Saya Disepak Ketika Terjatuh Di Atas Kaki Adib Saksi
Afiezy Azaman dan Hilmi Malik, Astro Awan                                                                                                

                                Allahyarham Mohd Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara. - Gambar fail                              SHAH ALAM: Mahkamah Koroner  hari ini diberitahu saksi ke-8 dalam prosiding inkues kes Allahyarham  Muhammad Adib Mohd Kassim bahawa dia ditendang ketika terjatuh ke atas  seorang anggota bomba yang bersandar kepada 'bumper' sebuah kereta.
 Saksi awam S. Suresh, 33 tahun, yang merupakan seorang kontraktor  berkata anggota bomba berkenaan dikenalpasti sebagai Muhammad Adib.
 "Saya nampak ada dalam 20 hingga 30 orang berkumpul dekat tepi jalan,  saya dengar mereka menjerit banyak kali dalam bahasa Tamil, 'JANGAN  PUKUL! '.
 "Saya pergi ke sana lagi dekat untuk melihat sehingga  di depan saya nampak ada seorang bersandar (Adib), keadaan orang disitu  bertolak-tolakkan dan ada orang tolak saya sehingga terjatuh di atas  kaki lelaki itu. "Masa itu baru saya sedar dia anggota bomba berdasarkan seluar uniform  yang dipakai, kemudian saya perasan ada orang sepak saya dekat bahu  kanan," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Zafran Rahim  Hamzah, pada Jumaat.
 Ditanya bagaimana keadaan ketika itu,  Suresh berkata keadaan orang ramai yang  kemudian terdapat seorang  berbadan besar datang dan terus menolak semua orang di situ untuk  memberi ruang.
 "Saya tengok anggota bomba itu (Adib) tidak sedarkan diri sebab tiada pergerakan. Saya terus bangun dan beredar dari situ.
 "Kemudian saya dengar ada tiga orang cari kereta dan saya nampak kawan  saya Narresh di depan minta orang beri laluan terdapat lima hingga enam  orang mengusung anggota bomba (Adib) yang hanya pakai seluar bomba  sahaja," jelas beliau sambil menyatakan kemudiannya kawannya (Naresh)  berada di hospital dalam kawasan Subang ketika dihubungi.
 Suresh  turut menyatakan dia dan rakannya pergi ke hospital berkenaan untuk  melihat keadaan anggota bomba (Adib) dan berada di situ sehingga 4 pagi.
 Terdahulu, Suresh memaklumkan dia mendapat maklumat mengenai insiden di  kuil berkenaan melalui Facebook dan pergi ke kuil bersama rakannya  untuk memberi sokongan kepada kuil tersebut.
 Muhammad Adib, 24  tahun, yang juga anggota Emergency Medical Retrieval Service (EMRS) dari  Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya di Selangor, parah dalam  rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25,  Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas.
 Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara.
 Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung 18 Februari ini.   
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/02/saya-disepak-ketika-terjatuh-di-atas.html