Raya 2 Mei Atau 3 Mei 2022
Raya 2 Mei atau 3 Mei 2022? Timbul pula isu sambut Hari Raya Aidilfitri awal 2 Mei walaupun pada takwim bertanda 3 Mei 2022.
Ada baca satu perkongsian di facebook, boleh baca ni untuk lebih faham kenapa jadi kekeliruan tarikh Hari Raya Aidilfitri 2022
Secara teknikalnya, bulan akan memasuki fasa bulan baru atau ijtimak pada 1 Mei 2022, jam 04:38 pagi manakala cerapan hilal (anak Bulan) Syawal 1443H akan dilaksanakan pada petang 1 Mei 2022 tersebut atau bersamaan 29 Ramadan 1443 hijrah
Bagi menentukan masuknya awal bulan baru di dalam takwim hijrah, Malaysia menggunakan kaedah Rukyah (cerapan) dan Hisab (kiraan) berpandukan syarat kriteria Imkanur Rukyah seperti berikut :
Ketika Matahari terbenam, altitud Bulan tidak kurang dari 3 darjah dan jarak lengkung (elongasi ) keduanya tidak kurang dari 6.4 darjah.* Kriteria ini merupakan kriteria yang baru digunakan bermula tahun 1443 hijrah
Sebelum ini, kriteria yang digunakan adalah :
Ketika Matahari terbenam, altitud Bulan tidak kurang dari 2 darjah dan jarak lengkung (elongasi ) keduanya tidak kurang dari 3 darjah. Atau ,
Ketika Bulan terbenam, umurnya tidak kurang dari 8 jam selepas waktu ijtimak (fasa Bulan baru) berlaku.* Jika hilal kelihatan pada 29 haribulan hijrah ; kita akan memasuki bulan baru hijrah.
* Jika hilal tidak kelihatan tetapi keadaan Bulan telah memenuhi syarat kriteria Imkanur Rukyah yang digunakan ; Kita akan memasuki bulan baru.
* Jika hilal tidak kelihatan dan keadaan Bulan tidak memenuhi syarat kriteria Imkanur Rukyah, sesuatu bulan hijrah itu akan digenapkan menjadi 30 hari
Jika seseorang mendakwa melihat hilal, ia perlu melaporkan kepada pihak berautoriti bagi menentusahkan sama ada apa yang didakwa itu betul - betul hilal atau sebaliknya melalui bukti gambar, kesaksian dan sebagainya.
Keputusan rasmi akan diumumkan penyimpan mohor besar Raja-Raja melalui media bagi bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.
Berikut sedikit analisis ringkas berkenaan keadaan Bulan pada hari cerapan hilal Syawal 1 Mei 2022 nanti berpandukan data kiraan Astronomi. Data yang diambil adalah data Bulan bagi Tanjung Cincin, Pulau Langkawi, Kedah.
Tanjung Cincin dipilih kerana ia merupakan titik rujukan paling barat di Malaysia yang diambil kira oleh JAKIM dan JUPEM manakala Tanjung Atiam, Lahad Datu, Sabah pula lokasi paling timur. Semakin ke barat, semakin tinggi peluang hilal kelihatan.
Analisis ringkas berkenaan keadaan Bulan pada hari cerapan hilal Syawal 1 Mei 2022Ketika Matahari terbenam di Tanjung Cincin pada 1 Mei 2022 ;
- Altitud Bulan sekitar 5.27 darjah di atas ufuk.
- Jarak lengkung (elongasi) Bulan ~ Matahari sekitar 5.64 darjah.
Walaupun altitud Bulan telah melepasi syarat kriteria Imkanur Rukyah iaitu tidak kurang dari 3 darjah tetapi jarak lengkung (elongasi) masih dibawah syarat tidak kurang dari 6.4 .
Ini menunjukkan, keadaan Bulan pada 1 Mei 2022 itu tidak memenuhi syarat kriteria Imkanur Rukyah sepenuhnya seperti yang didakwa sebahagian pihak
KesimpulanKebarangkalian untuk hilal kelihatan pada hari cerapan iaitu pada 1 Mei 2022 agak rendah atas banyak faktor seperti keadaan Bulan yang rendah di ufuk akan diganggu serakan cahaya Matahari, faktor cuaca, langit berawan dan sebagainya.
Kebarangkalian tinggi Ramadan 1443 Hijrah akan digenapkan menjadi 30 hari. 2 Mei 2022 hari terakhir berpuasa dan 3 Mei 2022 kita akan menyambut hari raya Aidilfitri.
sumber : Muhammad Syafiq
Apa-apa pun, kita tunggu pengumuman rasmi penyimpan mohor besar Raja-Raja ahad 1 Mei 2022 nanti ye. Pernah jadi sejarah negeri Perak dan Johor sambut raya awal sehari pada tahun 1982 ke 1983 entah.
Zaman kanak-kanak paling suka tunggu pengumuman rasmi penyimpan mohor besar Raja-Raja ni. Bila umum raya, bersorak gembira masing masing. Haa tahun ni baju melayu penyimpan mohor besar Raja-Raja warna apa agaknya ye
Ada juga baca di media sosial, ramai bising kenapa tak umumkan awal. Apooo..dah kenapa? Dia bukan boleh umumkan awal sesuka hati. Kenalah tengok anak bulan kaedahnya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.azhafizah.com/2022/04/raya-2-mei-atau-3-mei-2022.html