Presiden Umno Tiada Kuasa Memecat Keahlian Mana Mana Ahli Umno
                Farhana Malek 
KUALA  LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) mempunyai peruntukan  kuasa di bawah Fasal 20.9 (d) bagi memecat mana-mana ahli yang melakukan  salah laku seperti melanggar Perlembagaan Parti dan Tataetika Ahli,  jelas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
 Tegasnya, setiap daripada kita yang menjadi ahli UMNO hendaklah patuh  kepada Perlembagaan Parti dan Tataetika Ahli UMNO, seperti yang  diperuntukkan di bawah Fasal 20.8 Perlembagaan.
 “Inilah disiplin dalam UMNO. Disiplin ini termasuklah patuh kepada  Perlembagaan dan Tataetika Ahli, mengikut perintah parti, menjalankan  dasar-dasar parti, patuh dan menghormati keputusan parti, menjaga rahsia  parti, memelihara nama baik dan maruah parti serta sentiasa menunjukkan  tatalaku yang sopan lagi tertib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terang beliau, manakala di bawah Perkara 11 Tataetika Ahli pula,  ahli-ahli boleh dikenakan hukuman di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan jika  didapati melakukan Salah Laku di bawah Perkara 5.3 Tataetika Ahli iaitu  menerbit, menyiar atau menulis apa apa risalah atau lain lain karya  secara langsung atau tidak langsung yang mempunyai unsur unsur  menyokong, memfitnah, mencela, mengkeji atau mengandungi kenyataan palsu  terhadap mana mana ahli parti yang disiarkan melalui media massa,  elektronik atau internet dengan tujuan mengelirukan seseorang berkenaan  ahli yang lain.
 “Selain itu, mereka juga boleh dikenakan hukuman di bawah Fasal yang  sama sekiranya melakukan Salah Laku di bawah Perkara 5.4, iaitu membuat  kenyataan tentang seorang ahli yang lain yang boleh merendahkan  reputasinya dalam masyarakat atau menyebabkan masyarakat menghindari  atau mengelaknya.”
 Katanya, tindakan memecat ahli-ahli yang engkar bukanlah perkara baru  kerana ia pernah dilaksanakan pada masa lalu, iaitu dalam kes pemecatan  Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan ramai lagi.
 “Proses dan amalan biasa dalam UMNO. Apabila Lembaga Disiplin UMNO  membuat keputusan, ianya dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan  Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia untuk dibuat keputusan. Malah  dengan kuasa yang ada Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga berkuasa dan  dibenarkan oleh perlembagaan UMNO untuk membuat apa apa keputusan tanpa  dibawa ke Lembaga Disiplin UMNO.
 “Apa yang penting semua ahli punyai hak dalam UMNO. Namun apa juga  perkara ia juga tertakluk kepada Perlembagaan UMNO, yang dibentuk dalam  Perhimpunan Agung UMNO Malaysia.
 “Perkara yang penting Presiden UMNO Malaysia secara peribadi tiada  kuasa memecat atau mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli UMNO,”  jelasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO Online
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/presiden-umno-tiada-kuasa-memecat.html