Ptptn Lanjutkan Kempen Lestari Pendidikan Demi Kelestarian Pendidikan Tinggi
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif mesra pelanggan bagi membantu serta memudahkan peminjam melaksanakan bayaran balik pinjaman. Sehubungan dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada para peminjam, PTPTN telah melanjutkan tempoh pelaksanaan Kempen Lestari Pendidikan sehingga 31 Disember 2025.
Pelanjutan kempen ini juga merupakan usaha berterusan PTPTN dalam memastikan kelestarian pendidikan tinggi negara di samping memberi ruang dan peluang kepada peminjam yang mempunyai tunggakan untuk berunding bagi pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.
Dalam tempoh kempen, peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman boleh membuat bayaran pendahuluan 20% daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi dan memohon rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN. Melalui rundingan ini, peminjam boleh menstrukturkan semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman mereka. Dengan kaedah ini, peminjam berpeluang untuk menyusun semula jadual bayaran balik (JBB) mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
PTPTN juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua peminjam yang telah menunaikan tanggungjawab membuat bayaran balik pinjaman. PTPTN turut menyeru semua peminjam agar melihat bayaran balik bukan sebagai beban, tetapi sebagai satu amanah dan tanggungjawab bersama demi kelangsungan pendidikan tinggi negara. Setiap ringgit yang dibayar semula membantu memberi peluang kepada lebih ramai pelajar baharu melanjutkan pengajian.
Rebutlah peluang sempena Kempen Lestari Pendidikan yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025 ini dengan segera tanpa menunggu pada saat akhir. Komitmen bayaran balik anda amat dihargai dalam memastikan kelestarian dana pinjaman untuk generasi akan datang.
Terdahulu Kempen Lestari Pendidikan telah bermula pada 15 Oktober 2025 dan berakhir pada 15 Disember 2025. Untuk maklumat lanjut, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui saluran berikut:
Careline PTPTN di 03 – 2193 3000
(Beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang)
Live Chat di portal PTPTN (www.ptptn.gov.my)
E-Aduan PTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my/)
Eksekutif Jualan PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn)
Media Sosial Rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
Selain itu, peminjam PTPTN boleh membuat bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN pada bila-bila dan di mana sahaja dengan lebih mudah, cepat dan selamat. Untuk maklumat lanjut layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.
The post PTPTN Lanjutkan Kempen Lestari Pendidikan Demi Kelestarian Pendidikan Tinggi appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/15/ptptn-lanjutkan-kempen-lestari-pendidikan-demi-kelestarian-pendidikan-tinggi/