya begitu, saya teringat orang yang berjubah hitam di kubur lama. Suaranya juga macam suara orang di kubur lama.

Datuk segera menoleh ke arahnya. Kamal mendepangkan kedua belah tangannya. Dari celah-celah kain hitam yang menyelimuti seluruh tubuhnya keluar beberapa ekor ulat dan lipan. Merayap atas kain hitam, tidak tentu arah.

“Syaitannya cukup kuat,” kata Datuk sambil menggigit bibir.

Saya terdiam dan terus merenung ke arah tingkap pondok yang terbuka dengan sendirinya.

Di situ saya lihat Daud tersengih. Ia melontarkan sebatang kayu ke arah Kamal.

Kamal terus menyambutnya, dengan kayu itu Kamal terus menyerang Datuk.

“Persediaan kita belum cukup Tamar, mari kita balik,” kata Datuk pada saya.

Datuk terus meniti batas menuju ke arah kebun getah dengan layu. Saya terpaksa berlari. Sayup-sayup saya terdengar suara ketawa Kamal dan Daud.

TERBENAM

Sebelum matahari berada di puncak bukit, saya dan Datuk sudah pun berada di rumah.

Nenek memberitahu Datuk yang Haji Salim sakit tenat. Luka di lengan kanannya terus dihurungi ulat-ulat yang besar.

Ulat-ulat itu membiak dengan cepat sekali memakan daging lengan dan menghisap darah Haji Salim.

“Badannya tidak bermaya, mukanya pucat,” beritahu nenek pada Datuk.

Tanpa membuang masa, kami pergi ke rumah Haji Salim. Memang benar cakap nenek, Haji Salim terkapar di pelantar di depan isterinya.

“Kita bawa saja ke hospital,” kata isteri Haji Salim pada Datuk.

“Nanti dulu. Ini sihir, mana boleh luka baru terus berulat.

"Ambilkan saya satu baldi air, tujuh helai daun limau purut, tujuh helai pucuk ubi gajah, taruhkan semuanya itu dalam baldi air tadi,” beritahu Datuk pada isteri Haji Salim.

Sementara menanti barang-barang yang dipesan itu tiba, Datuk terus memeriksa lengan Haji Salim yang luka.

Saya lihat ulat-ulat itu sama panjang dan bentuknya serupa dengan ulat-ulat yang terdapat pada tokak di kaki Kamal. Luka di lengan Haji Salim mula mengeluarkan bau hapak.

“Haji,” seru Datuk.

Haji Salim membuka mata dan merenung sayu ke arah Datuk.

“Terasa bisa seluruh badan,” soal Datuk lagi.

“Ya, kau usahakan. Ini kerja sihir. Ada orang yang mengamalkan ilmu tuju ulat. Orang ini mengamalkan Ilmu Cenderaular, semuanya bertuhankan syaitan,” kata Haji Salim. Datuk menarik nafas panjang.

Barang-barang yang dipesan oleh Datuk pada isteri Haji Salim pun tiba. Datuk terus bersila menghadapi baldi yang berisi air, pucuk ubi gajah dan daun limau purut.

Perkara pertama yang Datuk lakukan membaca ayat fatihah seribu kali. Kemudian, ia membaca surah Yasin, tiga kali berturut.

“Bersedia Haji, kami nak jiruskan air ke badan,” Datuk bangun lalu menjinjing baldi berisi air.

Perlahan-lahan Datuk tumpahkan air ke tubuh Haji Salim yang dimulai dari ubun-ubun kepala membawa ke hujung kaki.

Selesai sahaja Datuk melakukan semuanya itu, badan Haji Salim terus menggeletar.

Dan ulat-ulat yang mengerumuni luka di lengannya terus gugur satu persatu atas lantai pelantar.

Tamat siri 67/284

BACA: SBDJ Siri 66: Pendekar Terbang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM



Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://www.sentiasapanas.com/2019/05/sbdj-siri-67-pelihara-ulat-tokak.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Sbdj Siri 63 Nisan Berdarah

Sbdj Siri 63 Nisan Berdarah

papar berkaitan - pada 5/6/2019 - jumlah : 188 hits
Saya terus menekup mata bila kawannya yang memegang parang mengangkat parangnya tinggi tinggi dan terus menjatuhkan atas lengan penjual Semua orang di situ mengeluh ada pula yang memalingkan muka ke arah lain Tidak sanggup melihat darah dan...
Sbdj Siri 68 Puja Lidah Anak Dara

