Dari Kampung Terbang Ke Ireland Kisah Anak Sarawak Kuat Demi Keluarga Jadi Inspirasi
Dari Kampung ‘Terbang’ Ke Ireland, Kisah Anak Sarawak Kuat Demi Keluarga Jadi Inspirasi
“Kental” – Mungkin, itulah satu kata yang paling tepat bila bercakap tentang perjalanan hidup Farid Syafiq Shariffudin Shah, 30.
Dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang juga terpaksa memainkan peranan sebagai ayah, Farid membesar dalam dunia yang memaksanya matang sebelum waktunya.
Siapa sangka, anak dari sebuah daerah kecil yang tidak dikenali ramai ini akhirnya berjaya mencipta perubahan besar. Bukan sahaja pada dirinya, tetapi juga pada keluarga tercinta.
Gambar: Farid bersama ibu, kakak dan nenek tercinta
Dari kampung kecil di Bumi Kenyalang, Farid bangkit melakar hidup baharu, menuntut ilmu, merantau meninggalkan tanah air dan kini berkecimpung dalam bidang kulinari.
Kisahnya menjadi bukti bahawa asal usul bukan penghalang. Yang menentukan, hanyalah kemahuan, usaha dan hati yang tidak pernah berhenti percaya.
Masa kecil yang tidak sempurna
“Saya yakin setiap orang membawa kisah kanak-kanak yang tidak sama. Ada yang penuh tawa, ada yang penuh luka.
“Saya mungkin tergolong dalam mereka yang kurang bernasib baik. Zaman kecil saya bukanlah sebuah cerita indah seperti orang lain,” cerita Farid membuka kisah.
Ketika rakan sebaya menikmati dunia kanak-kanak tanpa beban, Farid pula terpaksa berhadapan realiti hidup yang berat. Ibu bapa berpisah ketika dia masih kecil, meninggalkan ibunya sebagai tulang belakang keluarga.
“Saya merasa berhadapan situasi yang menurut saya belum pantas untuk saya pikul dan lalui di usia itu…” – Farid
Tanpa rumah sendiri, mereka berpindah-randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa lain. Ibunya bekerja sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan serta menanggung kehidupan, perbelanjaan sekolah dan segala makan minum keluarga.
“Dialah ibu, dialah ayah. Sehinggalah ibu berkahwin semula dan ayah tiri saya mengambil alih tanggungjawab itu. Mereka bekerja keras untuk kami,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.
Selain ibu dan ayah tirinya, Farid juga dibesarkan oleh nenek dan datuknya kerana ibunya sering bertugas di kawasan luar bandar.
Nenek dan datuklah yang membesarkan mereka tanpa mengeluh, walau hidup serba sederhana.
“Nenek dan datuk saya ialah nelayan. Mereka pergi menangkap ikan dan hasil laut seawal Subuh, pulang pula selewat Maghrib. Hasilnya kadang untuk dijual, kadang pula untuk mengisi perut kami sekeluarga.
“Nenek dan datuk jugalah yang banyak menghidupkan kami. Mereka jaga saya dan kakak sejak kecil, tak pernah berkira. Apa pun keadaan mereka, merekalah yang paling dulu menghulurkan tangan, merawat kami sebaik-baiknya,” katanya.
Bukan ‘budak pandai’, tapi hidup paksa diri cari ilmu
Farid tidak dilahirkan sebagai ‘budak pandai’ yang mudah mendapat A dalam peperiksaan. Malah, pada zaman kanak-kanaknya, hidupnya dipenuhi cabaran yang membuatkan belajar bukanlah perkara mudah.
Meski begitu, menurut Farid, keluarganya sangat menekankan kepentingan pendidikan.
“Keluarga saya pegang prinsip bahawa pendidikan sahaja yang boleh mengubah kehidupan seseorang. Jadi, walau seteruk mana sekalipun keadaan kita, pendidikan mesti diteruskan hingga tamat,” katanya.
Farid memulakan pendidikan sekolah rendahnya di Sekolah Kebangsaan Limpaki, Limbang, Sarawak, sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Melayu Pusat.
Selepas itu, beliau meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Limbang, dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, menamatkan pendidikan menengahnya di situ, katanya.
Demi keluarga, akhirnya berhijrah ke kota besar
Sejurus selepas tamat SPM, Farid nekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib.
Apabila mengenang semula pahit manis perjalanan di kota besar, dia mengakui tidak mampu menahan sebak.
