Rauf Kunci Emas Kemenangan Umno Beliau Mesti Dinamakan Calon Km Melaka
Di dalam UMNO, hampir tidak ada yang tidak kenal siapa Ab Rauf Yusoh.
Semua orang mengenalinya, kalau pun tidak semua pernah bertegur sapa dengannya, setidak-tidaknya sosok, nama dan perwatakannya amat dikenali sekali.
Dengan pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang di WP, Exco Pemuda UMNO Malaysia, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia dan Pegawai Khas kepada Hishammuddin Hussein, Setiausaha Kerja UMNO dan sekarang sebagai Ketua UMNO Bajagian Masjid Tanah, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Speaker DUN Melaka, beliau sebenarnya adalah pemimpin yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Tambah menjadikannya tidak perlu diperkenalkan lagi kerana dalam UMNO, jarang ada yang berjaya dalam kerjaya politik di dua negeri yang berbeza sepertinya.
Begitu pun, Ab Rauf menjadi lebih terkenal dan dikenali umum ketika beliau memegang jawatan Setiausaha Kerja UMNO di era Najib Razak menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
Dalam kemelut politik Melaka baru-baru ini di mana empat Adun menarik sokongan sehingga Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali bertindak menasihati TYT Tun Ali Rustam untuk membubarkan DUN Negeri, nama beliau diperkatakan ramai sebagai punca segala masalah yang timbul di negeri itu.
Selain dikaitkan dengan projek pasir, Ab Rauf juga didakwa menjadikan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali sebagai bonekanya.
Walaupun hanya sebagai Speaker dan Pengerusi UMNO Melaka, diperkatakan oleh mereka yang membenci dan memusuhinya bahawa beliau sebenarnya “Ketua Menteri Melaka” yang sebenar.
Selain itu, ada juga yang menggelar Ab Rauf sebagai “Raja Melaka”.
Berikutan segala macam dakwaan dan gelaran itu, Ab Rauf dikatakan tidak akan diletakkan sebagai calon dalam PRN Melaka 20 November ini.
Kononnya, bersama semua persepsi negatif itu, jika beliau diletakkan sebagai calon, maka UMNO siang-siang lagi akan kecundang kepada pihak lawan.
Benarkah begitu?
Apa pun persoalannya, yang pertama dan utama sekali dalam perkara ini ialah UMNO harus berlaku adil terhadap Ab Rauf.
Dengan kedudukan dan jawatannya selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Ab Rauf bukan saja mesti diletakkan sebagai calon, bahkan paling tepat untuk dinamakan sebagai Ketua Menteri mewakili BN.
Jika bukan beliau, dengan populariti dan nama besarnya yang dikenali ramai itu, selain jawatan yang sedang disandangnya, siapakah lagi calon lain yang lebih layak?
Adilkah UMNO kepada Ab Rauf jika dengan segala kelayakan dan kelebihannya itu, tetapi beliau diketepikan akhirnya?
Bagaimana rakyat Melaka dapat melihat UMNO sebagai parti yang mampu berlaku adil kepada mereka dan layak diberi kemenangan kalau dengan Ab Rauf sendiri tidak mampu berlaku adil?
Untuk apa juga UMNO melantik Ab Rauf sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka jika beliau diketepikan sebagai calon pilihanraya dinafikan daripada dinamakan sebagai Ketua Menteri?
Bukankah lebih baik UMNO melucutkan saja jawatannya itu?
Yang kedua, UMNO tidak harus mengenepikan beliau daripada dicalonkan semata-mata kerana banyaknya berlegar tanggapan serta persepsi buruk terhadapnya.
Jika itu yang berlaku, bermakna UMNO sudah menghukum Ab Rauf sebelum beliau disabitkan dengan apa-apa kesalahan atau disiasat oleh pihak berkuasa.
Sekali lagi, adilkah begitu?
Yang ketiga, jika pun benar dakwaan bahawa selama ini Ab Rauf telah menguasai Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali dan menjadikannya sebagai boneka, tidakkah ini bermakna beliau sebenarnya lebih daripada layak untuk memegang jawatan Ketua Menteri?
Sudah tentu jika Ab Rauf yang menjadi Ketua Menteri selepas ini, tiada sesiapa pun jua yang dapat membonekakan Ketua Menteri lagi.
Yang keempat, Melaka akan beroleh kelebihan yang tiada taranya jika Ab Rauf dinamakan sebagai calon Ketua Menteri berbanding nama-nama lain, termasuk jika mengekalkan Sulaiman sekali lagi.
Ini kerana berbanding semua pemimpin lain dalam UMNO Melaka yang ada sekarang, Ab Rauf jauh lebih dikenali, lebih ternama dan lebih popular daripada mereka.
Malah beliau sudah sedia popular dan ternama sebelum pun dijadikan calon dan dinamakan bakal sebagai Ketua Menteri.
Tidak ada mana-mana calon Ketua Menteri Melaka sebelum ini yang sepopular Ab Rauf sebelum mereka memegang jawatan sebagai Ketua Menteri.
Hanya Ab Rauf satu-satunya yang ada kelebihan itu dan ini dengan sendirinya akan menjadikan beliau lebih mudah memimpin kerajaan negeri itu, termasuk melonjakkan ekonomi dan sektor pelancongannya serta negeri Melaka tentunya akan menjadi lebih bertuah lagi.
Kata seorang kawan di Melaka, oleh kerana popularitinya saja, jika beliau dinamakan sebagai calon Ketua Menteri, sebelum hari pengundian lagi sekitar 10 hingga 15 peratus undi atas pagar senang-senang sudah terjamin memihak kepada BN.
Kata kawan itu lagi, seperti untuk menarik orangramai hadir ke sesuatu acara, Ab Rauf adalah umpama selebriti yang ada daya tarikan tersendiri yang tiada pada mana-mana pemimpin UMNO yang lain.
Yang kelima, berikutan Pas telah membuat keputusan akan menggunakan lambang PN, diikuti dengan UMNO Melaka yang dipimpin oleh Ab Rauf pula membuat ketetapan menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu, inilah masanya untuk UMNO menilai kemampuan sebenar beliau dalam pertembungan tiga penjuru dalam PRN Melaka.
Dengan bertindak berani menolak kerjasama dengan Bersatu dan sedia menghadapi pertembungan tiga penjuru, walau sedar Pas akan bersama PN, Ab Rauf tentunya ada strategi tersendiri dan sulit yang tidak diketahui oleh pemimpin-pemimpin UMNO nasional bagi memenangi PRN Melaka.
Untuk itu, beliau harus diberi peluang untuk membuktikan kemampuan serta keupayaannya ituZ
Berdasarkan semua pertimbangan di atas, Ab Rauf tanpa ragu-ragu adalah kunci emas kepada kemenangan BN dalam PRN Melaka ini dan meletakkannya sebagai calon serta menamakannya sebagai bakal Ketua Menteri adalah resepi mutlak untuk mencapai kejayaan, silap-silap kemenangan lebih gemilang daripada dua pertiga dalam genggaman. – ShahbudinHusin 03/11/2021.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/11/rauf-kunci-emas-kemenangan-umno-beliau.html