Sabah Tumpu Vaksinasi Tidak Pertimbang Total Lockdown
Jurucakap rasmi Covid-19 Sabah, Masidi Manjun
Kerajaan Sabah tidak akan mempertimbangkan untuk melaksanakan pendekatan penutupan penuh tetapi akan menumpukan untuk meningkatkan vaksinasi dalam menangani peningkatan jumlah kes Covid-19 di negeri itu.
Jurucakap rasmi Covid-19 Sabah, Masidi Manjun berkata penutupan penuh tidak lagi dapat dilaksanakan kerana ia hampir melumpuhkan ekonomi negeri ini.
"Banyak syarikat terpaksa gulung tikar atau mengalami kerugian besar. Ramai yang kehilangan sumber pendapatan mereka dan bergantung pada bantuan kerajaan.
"Mereka mahu bekerja supaya dapat menanggung nafkah keluarga mereka dan kemampuan kerajaan untuk terus memberikan bantuan dan subsidi adalah terhad.
“Kita harus menyeimbangkan antara kehidupan dan mata pencarian. Dan ini tidak boleh dilakukan hanya dengan penutupan atau perintah kawalan pergerakan yang lebih ketat,” kata Masidi. Pematuhan total SOP
Kes harian di Sabah telah mencecah angka 1,000 selama dua hari berturut-turut, dengan jangkitan baru semalam (31 Jul) sebanyak 1,035 kes dan kelmarin (30 Jul) sebanyak 1,066 kes.
Kali terakhir mencapai tahap itu ialah pada November tahun lalu, sejurus selepas pilihan raya negeri Sabah.
Menjelaskan lanjut, Masidi yang juga menteri kerajaan tempatan dan perumahan negeri berkata strategi Sabah saat ini dalam menangani Covid-19 adalah dengan meningkatkan vaksinasi dan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan masyarakat.
"Kapasiti Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengurus pemberian vaksin telah mencapai hingga 50,000 dos sehari dan akan diperhebat hingga 60,000 dos sehari bergantung pada stok vaksin yang ada.
"Pematuhan total terhadap SOP mencegah kita daripada jangkitan manakala vaksinasi memberi kita imuniti daripada penularan sehingga 90 peratus," katanya.
Mencapai imuniti kelompok dan memastikan pematuhan SOP yang meluas akan lebih berkesan untuk menangani wabak Covid-19 daripada penutupan penuh, kata Masidi.
Jelasnya, keutamaan kerajaan Sabah sekarang untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi tepat pada waktunya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sabahup2date.blogspot.com/2021/07/sabah-tumpu-vaksinasi-tidak-pertimbang.html