“Sebagai budak kampung yang datang ke bandar untuk sambung pengajian dan mencari rezeki, bukanlah sesuatu yang mudah.
“Pada awalnya, saya banyak bergantung kepada ibu dan bapa saudara yang menjaga saya seperti anak sendiri. Mereka sudah seperti ibu dan ayah saya di sini,” katanya.
“Sampai bila nak hidup macam ni?” – Farid
Namun, jauh di sudut hati, Farid tahu dia tidak boleh bergantung selama-lamanya.
“Tapi sampai bila kita nak bergantung pada orang lain? Disebabkan keluarga banyak membantu, saya tekad mahu belajar bersungguh-sungguh. Saya mahu ada pendapatan sendiri dan membantu keluarga saya pula, dengan keringat sendiri,” ujarnya.
Akhirnya, Farid membuat keputusan besar dengan melanjutkan pengajian dalam bidang kulinari.
“Tak dinafikan, bidang kemahiran lagi-lagi berkaitan masakan kurang mendapat sambutan suatu ketika dahulu. Tapi, saya minat.
“Mungkin kerana saya sudah biasa membantu nenek saya mengambil upah masakan untuk kenduri kahwin di kampung-kampung dan saudara mara terdekat yang mengadakan majlis kahwin.
“Jadi, saya cuba nasib dengan memohon di City University College of Science and Technology, Petaling Jaya. Tak sangka, saya diterima bagi jurusan Diploma Pengurusan Seni Kulinari pada 2013,” katanya.
Namun selepas menamatkan diploma, Farid terpaksa menangguhkan hasrat menyambung pengajian ke peringkat ijazah kerana kekangan kewangan.
Ambil masa 2 tahun sebelum melangkah jauh
Bagai bulan jatuh ke riba. Untungnya, rezeki menyebelahi dirinya apabila dia diserap menjadi kakitangan sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur pada 2015. Bekerja antara 12 hingga 14 jam sehari, Farid tetap cekal demi keluarga.
“Orang cakap, kalau ada kemahuan, di situ ada jalan. Selagi boleh paksa diri, paksalah diri,” kata Farid yang memulakan latihan industri di The Majestic Hotel Kuala Lumpur sebelum diserap sebagai kakitangan tetap.
Gambar: Hari pertama bekerja di The Majestic Hotel Kuala Lumpur
Dengan gaji dari hotel itulah Farid menabung, menyara kehidupan sendiri, dan sedikit sebanyak membantu keluarganya di kampung.
Selepas lebih dua tahun bekerja, Farid membuat keputusan untuk kembali menyambung pengajian. Pada Julai 2018, beliau diterima masuk ke Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam bagi mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Seni Kulinari.
Gambar: Hari pertama di UiTM Puncak Alam
“Hidup di universiti banyak mengubah dan membentuk diri saya hari ini. Saya sangat aktif dalam bidang kepimpinan, kelab, persatuan serta aktiviti kesukarelawanan.
“Sepanjang penglibatan di kampus, saya pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Majlis Perwakilan Pelajar sesi 19/20 dan Presiden Bakers Club 19/20, selain menganjurkan pelbagai program sukarelawan.
“Selain itu, saya turut aktif menyertai pertandingan masakan dan ukiran buah di peringkat negeri serta kebangsaan,” katanya.
Gambar: Farid dalam pertandingan mengukir buah, Culinaire 2019
Di sini, minatnya berkembang, semakin kuat, semakin jelas hala tuju hidupnya.
Dari kampung, tiba-tiba ‘terbang’ ke luar negara
“Saya sendiri tidak pernah menyangka akan berpeluang bekerja di luar negara. Itu pernah jadi impian yang saya kira hanya mimpi,” katanya membuka cerita.
“Selepas menamatkan latihan industri peringkat Sarjana Muda di The Ritz-Carlton Langkawi selama empat bulan, saya mendapat tawaran untuk bekerja di luar negara, iaitu di Dublin, Ireland.
Gambar: Farid pertama kali jejak kaki di bumi Ireland
“Sudah tentu banyak kerisauan timbul. Mampu atau tidak, yakin atau tidak, bagaimana pula dengan kehidupan dan budaya baharu yang perlu saya pelajari dan sesuaikan diri.
