Pkp Vvip Selebriti Jangan Mengada Gada Di Aidilfitri Pandailah Jaga Diri
                    Oleh Zulkiflee Bakar
                                                                       ANALISIS
   SEMALAM, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin umumkan bahawa  tiada ziarah menziarahi sempena Aidil fitri Khamis ini, maksudnya  masing-masing raya sendiri, Jangan dok pi jalan merata-rata.
   Bila PKP berkuat kuasa esok, banyak ‘pantang larangnya’ kena ikut.  Tak boleh rentas negeri, tak boleh rentas daerah. Tak kiralah lebuh raya  ke, jalan raya ke, ‘lorong tikus’ ke, kalau ada yang cuba-cuba rentas  juga, polis kenakan sahaja kompaun RM5,000.
Sebenarnya penulis tak bimbang pasal rakyat biasa sebab masing-masing  tahu kalau kena kompaun pasti ‘bajet lari’, tapi yang dok risau ini  ialah sikap segelintir VVIP dan selebriti. Kelompok ni patut pandai jaga  diri.
   Janganlah rasa hebat sangat orang lain tak boleh ziarah, orang lain  tak boleh kumpul ramai-ramai sambut raya, mereka pula buat sesuka hati,  Tak payah beri alasan nak rentas negeri atau daerah sebab urusan  perniagaan atau apa alasan.
   Logik akalnya antara esok petang hingga Ahad, tak ada sapa-sapa pun  nak bincang bab perniagaan, semua orang nak beraya walaupun tak boleh  ziarah. Jangan dok buat kerja tak cerdik, nak rasa hebat, upload pula dalam media sosial.
   Rakyat dah bosan dah dengan perangai selebriti macam ini. Malah mereka bukan bosan tetapi dah sampai tahap menyampah dah.
   Begitu juga segelintir VVIP terutamanya bertaraf menteri, timbalan  menteri dan wakil rakyat. Mereka juga kena patuh kepada pelaksanaan PKP.  Sebelum ini ada beberapa menteri didakwa langgar SOP tapi senyap sunyi  tak ada tindakan apa-apa.
   Mungkin mereka tak salah tetapi bila gambar dah ‘viral’, netizen pun  ‘naik hantu’ maka buruklah imej kerajaan. Paling baik elakkan fitnah dan  tohmahan. Tak payah nak buat sumbangan raya, macam kita tengok apa yang  berlaku sebelum Tahun Baru Cina baru-baru ini.
   Selamba sahaja seorang menteri tu bagi sumbangan sedangkan dah ada arahan atau SOP yang melarang berbuat demikian.
   Kali ini kita harap pihak berkuasa akan lebih tegas lagi, mana-mana  VVIP atau selebriti yang langgar SOP atau yang disenaraikan dalam PKP,  mereka akan harus dikenakan hukuman, jangan tolak ansur lagi. Keluarkan  kompaun serta merta seperti mana rakyat biasa kena atas kesalahan  seumpama itu.
   Kalau boleh biarlah denda itu lebih tinggi daripada rakyat. Bukan  soal adil tak adil, tetapi ini soal untuk memberi pengajaran kepada  golongan itu supaya mereka menjadi contoh yang baik kepada rakyat, bukan  sebaliknya.
   Kita bukanlah tidak suka kepada VVIP atau selebriti, cuma kita bosan  apabila disebabkan segelintir mereka tak pandai nak jaga diri atau rasa  diri hebat, yang disalahkan kerajaan. Tak pasal-pasal Perdana Menteri  kena attack dalam media sosial.
   Mereka harus menjadi contoh kepada masyarakat dengan mematuhi SOP dan  pelaksanaan PKP. Jangan dok bagi alasan bukan-bukan. Rakyat tak nak  dengar dah.
   Perdana Menteri dah berbuih cakap ‘duduk di rumah’, jadi apa salahnya  ‘duduklah di rumah’ kenapa nak merayau-rayai ke sana ke sini kerana  kita ‘VVIP dan selebiri’.
   Kesimpulannya, penulis hanya memberi pandangan dan nasihat kerana  ketika ini emosi rakyat tengah terganggu kerana tak boleh ziarah atau  buat rumah terbuka, jangan nanti tak pasal-pasal kerajaan dituduh double standard sedangkan pokok pangkal masalah ialah seorang dua VVIP dan selebriti yang rasa hebat atau mungkin juga rasa ‘kebal’.
   Mungkin pandangan ini tak betul tapi itulah yang rakyat fikir. Jadi pandailah jaga diri.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/pkp-vvip-selebriti-jangan-mengada-gada.html