Ros Keluar Arahan Kepada Umno Adakan Pemilihan Parti
Manzaidi Mohd Amin
Surat ROS bertarikh 19 Julai 2021 menyatakan tiada halangan dengan penangguhan pemilihan UMNO. KUALA LUMPUR – UMNO tidak menjangka menerima surat peringatan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) meminta parti itu menetapkan tarikh untuk mengadakan pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dalam tempoh terdekat.
Bahkan, surat kedua dari ROS itu jelas berbeza nadanya dengan surat pertama bertarikh 19 Julai 2021 yang menyatakan jabatan itu tiada halangan terhadap keputusan MKT UMNO untuk menangguhkan pemilihan dalam tempoh 18 bulan bermula 30 Jun lalu.
Namun, agak mengejutkan apabila surat kedua dari ROS bertarikh hari ini, 6 Ogos 2021 mengarahkan sebaliknya dengan memberi pandangan permohonan penangguhan pemilihan itu sebagai tidak sah.
Menurut maklumat dari UMNO, pada 19 Februari lalu, mesyuarat MKT parti itu telah bersetuju menangguhkan pemilihan 2021 dengan perinciannya akan dibincang lagi setelah Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Pada 27 dan 28 Mac lalu, PAU 2020 diadakan secara maya dan bersemuka dengan mesyuarat itu bertumpu khusus mengenai perhimpunan agung berkenaan.
Namun, pada 25 April pula, mesyuarat MKT sekali memutuskan untuk merujuk penangguhan pemilihan kepada ROS dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan SOP yang perlu dipatuhi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dua hari kemudian, pada 17 April, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah MKN dan turut menyerahkan surat penangguhan itu.
Ahmad turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah pada 30 April dan menyerahkan surat rasmi bagi menyatakan hasrat UMNO untuk menangguhkan pemilihan akibat pandemik Covid-19.
Selepas itu, pada 10 Mei lalu, SUA menerima surat dari Dr. Noor Hisham yang menyatakan mengenai cadangan pemilihan secara maya di semua peringkat dan jika tidak boleh diadakan, KKM mahu pemilihan itu ditangguhkan memandangkan kes Covid yang masih tinggi.
Surat kedua ROS bertarikh 6 Ogos 2021 menyatakan penangguhan pemilihan itu tidak sah.Selepas itu, pada 24 Mei, UMNO menghantar surat kepada Ketua Pengarah ROS dan pada 2 Jun kemudian, Ahmad Maslan menerima jawapan dengan menyatakan mesyuarat agung pertubuhan ditangguhkan ketika ‘lockdown’.
Sembilan hari selepas itu, Timbalan Ketua Pengarah MKN menghantar surat mencadangkan pemilihan dibuat secara maya, atau jika tidak boleh, perlu ditangguhkan.
Pada 18 Jun pula, keputusan 52 daripada 56 Ahli MKT UMNO secara resolusi edaran atau pekeliling atau circular resolution telah bersetuju untuk menangguhkan pemilihan berdasar tidak boleh dan tidak pernah diadakan pemilihan secara maya, dengan rujukan surat jawapan daripada MKN dan KKM.
Mesyuarat MKT bersemuka tidak dapat diadakan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan, maka resolusi secara edaran atau pekeliling adalah dibolehkan untuk membuat keputusan, dengan rujukan peguam UMNO.
Pada 24 Jun pula, SUA menghantar surat kepada Ketua Pengarah ROS memaklumkan keputusan mesyuarat MKT UMNO itu.
Bulan lepas pada 7 Julai, mesyuarat MKT UMNO mengabsahkan keputusan Ahli MKT pada 18 Jun lalu untuk menangguhkan pemilihan dan ROS menjawab pada 19 Julai bahawa pihaknya tiada halangan mengenai penangguhan pemilihan mengikut Perlembagaan UMNO Perkara 10.16.
SUA sekali lagi menghantar surat kepada ROS pada 30 Julai mengenai minit mesyuarat MKT bertarikh 7 Julai 2021 yang mengabsahkan keputusan atau resolusi edaran atau pekeliling 18 Jun 2021.
Namun, hari ini ROS mengutus surat menyatakan keputusan mesyuarat MKT UMNO mengenai penangguhan pemilihan itu sebagai tidak sah.
Memandangkan Sabtu dan Ahad cuti minggu, UMNO akan menunggu Isnin ini untuk memberi surat jawapan balas kepada ROS.
Sementara itu, peguam UMNO yang dirujuk mengenai perkembangan terbaharu itu menyatakan tiada sebarang kekhilafan di pihak UMNO sebelum ini. – MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/ros-keluar-arahan-kepada-umno-adakan.html