Keabsahan Mt Umno Tamat Ahli Parlimen Tak Terikat Arahan Parti
Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah
 	 												 					 						Berikutan keputusan terbaharu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan  (RoS) membatalkan penangguhan pemilihan UMNO menyebabkan suhu politik  parti itu kembali panas.
Ini disebabkan keabsahan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah  pun tamat pada 30 Jun lalu sedangkan keputusan menarik balik sokongan  kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan kerajaan  Perikatan Nasional (PN) dibuat pada 3 Ogos.
Keputusan itu kini sudah tidak mengikat ahli-ahli Parlimen UMNO dan  tindakan disiplin tidak boleh diambil ke atas mereka walaupun mereka  mengundi menyokong Muhyiddin dan kerajaan PN dalam sidang Parlimen,  September ini. Sebaliknya UMNO perlu mengadakan pemilihan parti tahun  ini atau berdepan tindakan RoS, termasuk kemungkinan penggantungan atau  pembatalan parti itu.
Jika pemilihan diadakan dalam masa terdekat, kedudukan Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO pasti akan dicabar oleh  kelompok yang sudah pasti tidak setuju dengan tindakan beliau yang besar  kemungkinan akan diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Melalui kedudukan beliau sebagai Naib Presiden terkanan dan pengaruh  selaku Timbalan Perdana Menteri, adalah tidak mustahil beliau akan  disokong oleh ahli-ahli UMNO yang kurang bersetuju dengan keputusan  Zahid yang dilihat cacamarba.
Jika ahli-ahli Parlimen UMNO memilih untuk tidak menyokong usul  percaya kepada Muhyiddin, bukan sahaja Muhyiddin perlu meletak jawatan  tetapi seluruh Kabinet termasuk menteri dan timbalan menteri UMNO akan  terbubar dengan sendiri seperti berlaku bila Tun Dr Mahathir Mohamad  meletak jawatan.
Jika pilihan raya umum terpaksa diadakan dalam situasi krisis  jangkitan Covid-19 semakin memuncak, pastilah kesudahannya tidak akan  memberikan manfaat kepada rakyat khususnya penyokong dan ahli UMNO.
Sebaliknya nanti UMNO pula yang akan dipersalahkan oleh rakyat  disebabkan tindakan menarik sokongan yang membawa negara ke kancah  politik sekali lagi, sekali gus mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong  supaya jangan berbuat begitu.
Mungkin inilah strategi sebenar Zahid yang terus mahu menguasai UMNO  dengan memastikan Ismail Sabri dan lain-lain menteri UMNO tidak  mempunyai apa-apa kelebihan berbanding dirinya untuk mempertahan jawatan  Presiden dalam pemilihan parti.
Apakah keuntungan kepada UMNO jika membuat pilihan menolak Muhyiddin  dan kerajaan PN ketika pandemik semakin memuncak? Rakyat pasti akan  menyalahkan UMNO sebagai parti gila kuasa jika terbubarnya Parlimen.
Mungkin wujud kumpulan yang takut Zahid tidak memberi watikah sebagai  calon pilihan raya umum (PRU) nanti tetapi andai kata berlakunya  pemilihan UMNO dalam masa terdekat dan Ismail Sabri menang dalam jawatan  Presiden, situasi pasti berubah.
Di sini perlu diingatkan, pemimpin datang dan pergi, yang tinggal  adalah prinsip parti. Diharapkan ahli-ahli UMNO akan kekal menyayangi  bangsa dan negara daripada membiarkan diri dipergunakan untuk memenuhi  agenda pemimpin bermasalah. Adalah lebih bijaksana untuk UMNO bersabar  dalam kerajaan daripada kembali ke pembangkang.
Persoalan paling menarik perlu difikirkan, jika kumpulan Zahid  berjaya dalam krisis ini, apa akan berlaku kepada UMNO dan ke mana  haluan parti selepas itu?
Paling besar kemungkinan, Zahid kekal sebagai Presiden tetapi UMNO  tetap menjadi pembangkang kerana tidak mungkin Zahid boleh menjadi  perdana menteri atau timbalan perdana menteri.
Ini kerana UMNO sendiri sudah membuat keputusan menolak kerjasama  dengan PKR dan DAP manakala PKR dan DAP sendiri pasti tidak akan  menyokong beliau atau kumpulannya yang mempunyai pertuduhan di mahkamah.
Andai berlaku PRU, akan wujud pertandingan empat penjuru atau lebih  dalam sesebuah kawasan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri. Adakah  dalam pertandingan empat penjuru atau lebih ini akan memenangkan  mana-mana komponen parti untuk lebih berdominasi selepas PRU?
Mungkin kali ini tiada mana-mana komponen parti akan menang dengan  majoriti mudah. Mungkin satu pembentukan komponen penjajaran baharu  perlu dibuat dalam pembentukan kerajaan nanti. Tidakkah selepas UMNO  mengkhianati PN, tidak mungkin parti-parti komponen bekerjasama lagi  dengan UMNO selepas PRU?
Dalam PRU nanti, adakah UMNO akan bertanding sendiri di bawah jenama  UMNO atau di bawah jenama Barisan Nasional (BN) dan adakah UMNO akan  mampu menang besar jika bertanding sendiri? Dengan melihat kepada MCA,  MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang lebih rapat dengan PN  daripada BN, malah dengan pemimpin mereka mempersoalkan secara terbuka  keputusan UMNO di bawah Zahid, saya tidak nampak bagaimana BN boleh  bertahan.
Pada hemat saya, jika Zahid terus-terusan membuat pelbagai keputusan  mengikut kepala sendiri tanpa berunding terlebih dahulu dengan  parti-parti komponen, maka BN hanya menunggu masa untuk runtuh  membiarkan UMNO terkapai sendirian.
Itulah pun imej UMNO sekarang, sebuah parti yang perasan masih besar,  masih dominan dan masih perkasa sehinggakan semua parti lain mahu  diperlekehkan. Siapa yang mahu berkawan dengan parti berimej begini?  Dalam keadaan tersepit nanti, tidak ada harga dirikah UMNO untuk  mengemis kerjasama dengan DAP dan PKR yang selama ini sering dibalun?
(*) Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah
Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/keabsahan-mt-umno-tamat-ahli-parlimen.html