Sbdj Siri 68 Puja Lidah Anak Dara

papar berkaitan - pada 5/6/2019 - jumlah : 275 hits
Cuba kau tengok Tamar apa yang jatuh atas lantai cukup lembut Datuk mengeluarkan perintah Dengan rasa jijik saya segera mematuhi cakap Datuk Saya periksa ulat ulat yang ada atas lantai Bukan ulat tok beritahu saya terketar ketar Kalau bukan...
Sbdj Siri 66 Pendekar Terbang

Sbdj Siri 66 Pendekar Terbang

papar berkaitan - pada 5/6/2019 - jumlah : 255 hits
Datuk menolak ramalan yang tidak berasas itu tetapi ramalan yang bergerak dari mulut ke mulut itu tidak dapat disekat dan terus mempengaruhi orang orang kampung Akibatnya orang orang kampung berada dalam kecemasan Entah siapa yang pandai bu...
Aksb Siri 10 Sejarah Penubuhan Dan Kegagalan

Aksb Siri 10 Sejarah Penubuhan Dan Kegagalan

papar berkaitan - pada 25/5/2019 - jumlah : 527 hits
Kerajaan negeri Kelantan telah mengambil keputusan untuk menswastakan pengurusan bekalan air di Kelantan melalui penubuhan syarikat usahasama milik bersama Yayasan Kelantan Darul Naim dan Thames Water PLC yang diberi nama Kelantan Water Sdn...
Dhabitah Menang Gangsa Di Kejohanan Terjun Dunia Siri

Dhabitah Menang Gangsa Di Kejohanan Terjun Dunia Siri

papar berkaitan - pada 22/5/2019 - jumlah : 394 hits
Dhabitah menang gangsa di Kejohanan Terjun Dunia SiriPenerjun negara yang semakin meningkat naik Nur Dhabitah Sabri memberikan kebanggaan dalam arena sukan negara selepas berjaya mengondol gangsa dalam kategori wanita terjun papan anjal pad...
Aksb Siri 12 Redah Gelap Malam Pukul 3 Pagi Punggah Air

Aksb Siri 12 Redah Gelap Malam Pukul 3 Pagi Punggah Air

papar berkaitan - pada 25/5/2019 - jumlah : 839 hits
Pagi tadi sempat bersembang dengan jiran tentang masalah gangguan bekalan air yag kami alami Ceritanya malam semalam dia tidur lewat kerana ada urusan keluarga yang selesai kira kira pukul 2 30 pagi Ketika ingin masuk tidur anak perempuan y...
Penyanyi Rock Wanita Ditahan Pelihara Beruang Secara Haram Dalam Kondominium

Penyanyi Rock Wanita Ditahan Pelihara Beruang Secara Haram Dalam Kondominium

papar berkaitan - pada 9/6/2019 - jumlah : 707 hits
KUALA LUMPUR Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara menahan seorang penyanyi wanita kerana disyaki menyimpan anak beruang matahari di kondominiumnya di Desa Pandan di sini semalam Wanita berusia 27 tahun itu ditahan kira kira pu...
Menu Hidangan Siri Chef Selebriti Baharu Airasia Santan

Menu Hidangan Siri Chef Selebriti Baharu Airasia Santan

papar berkaitan - pada 29/5/2019 - jumlah : 318 hits
Hits 140Ada Menu Hidangan Siri Chef Selebriti Baharu AirAsia Santan AirAsia hari ni memperkenalkan satu lagi hidangan daripada siri Chef Selebriti Ayam Pedas Manis Korea Chef Hong Menu terbaharu ini boleh didapati dalam menu Santan di dalam...
Salam Dalam Salat Jenazah Sekali Atau Dua Kali

10 Praktik Keberlanjutan Yang Wajib Diterapkan Di Tahun 2025

Whatsapp Tak Lagi Sokong Peranti Android Lama Mulai 1 Januari 2025

Melawat Ke Sand Dunes Di Tottori Jepun

10 Perusahaan Rental Mobil Pontianak Resmi Update 2025

Nigeria Tragedi Rempuhan Sempena Agihan Makanan Pra Krismas Ragut 67 Nyawa

Helikopter Terhempas Di Hospital Di Turkiye Empat Maut

Pelajari Kesalahan Trader Pemula Untuk Persiapan Trading Profit Maksimal 2025


echo '';
5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM


Lirik Lagu Curang Abg Pau

Restoration Yamaha Ego

Tanah Melayu Sg Baru Diambil W Azizah Jual B Putih

Watercolor Apartment For A Young Family With A Maine Coon

10 Myanmar Nationals Found In Car After Crash

Actress S Car Household Items To Be Auctioned Tomorrow To Pay Off Debt