Putrajaya Panggil Pengeluar Simen Jelas Alasan Naik Harga Simen
  Bernama                  

Saifuddin  Nasution Ismail berkata, kerajaan ingin tahu alasan pengeluar menaikkan  harga simen sama ada disebabkan kos menjalankan perniagaan atau  menghasilkan simen. (Gambar Bernama)KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal  Pengguna (KPDNHEP) memanggil dan berbincang dengan penggiat industri  simen sejak semalam bagi mendengar sendiri alasan mereka menaikkan harga  bahan utama dalam sektor pembinaan itu.
 Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail berkata perbincangan itu  penting untuk menangani segera isu berkenaan dan tidak menjejaskan  perancangan dasar kerajaan yang komited membina rumah mampu milik untuk  rakyat.
 “Perbincangan dibuat secara berterusan sehingga selesai kerana pada  masa sama keluhan penggiat industri ini juga kita perlu dengar. Jadi,  kita bincang alasan kenaikan itu, sama ada disebabkan kos menjalankan  perniagaan atau menghasilkan simen.
 “Jika mereka berikan alasan sedemikian, kita nak tahu pula  kos apa…kos tetap atau kos berubah-ubah…berapa harga siling dan  sebagainya, kita nak dengar semua itu,” katanya pada Majlis Sambutan  Hari Raya anjuran Pembangunan Industri Kewangan Malaysia Berhad (MIDF)  hari ini.
      KPDNHEP menerusi kenyataan semalam berkata, syarikat terbabit perlu  memberi penjelasan dalam 7 hari berdasarkan notis yang dikeluarkan di  bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kepada  mereka.
 Kegagalan menjawab notis tersebut dalam masa ditetapkan akan  menyebabkan syarikat itu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah  akta berkenaan.
 Kad petrol subsidi bersasar
 Berhubung kad khas petrol subsidi bersasar, Saifuddin berkata, kerajaan akan memuktamadkan formula itu dalam tempoh terdekat.
 “Bulan ini, KPDNHEP dan Kementerian Kewangan akan mengadakan  perbincangan untuk memuktamadkan formula yang sudah dirangka itu,  termasuk berapa ramai akan dapat dan akan dibentangkan kepada Jemaah  Menteri.”
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/06/putrajaya-panggil-pengeluar-simen-jelas.html