Sanusi Kena Fokus Isu Rakyat Miskin Tegar Rantaian Makanan Krisis Air
Siti Hafidah 
Ramai terjejas sehingga sukar untuk terus kelangsungan hidup									  	 	   

													 Muhammad Sanusi Md Nor. 													 			 			
BANGI– Kerajaan Kedah pimpinan Muhammad Sanusi Md Nor perlu mendapatkan  kembali sokongan masyarakat umum, terutama mereka yang berasakan  kepentingan awam sering terabai berikutan ahli politik terlalu sibuk  berpolitik.
Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad  Martadha Mohamed berkata, usaha membantu semua masyarakat perlu diberi  tumpuan dan kerjasama daripada pegawai kerajaan negeri perlu  ditingkatkan kerana jentera pentadbiran efisien memudahkan kerajaan  negeri untuk memberi perkhidmatan kepada mereka.
Katanya, sebagai Menteri Besar baharu,  Muhammad Sanusi pasti akan berdepan pelbagai cabaran, terutamanya ketika  penularan wabak COVID-19.
“Walaupun Kedah dikenal pasti sebagai Zon Hijau, impak krisis ini sangat besar, terutama terhadap sosioekonomi negeri.
“Sebagai antara negeri mempunyai ramai  penduduk miskin dan miskin tegar di luar bandar seperti Sik, Baling dan  Padang Terap, kerajaan perlu meningkatkan usaha membantu anggota  masyarakat yang terjejas teruk kerana tidak dapat bekerja atau  kehilangan kerja.

Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.“Ramai mereka ini peniaga kecil, petani,  pesawah dan pekebun kecil yang hanya bergantung pendapatan terhadap  hasil padi, getah, kelapa sawit atau buah-buahan. Apabila mereka hilang  pendapatan, keadaan hidup sangat terjejas hingga sukar untuk meneruskan  kelangsungan hidup,” katanya menulis di Berita Harian.
Dr Ahmad Martadha berkata, meskipun  bantuan Kerajaan Persekutuan disampaikan, ia pasti tidak mencukupi untuk  menampung perbelanjaan harian penduduk.
“Justeru, isu inilah perlu menjadi fokus  utama kerajaan pimpinan Muhammad Sanusi terutama ketika umat Islam  membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Selain itu, krisis dalam sekuriti  makanan terutama meneliti tahap kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam  memastikan keperluan asas pemakanan adalah mencukupi perlu kepada  tindakan bersepadu semua pihak.
“Aspek rantaian makanan perlu  dititikberatkan bagi memastikan Kedah tidak akan terjejas teruk  sekiranya bekalan makanan terputus akibat kenaikan harga barangan atau  kegagalan negara pengimport makanan untuk menghantar bekalan makanan,”  katanya.
Di samping itu katanya, cabaran besar  yang menunggu Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Jeneri ialah menyelesaikan krisis air yang membelenggu negeri itu  sejak sekian lama.
“Pelbagai usaha dibuat, namun krisis air masih antara isu paling kerap dibangkitkan masyarakat setempat,” katanya.
Terdahulu, Sultan Kedah, Al Aminul Karim  Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenan pelantikan Muhammad  Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah ke-14.
Pelantikan itu dibuat mengikut peruntukan  di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah  selepas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu mendapat sokongan majoriti  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). 			 		
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/sanusi-kena-fokus-isu-rakyat-miskin.html