“Maklumlah, saya datang daripada kampung. Tiba-tiba perlu menyesuaikan diri di kota besar dan kemudian ke luar negara pula. Tapi waktu itu saya berpegang pada satu perkara, iaitu peluang seperti ini datang sekali. Jadi, saya terus ambil,” kongsinya.
Memulakan kerjaya di Ireland
Pada tahun 2022, beliau akhirnya memulakan kerjaya sebagai Chef de Partie di Ireland.
“Tempat pertama saya bekerja ialah di Lemongrass Fusion Restaurant, Dublin, sebelum berpindah ke Aroi Asian Fusion, Kilkenny.
“Di Lemongrass Fusion Restaurant, saya bertanggungjawab mengurus operasi restoran ketika ketiadaan Sous Chef dan Executive Chef. Saya juga merupakan tukang masak utama bagi bahagian Wok dan Fryer.
“Di Aroi Asian Fusion pula, saya ditugaskan sebagai Dessert Master, iaitu menyediakan pencuci mulut istimewa restoran,” jelasnya.
Menurutnya, detik awal berada di negara orang bukanlah mudah.
“Sudah pasti banyak cabaran yang perlu dilalui, lebih-lebih lagi ketika pertama kali mengenal budaya Eropah dan dalam masa yang sama menahan rindu terhadap keluarga di tanah air.
“Di sinilah kekuatan mental dan fizikal saya benar-benar teruji. Jauh daripada keluarga, beraya di perantauan dan belajar mengenal orang baharu yang turut berjuang di negara orang.
“Syukur Alhamdulillah, saya ditemukan dengan insan-insan baik yang menganggap saya seperti keluarga,” katanya lagi.
Gambar: Rakan seperjuangan dan mentor di Ireland
Selain mempelajari sistem kerja dan teknik masakan baharu, beliau turut berpeluang menjelajahi beberapa negara di Eropah dan United Kingdom sepanjang tempoh bekerja di sana.
Pulang ke tanah air
Setelah hampir tiga tahun di perantauan, Farid akhirnya membuat keputusan untuk pulang.
“Pada penghujung 2024, saya pulang ke Malaysia. Rezeki saya, pada awal 2025, saya mendapat peluang bekerja di tanah air pula. Kini, saya bertugas sebagai Chef de Partie di The Westin Desaru Coast Resort, Johor.
“Di sini, saya bertanggungjawab mengurus All Day Dining di Seasonal Tastes Kitchen (coffee house) yang merangkumi tiga bahagian, iaitu Melayu, Barat dan Cina.
“Saya turut mengendalikan keseluruhan operasi dapur ketika ketiadaan Sous Chef, selain membantu beliau merangka menu baharu setiap suku tahun termasuk menu perayaan dan acara khas,” katanya.
Gambar: Pencapaian di The Westin Desaru Coast Resort, Johor
Harapan keluarga, perjalanan masih jauh
“Saya mungkin bukanlah seseorang yang benar-benar berjaya. Tetapi saya bersyukur kerana dapat membantu keluarga dan rakan-rakan.
“Dulu, saya dibesarkan di kota besar ini. Kini, saya pula memikul tanggungjawab menjaga keluarga kecil saya di sini.
“Ramai sepupu saya yang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia. Bila ibu bapa mereka atau mereka sendiri menghubungi saya untuk meminta bantuan, saya akan sedaya upaya membantu.
“Apabila keluarga sendiri melihat kita sebagai tempat bergantung, itu satu kepuasan untuk saya,” katanya dengan rasa syukur. Kadangkala beliau merasakan impiannya sudah pun tercapai.
“Dari awal, saya lakukan semua ini untuk keluarga. Bila saya mendapat lebih daripada apa yang saya impikan, saya sangat bersyukur,” katanya.
“Saya selalu berpesan kepada orang terdekat, dalam hidup kita ada tiga pilihan. Pertama, teruskan perjalanan hingga ke garisan penamat tanpa berhenti.
“Kedua, berhenti seketika di pertengahan untuk menilai kembali kesilapan dan memperbaikinya. Ketiga, tidak melakukan apa-apa pergerakan. Pilihan itu ada pada diri masing-masing,” tambahnya.
The post Dari Kampung ‘Terbang’ Ke Ireland, Kisah Anak Sarawak Kuat Demi Keluarga Jadi Inspirasi appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/08/dari-kampung-terbang-ke-ireland-kisah-anak-sarawak-kuat-demi-keluarga-jadi-inspirasi/